Friday, April 8, 2011

Kepentingan Agenda Islam Dalam Memperkasakan Ummat Melayu..

Dalam kehanggatan era maklumat abad-21 dan didihnya suhu politik tanah air. Akhirnya sejarah tidak boleh menafikan peranan islamisasi yang meyumbang kepada nilai kepimpinan yang ingin dipilih oleh golongan muda dan profesional. Ini dibuktikan dengan rencana yang dikeluarkan oleh Prof. Dr Sidek Baba

Pentingnya agenda memperkasa umat Melayu

KONSEP umat Melayu dalam maksud umat teras dalam politik dan pemerintahan di Malaysia mempunyai asas sejarah dan budaya yang kuat.


Meskipun zaman berubah dan banyak faktor teras terjejas sama, memperkasa umat Melayu dalam pemahaman dan penghayatan agama, penguasaan ekonomi yang seimbang, pembangunan modal insan cemerlang dan berkualiti, menampilkan kualiti kepimpinan dan kepengikutan yang terpancar daya keadilan dan amanah yang tinggi menjadi suatu tuntutan yang tidak dapat dielakkan.


Tidak salah kita mengambil manfaat berbanding dari sumber ilmu, budaya dan tamadun orang lain tetapi maksud umat Melayu merujuk kepada tamadun Islam yang harus mampu membangunkan jiwa reflektif di kalangan penganutnya. Umat Melayu sama ada kepimpinan mahupun pengikutnya harus bersedia memperkasa diri dengan penghayatan Islam.


Atas sifat suatu bangsa semata-mata ia tidak memiliki keteguhan sifat nilai yang mampu mencernakan amanah, keadilan, kejujuran dan keikhlasan. Bersifat sebagai suatu bangsa semata-mata tidak memandu untuk memberikan pedoman terbangunnya sebuah umat dalam erti kata yang luas.


Apabila konsep umat dalam hubungan ummatan wasata dan khaira ummah, ia memberikan landasan kepada bangsa Melayu untuk menjadi umat terbaik. Tidak salah Islam dimanifestasikan dalam sistem pembangunan di Malaysia kerana risalah yang dibawanya adalah untuk kesejahteraan umat manusia.


Mungkin ada kritik menyatakan memperkasakan Islam ke dalam sistem di Malaysia boleh meminggirkan orang lain dan menyebabkan asas perkauman bertambah segar. Kritik ini tidak melihat pemajuan ‘hub halal,” pemajuan sistem bank dan kewangan Islam di Malaysia tidak meminggirkan kegiatan perdagangan yang umumnya dimiliki oleh orang bukan Islam tetapi mengamalkan sistem berlandaskan syariah.


Yang diperlukan ialah konsep ummatik itu berjalan seperti yang dituntut oleh Islam. Islam tidak saja menghasilkan suatu sistem kepercayaan yang teguh dan utuh tetapi ia juga adalah ‘cara hidup’ yang memberikan asas kepada terbangunnya sistem. Asas inilah sewajarnya menjadi teras supaya ia terpedoman dengan nilai-nilai baik tidak saja untuk umat Melayu tetapi juga orang bukan Melayu.


Sebarang perbincangan di kalangan orang Melayu tentang keunggulan umat teras ia perlu dikaitkan dengan Islam sebagai agama pendukung tamadun. Kalau tidak, sifat sesuatu bangsa itu akan menjadi kosong dan hampa kerana kandungan ilmu dan rohaniahnya kontang. Hanya bangsa yang mempunyai upaya litaarrafu atau kekenalan yang tinggi saja mampu melahirkan kecemerlangan pada jiwa dan jati diri bangsanya.


Oleh itu baik kongres mahupun simposium yang menjuruskan perbincangan mengenai kepentingan umat Melayu sebagai teras harus jelas dengan sifat nilai yang ingin dikembangkan. Sekiranya sifat nilai bangsa terpancar secara kaumiyyah ia tidak banyak membantu bagi meletakkan kedudukan bangsa yang penuh dengan cabaran persaingan. Asas ini sangat penting difahami kerana landskap politik, ekonomi, persepsi generasi muda, sains dan teknologi, perkembangan kebudayaan sedang menghadapi perubahan yang amat drastik.


Apalagi faktor bangsa yang didekati dengan faham sekular dan liberal, bangsa Melayu tidak lebih sebagai penciplak dan pengguna setia terhadap tamadun kebendaan Barat dan ia tidak juga memperkasa umat Melayu secara jangka panjang. Ia tidak bermakna umat Melayu harus menentang Barat kerana ia Barat. Di Barat banyak faedah berbanding yang boleh diambil dan dikembangkan di Malaysia khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Cuma sebagai umat Melayu yang ada maruah, tentunya kita amat waspada dengan faktor globalisasi yang menjadi agenda Barat yang ingin menukarkan cara dan gaya kehidupan orang Islam menjadi seperti mereka.


Hari ini kemelut yang ditanggung oleh umat Melayu ialah hilangnya rasa percaya terhadap sistem kepimpinan yang menyebabkan orang Melayu mencari alternatif.


Kebangkitan generasi cerdik pandai Melayu yang lahir sekitar 1980-an dan 1990-an dalam bidang dakwah dan Islam sedang menempatkan diri dalam pemerintahan mahupun bidang profesional.


Sekiranya dasar-dasar negara yang berjalan yang didukung oleh kepimpinan Melayu tidak peka tentang keperluan mengukuhkan kualiti ilmu dan penghayatan yang Islami, ia boleh menyebabkan jurang pemikiran antara kelompok ini dengan kelompok penggubal dan pelaksana dasar menghadapi konflik.


Konflik ini akan memberi kesan kepada ketirisan wibawa umat Melayu sebagai umat teras. Perlu diwujudkan suatu sinergi bagaimana potensi ilmuwan dan profesional umpamanya diberi ruang yang luas dalam pewujudan sistem yang berasaskan orientasi Islami supaya tenaga yang ada dapat menyumbang ke arah pengukuhan dan pemajuan masyarakat Malaysia yang majmuk.


Memperkasa umat Melayu sebagai umat teras menuntut kebijaksanaan yang tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan harus berlangsung suatu tajdid. Tajdid ilmu dan pendidikan harus mampu melepaskan diri ilmuwan Islam daripada belenggu kebekuan dan bersikap simplistik terhadap perubahan. Tradisi unggul pada masa lalu harus dijadikan mata rantai untuk memimpin perubahan supaya ia senafas dengan zaman dan cabaran lingkungan.


Memperkasa umat Melayu harus bermula dengan perubahan mentaliti dan sikap. Sikap zaman yang dinamik berubah tidak harus meletakkan umat Melayu berada dalam kerangka pemikiran lama kerana sifat perubahan yang terbuka dan tanpa batasan memerlukan mentaliti baru yang lebih proaktif supaya tidak berlaku proses peminggiran dalam upaya intelektual umat hingga menyebabkan kehadiran umat Melayu dan kelangsungan perubahan berlaku dalam keadaan tidak relevan.


Oleh itu memperkasa umat Melayu memerlukan pengenalpastian tiga perkara. Pertama kenal pasti elemen-elemen menyumbang dalam diri umat Melayu sendiri. Kedua, integrasikan dengan elemen-elemen ketamadunan dalam pembangunan umat. Ketiga wujudkan sinergi antara faedah berbanding dalam tamadun lain supaya ia mampu menghasilkan binaan pemikiran berasaskan acuan kita sendiri.


PROF. DATUK DR. SIDEK BABA Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments:

Post a Comment