Monday, October 19, 2009

Mursyidul am IM : Amanat kepada Pelajar-Pelajar baru

Kamu adalah pencetus kebangkitan

Sesungguhnya telah menjadi ketentuan Allah s.w.t. bahawa dakwah tidak tegak dan tidak menang kecuali di atas bahu orang muda. Sirah Nabi s.a.w. adalah saksinya. Ibn Abbas r.a. melaporkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda pada hari peperangan Badar (maksudnya): “Sesiapa yang melakukan begini dan begini dan datang ke tempat ini dan ini, maka baginya ini dan ini!”, lalu berlumba-lumbalah para pemuda ke arahnya, sedangkan orang tua-tua terpacak sahaja di sisi bendera. (Riwayat an-Nasaei)
Maka pemuda hari ini adalah harapan bagi umat ini. Merekalah roh yang menghidupkannya dan tiang yang menjadi tonggaknya.

Mahasiswa dan mahasiswi khususnya adalah mereka yang mencipta kecemerlangan dan keunggulan. Merekalah agen perubahan yang dinanti-nantikan. Merekalah factor kebangkitan yang diharapkan. Lantaran itu, Allah s.w.t. menjadikan hati-hati pemuda sebagai bejana penampung ilmu. Dia menjadikan ilmu serasi bersemadi di dalam hati para pemuda. Ibn Abbas r.a. pernah berkata maksudnya: “Allah ‘Azza wa Jalla tidak memberikan ilmu kepada seseorang hamba kecuali pemuda. Kebaikan itu semuanya ada pada pemuda. Kemudian beliau membacakan firman Allah ‘Azza wa Jalla yang bermaksud:( (Setengah dari) mereka berkata: Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya. (Al-Anbia’:60) dan “Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa dia masih kanak-kanak.” (Maryam:12)

Maka ummah berhajat kepada kejayaan akademik kamu, menanti cetusan ilmu hasil penyelidikan kamu, mengharap kecemerlangan dan keunggulan daripada kegigihan kamu. Siapakah yang lebih layak daripada kamu wahai pemuda. Kamu punya energy yang disalut cahaya ilmu untuk mengubah masa depan tanah air kita, memimpin dunia ini ke arah kebenaran, keadilan dan persamaan. “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat petunjuk.” (Al-Kahf:13)

Kewajipan Mahasiswa Yang Paling Utama


Sebenarnya saya telah melontarkan kepada kamu sebelum ini beberapa soalan. Hari ini akan saya lontarkan buat kali ke dua. Saya meminta setiap pemuda dan pemudi menggariskan di dalam jawapannya lukisan yang menggambarkan kewajipannya yang saebenar. Selepas itu mula bergerak ke arah kebangkitan dan mengembalikan hak-hak yang dirampas dari umat ini.

- Di manakah letaknya para pemuda dunia Islam di atas peta dunia dan sejauh mana kesan yang mereka bawa terhadap perubahan yang berlaku di dalam dunia hari ini?

- Bagaimana para pemuda di dunia Islam melihat kedudukannya di atas peta tanah airnya?

- Adakah pengetahuan pemuda dunia Islam sekarang bersumberkan Islam dan diwarnai pemikiran Islam atau diceduk daripada sumber yang lain?

- Apakah yang dicita-citakan oleh pemuda dunia Islam kita mengenai masa depan mereka?
Bukankah dengan jawapan itu kamu wahai pelajar, kamu dapat memahami reality umat hari ini, tentang apa yang kita harapkan daripada umat kita yang berusaha untuk membebaskan diri daripada ikatan penjajahan, kediktatoran, kerosakan dan penindasan?

Sesungguhnya Imam al-Banna telah mengingatkan hal ini kepada para pemuda di mana beliau pernah berkata: “Dan pada ketika itu kewajipan pemuda yang paling utama adalah memberi tumpuan kepada umatnya lebih daripada tumpuan kepada diri mereka sendiri!” Inilah juga yang dilihat oleh Rasulullah s.a.w. terhadap pahlawan-pahlawan dari kalangan pemuda di sekelilingnya. Baginda bersabda maksudnya: “Aku dibangkitkan, maka aku dikeciwakan oleh orang tua, dibantu oleh pemuda”
Dan hari ini tibalah masa untuk kamu menulung agama kamu tanpa takut dan ragu. Berpegang teguhlah kepada hak-hak kamu sekalipun berhadapan dengan ancaman dan tekanan yang berat. Suarakan kebenaran dengan lantang meskipun ia mengundang seribu rintangan. Kemukakan idea dan buah fikiran kamu tanpa segan dan malu. Jangan endahkan system kuku besi yang mencengkam kini kerana sesungguhnya tidak lama lagi ia akan berkubur. Tiada yang kekal kecuali kebenaran.

