Wednesday, May 27, 2009

Islam Liberal: Sesat dan menyesatkan.

Sepanjang sejarah Islam, berlaku pelbagai aliran pemikiran yang menyebabkan penyelewengan dan kekeliruan seperti:

1. Syiah
2. Khawarij
3. Muktazilah
4. Jabbariah, dan sebagainya

Mutakhir ini pula timbul beberapa aliran baru dan yang paling mengancam iaitu aliran Islam Liberal.

TAKRIF

Dari segi bahasa liberal bermaksud bebas . Islam Liberal bermakna Islam yang bebas. Motto mereka ialah “ mencerahkan, membebaskan” .

SEJARAH KEMUNCULAN

Muncul bersama proses “sekularisasi” dalam dunia Islam yang diasaskan oleh Mustapha Kamal Attarturk. Pada mulanya para pengasas gerakan ini ialah mereka yang terpukau dengan kemajuan Barat dan tersilau dengan kemunduran umat Islam. Berasal dari aliran pemikiran modernis yang lebih radikal dan berani.

Mempunyai jaringan hampir di seluruh dunia meliputi Mesir, India, Pakistan, Bangladesh, Amerika, Perancis, Malaysia, Turki, Jordan, Sudan, Syria, Moroko, Tunisia, Lebanon, Algeria, Nigeria dll .

Ia begitu popular di Indonesia dengan gerakan “Jaringan Islam Liberal”nya yang dipelopori oleh tokoh-tokoh yang bukan alang-alang anak seperti Nurcholis Majid, Ulil Absar Abdalla, Taufik Adnan Amal, Luthfi Asy-Syaukani, Komarudin Hidayat, Kautsar Azahari Noer dan seterusnya ia mula dibawa ke Malaysia melalui beberapa individu dan NGO tertentu.

ASAS PEMIKIRAN

Pada dasarnya pemikiran mereka berasaskan kepada falsafah Barat yang dipelopori oleh Kant, David Hume, Nietzsche, Satre dan lain-lain yang memberikan penekanan terhadap rasionalisme (akal) dan liberalisme (kebebasan) atau pembebasan manusia daripada tradisi dan dogma ( kepercayaan agama ). Isi ajaran falsafah Barat ini diadukkan dengan nilai-nilai Islam yang sesuai menurut pemikiran Barat tersebut.

AGENDA

Umumnya terdapat 4 agenda Islam Liberal;

1. Agenda Politik – mensekularisasikan politik dengan merungkaikan syariah daripada pemerintahan.

2. Agenda Toleransi Agama – mensetarakan semua agama.

3. Agenda Emansipasi Wanita – memperjuangkan pembebasan dan pembelaan hak-hak wanita menurut perspektif (pandangan ) Barat.

4. Agenda Kebebasan Bersuara- Islam milik semua orang justeru semua orang boleh menafsirkan agamanya sendiri.

ISI AJARAN

Antara beberapa ajaran Islam Liberal ialah;

1. Sekularisme
Agama hanyalah ibadat ritual semata-mata dan tidak ada kena-mengena dalam kehidupan duniawi.

2. Pluralisme dan Inklusivisme
Menganggap agama semuanya sama kerana;
a. Menuju kepada kepercayaan yang sama iaitu Tuhan dalam bentuk dan persepsi masik-masing.
b. Mengajar nilai-nilai baik yang sama secara universalnya.
c. Penentuan lepas mati ditentukan oleh budi bukan akidah.

3. Menolak autoriti ulama
Islam milik semua dan semua orang berhak untuk memberikan tafsiran kepada agama mereka sendiri. Oleh kerana ulama sering bertentangan dengan kehendak mereka maka autoriti ulama perlu dihapuskan termasuk “imuniti” para mufti.

4. Menilai semula al-Quran
al-Quran perlu dinilai semula bukan sahaja tafsirannya tetapi juga perlu disunting semula edisinya secara kritis. al-Quran boleh ditafsir oleh sesiapa yang mahu.

5. Menolak kemutlakan al-Sunnah
Menganggap al-Sunnah / hadis Nabi suatu produk sejarah yang hanya sesuai pada zamannya (zaman dahulu) dan ia perlu dinilai secara keseluruhan untuk disesuaikan dengan zaman ini.

6. Merungkaikan syariah
Memberikan wajah baru kepada hukum-hukum syarak dengan menyesuaikan ia mengikut kehendak zaman dan membuang beberapa prinsip syarak yang asas jika bertentangan dengan akal, kehendak zaman dan kepentingan tertentu.

7. Menolak hukum akhlak
Menyaring hukum-hukum akhlak dan disesuaikan dengan deklarasi Hak-hak Asasi Manusia yang digubal oleh Barat. Menolak undang-undang moral. Pergaulan bebas, budaya hedonisme, seks bebas dan sebagainya bukan satu kesalahan.

8. Mendewakan akal
Mengukur sesuatu menurut rasional akal fikiran dan bukan mengikut timbangan al-Quran dan al-Sunnah.

BAHAYA ISLAM LIBERAL

Berdasarkan kepada beberapa prinsip Islam Liberal, ia merupakan bahaya yang besar kepada umat Islam antaranya;

1. Membahayakan akidah – semua agama adalah sama, manusia bebas untuk menukar agama sesuka hati kerana tiada bezanya agama ini.

2. Membahayakan kehidupan masyarakat Islam yang berakhlak mulia apabila nilai-nilai hidup bebas Barat merupakan satu hak asasi.

3. Meruntuhkan tamadun Islam- Tamadun Islam dibina atas dasar al-Quran dan al-Sunnah dan bebas daripada kehendak musuh Islam. Islam Liberal adalah tajaan dan sokongan Barat yang hendak menghancurkan budaya, tamadun dan keutuhan umat Islam.

4. Mengelirukan umat – umat menjadi keliru dengan Islam yang sebenar dengan adanya pelbagai pemikiran yang pelbagai versi.

5. Memecah belahkan kesatuan umat- apabila gejala taasub dan fanatisme akibat daripada kemunculan pelbagai aliran yang tidak berakar umbi yang satu.

CARA MENGHADAPI CABARAN ABAD 21 INI.

1. Menjadikan al-Quran dan al-Sunnah pegangan utama dalam menilai segala sesuatu.
2. Menuntut ilmu agama secara lengkap dan berterusan melalui ahlinya yang muktabar.
3. Memantapkan ibadah yang akan melahirkan akidah dan pegangan yang mantap dalam Islam.
4. Islam adalah Islam sebagaimana yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW, tanpa modifikasi dan tokok tambah.

** Artikel ini hanya ringkasan untuk memudahkan faham pembaca tentang Islam Liberal**

No comments:

Post a Comment