Melangkah ke medan amal

Antara kewajipan pelajar yang paling utama terhadap umat adalah langkah-langkah praktikal yang diajukan oleh mereka dan ikhwan dari segi fikrah, amal dan pelaksanaan. Ayuhlah dari sekarang kita bergerak demi merealisasikan impian Imam al-Banaa ketika beliau berucap di hadapan para pelajar di dalam muktmar mereka: “Kita tinggalkan medan bercakap ke medan amal, medan meletakkan strategi dan manhaj ke medan melaksana dan merealisasi.

Timur menuntut kita dengan sungguh-sungguh sepaya bekerja keras, kerja yang membuahkan hasil. Dunia seluruhnya mempersiapkan diri mereka dengan membina kekuatan kekuatan dan mencari jalan-jalan yang membawa kepada kejayaan. “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (As-Saff:2-3)

Ayuh kita fahami Islam. Ia satu-satunya risalah yang mampu menyelamatkan dunia dan seluruh isinya. Ia mengandungi siasah, ekonomi, kemasyarakatan, kebudayaan dan undang-undang. Kalau bukan itu, maka apakah dia?

Imam al-Banna telah menjawab di hadapan para pelajar dengan berkata: “Adakah Islam itu rakaat-rakaat yang lahir dari hati yang tiada khusyu’? Atau adakah ia lafaz-lafaz/perkataan-perkataan yang diucapkan di bibir semata? Adakah hanya untuk ini al-Quran diturunkan? Tidak! Ia merupakan system yang sempurna, kemas, rapi dan terperinci! “…dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayat petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.” (An-Nahl:89)

Mari kita lakukan pengislahan dan berpegang dengannya sekalipun terdapat halangan dan rintangan kerana pengislahan adalah perintah Allah “Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.” (Al-Maidah:50).

Sesungguhnya Rasul ikutan kita telah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud: “Din itu nasihat. Mereka bertanya: “Untuk siapa ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Untuk Allah, RasulNya, KitabNya, imam-imam muslimin dan awam mereka”. Dengan itu, mustahil bagi kita berjalan ke suatu matlamat selain daripada matlamat Islam, atau kita berkerja untuk satu fikrah selain daripada fikrah Islam yang suci. “(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat.” (Al-Baqarah:138)
Ayuh kita laungkan dakwah Islam senyaring-nyaringnya agar gemanya tinggi dan didengari. Sesungguhnya inilah tabiat dakwah yang dibawa oleh Nabi kita s.a.w. Adakah kita mahu menyimpang daripadanya? Atau adakah ia seharusnya sebati dengan urat saraf kita, darah kita, jiwa kita dan akal kita? Maka kita jadi seperti generasi pertama yang memikul amanah ini dan mempertahankannya? Mereka adalah rahib di waktu malam, perwira di waktu siang. Teman setia masjid, ahli ibadah yang taat, penghafaz kitab suci, mendokong ilmu, tentera dakwah, pembina hadharah yang menjulang tinggi memenuhi bumi, membebaskan bangsa-bangsa, mengajar manusia, menanam benih kemuliaan di mana jua.

Maka jadilah kamu utusan kesejahteraan di sekolah-sekolah kamu, di universiti-universiti kamu sehingga makna-makna ini hidup di dalam diri kawan-kawan kamu, guru-guru kamu dan keluarga kamu.

Kamu wahai pemuda orang yang memelihara kebebasan umat dan kemerdekaannya, yang mengembalikan kemuliaan dan ketinggiannya, yang memertabatkan keagongan dan kepemimpinannya, supaya ia kembali mengambil tempatnya yang di hadapan di kalangan bangsa-bangsa, darjatnya yang tinggi di kalangan umat-umat di muka bumi, supaya dia terlepas daripada cengkaman penjajahan yang jelik di Palestin, yang menceroboh tanah suci umat Islam, yang sedang berusaha untuk meyahudikan al-Quds dan meruntuhkan masjid kita, atau penjajah yang hina di Iraq dan Afghanistan, atau penguasaan yang memualkan di Kasymir dan Turkistan, atau kelemahan yang menyeluruh di semua negara umat Islam. Di dalam negara umat Islam sendiri pula, berlaku pembunuhan sesama Islam, penangkapan orang-orang mulia yang tidak berdosa, pembatasan kebebasan bergerak dan bersuara, pemalsuan undi dalam pilihanraya, penghukuman tanpa berpandukan akal dan perasaan kemanusiaan. Kamulah yang bertanggungjawab membetulkannya.

Dan tidak ada jalan untuk merealisasikan semua itu melainkan dengan membuat persediaan dan melengkapkan bekalan “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” (Al-Anfal:60). Dengan itu kamu akan dapat membuka lembaran baru ke arah membangun umat kita. Ini juga memerlukan paduan tenaga, gabungan kekuatan, memanfaatkan semua kebolehan, kerja yang bersunguh-sungguh di setiap medan. Jangan tuang tenaga kamu kecuali untuk merealisasikan matlamat kamu, iaitu menyelamatkan bangsa kita sekarang ini. Sesungguhnya bangsa kita telah mula bernafas, telah bersedia untuk bangkit dengan cergas, tetapi ia berhajat kepada orang yang dapat memandu arah dan menunjukkan jalan.

Dan dengan itu kamu telah menyiapkan jalan untuk berpindah daripada kelemahan, kefaqiran, kejahilan dan kehinaan yang ditaja oleh mereka yang tidak inginkan kebaikan dan pembaikan. Mereka hanya melakukan kerosakan di bumi. Jangan kamu hiraukan mereka itu. Kamu adalah pencetus kebangkitan. Hadapi mereka dengan hikmah. Hikmah bererti jangan berhenti dan jangan undur atau berpaling ke belakang. Sekiranya mereka menghalang kamu daripada menyuarakan pandangan kamu dengan cara berdemontrasi maka nyatakan pandangan kamu di angkasa raya, menerusi internet atau risalah-risalah dengan segala macam dan cara, atau suarakan kepada kaum kerabat, rakan-rakan, pusat-pusat komuniti, kelab-kelab sosial atau berbicara dengan ahli akademik, golongan berpendidikan tinggi dan para profesynal. Sesungguhnya dakwah kita bukan dakwah yang meruntuhkan atau mengoyakkan, memalsukan atau memecahkan. Dakwah kita adalah kesejahteraan, kejujuran, pembinaan dan pembaikan.

Jadilah kamu barisan pemuda yang satu. Ia sudah cukup untuk mengambil kembali semua hak-hak. Awasi perpecahan dan pertelingkahan. Sesungguhnya musuh sentiasa mengintai kamu dan menunggu peluang untuk memecah belahkan tenaga kamu, mencerai beraikan usaha kamu, pergeseran sesama kamu, percakaran di kalangan kamu, pemboikotan antara kamu, perbezaan hala tuju di dalam saf kamu. Sesungguhnya masa depan benar-benar memanggil kamu, mendesak kamu supaya beramal dan berjalan selaju mungkin, melangkah sepantas yang boleh. Kemukakan dakwah Islam dengan iman yang mendalam, dengan bukti yang kukuh, dengan keyakinan yang teguh. Jadikanlah firman Allah sebagai slogan kamu “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” (Al-Anfal:24)

Akhirnya:

Ketahuilah bahawa Allah bersama kamu selagi kamu mengetahui tangungjawab kamu, kamu memahami betapa besarnya dakwah kamu, kamu ikhlaskan niat kamu untuk Allah. Kamulah tonggak kekuatan umat ini, kuasa penolaknya ke hadapan, yang membawakan kemajuan dalam bidang ilmu pengetahuan. Kamulah lambang kesatuannya, kemantapan pendiriannya, harapan masa depannya, keamanan hari ini dan hari esoknya.
Maka tunggulah saat kemenangan, nantikanlah waktu kejayaan. “… Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (Ar-Rum:4-5)

Al-Ustaz Muhammad Mahdi ‘Aakif
Khamis 12 Syawal 1430/1 Oktober 2009
Risalah al-Ikhwan, bil 610, 13 Syawal 1430/2 Oktober 2009

No comments:

Post a Comment