"Sibukan dirimu dengan KEBAIKAN jika tidak dirimu akan disibukan dengan KEBATILAN"
Friday, April 15, 2011
SEJARAH PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)
Friday, April 8, 2011
Kepentingan Agenda Islam Dalam Memperkasakan Ummat Melayu..
KONSEP umat Melayu dalam maksud umat teras dalam politik dan pemerintahan di Malaysia mempunyai asas sejarah dan budaya yang kuat.
Meskipun zaman berubah dan banyak faktor teras terjejas sama, memperkasa umat Melayu dalam pemahaman dan penghayatan agama, penguasaan ekonomi yang seimbang, pembangunan modal insan cemerlang dan berkualiti, menampilkan kualiti kepimpinan dan kepengikutan yang terpancar daya keadilan dan amanah yang tinggi menjadi suatu tuntutan yang tidak dapat dielakkan.
Tidak salah kita mengambil manfaat berbanding dari sumber ilmu, budaya dan tamadun orang lain tetapi maksud umat Melayu merujuk kepada tamadun Islam yang harus mampu membangunkan jiwa reflektif di kalangan penganutnya. Umat Melayu sama ada kepimpinan mahupun pengikutnya harus bersedia memperkasa diri dengan penghayatan Islam.
Atas sifat suatu bangsa semata-mata ia tidak memiliki keteguhan sifat nilai yang mampu mencernakan amanah, keadilan, kejujuran dan keikhlasan. Bersifat sebagai suatu bangsa semata-mata tidak memandu untuk memberikan pedoman terbangunnya sebuah umat dalam erti kata yang luas.
Apabila konsep umat dalam hubungan ummatan wasata dan khaira ummah, ia memberikan landasan kepada bangsa Melayu untuk menjadi umat terbaik. Tidak salah Islam dimanifestasikan dalam sistem pembangunan di Malaysia kerana risalah yang dibawanya adalah untuk kesejahteraan umat manusia.
Mungkin ada kritik menyatakan memperkasakan Islam ke dalam sistem di Malaysia boleh meminggirkan orang lain dan menyebabkan asas perkauman bertambah segar. Kritik ini tidak melihat pemajuan ‘hub halal,” pemajuan sistem bank dan kewangan Islam di Malaysia tidak meminggirkan kegiatan perdagangan yang umumnya dimiliki oleh orang bukan Islam tetapi mengamalkan sistem berlandaskan syariah.
Yang diperlukan ialah konsep ummatik itu berjalan seperti yang dituntut oleh Islam. Islam tidak saja menghasilkan suatu sistem kepercayaan yang teguh dan utuh tetapi ia juga adalah ‘cara hidup’ yang memberikan asas kepada terbangunnya sistem. Asas inilah sewajarnya menjadi teras supaya ia terpedoman dengan nilai-nilai baik tidak saja untuk umat Melayu tetapi juga orang bukan Melayu.
Sebarang perbincangan di kalangan orang Melayu tentang keunggulan umat teras ia perlu dikaitkan dengan Islam sebagai agama pendukung tamadun. Kalau tidak, sifat sesuatu bangsa itu akan menjadi kosong dan hampa kerana kandungan ilmu dan rohaniahnya kontang. Hanya bangsa yang mempunyai upaya litaarrafu atau kekenalan yang tinggi saja mampu melahirkan kecemerlangan pada jiwa dan jati diri bangsanya.
Oleh itu baik kongres mahupun simposium yang menjuruskan perbincangan mengenai kepentingan umat Melayu sebagai teras harus jelas dengan sifat nilai yang ingin dikembangkan. Sekiranya sifat nilai bangsa terpancar secara kaumiyyah ia tidak banyak membantu bagi meletakkan kedudukan bangsa yang penuh dengan cabaran persaingan. Asas ini sangat penting difahami kerana landskap politik, ekonomi, persepsi generasi muda, sains dan teknologi, perkembangan kebudayaan sedang menghadapi perubahan yang amat drastik.
Apalagi faktor bangsa yang didekati dengan faham sekular dan liberal, bangsa Melayu tidak lebih sebagai penciplak dan pengguna setia terhadap tamadun kebendaan Barat dan ia tidak juga memperkasa umat Melayu secara jangka panjang. Ia tidak bermakna umat Melayu harus menentang Barat kerana ia Barat. Di Barat banyak faedah berbanding yang boleh diambil dan dikembangkan di Malaysia khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Cuma sebagai umat Melayu yang ada maruah, tentunya kita amat waspada dengan faktor globalisasi yang menjadi agenda Barat yang ingin menukarkan cara dan gaya kehidupan orang Islam menjadi seperti mereka.
Hari ini kemelut yang ditanggung oleh umat Melayu ialah hilangnya rasa percaya terhadap sistem kepimpinan yang menyebabkan orang Melayu mencari alternatif.
Kebangkitan generasi cerdik pandai Melayu yang lahir sekitar 1980-an dan 1990-an dalam bidang dakwah dan Islam sedang menempatkan diri dalam pemerintahan mahupun bidang profesional.
Sekiranya dasar-dasar negara yang berjalan yang didukung oleh kepimpinan Melayu tidak peka tentang keperluan mengukuhkan kualiti ilmu dan penghayatan yang Islami, ia boleh menyebabkan jurang pemikiran antara kelompok ini dengan kelompok penggubal dan pelaksana dasar menghadapi konflik.
Konflik ini akan memberi kesan kepada ketirisan wibawa umat Melayu sebagai umat teras. Perlu diwujudkan suatu sinergi bagaimana potensi ilmuwan dan profesional umpamanya diberi ruang yang luas dalam pewujudan sistem yang berasaskan orientasi Islami supaya tenaga yang ada dapat menyumbang ke arah pengukuhan dan pemajuan masyarakat Malaysia yang majmuk.
Memperkasa umat Melayu sebagai umat teras menuntut kebijaksanaan yang tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan harus berlangsung suatu tajdid. Tajdid ilmu dan pendidikan harus mampu melepaskan diri ilmuwan Islam daripada belenggu kebekuan dan bersikap simplistik terhadap perubahan. Tradisi unggul pada masa lalu harus dijadikan mata rantai untuk memimpin perubahan supaya ia senafas dengan zaman dan cabaran lingkungan.
Memperkasa umat Melayu harus bermula dengan perubahan mentaliti dan sikap. Sikap zaman yang dinamik berubah tidak harus meletakkan umat Melayu berada dalam kerangka pemikiran lama kerana sifat perubahan yang terbuka dan tanpa batasan memerlukan mentaliti baru yang lebih proaktif supaya tidak berlaku proses peminggiran dalam upaya intelektual umat hingga menyebabkan kehadiran umat Melayu dan kelangsungan perubahan berlaku dalam keadaan tidak relevan.
Oleh itu memperkasa umat Melayu memerlukan pengenalpastian tiga perkara. Pertama kenal pasti elemen-elemen menyumbang dalam diri umat Melayu sendiri. Kedua, integrasikan dengan elemen-elemen ketamadunan dalam pembangunan umat. Ketiga wujudkan sinergi antara faedah berbanding dalam tamadun lain supaya ia mampu menghasilkan binaan pemikiran berasaskan acuan kita sendiri.
PROF. DATUK DR. SIDEK BABA Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Saturday, April 2, 2011
Tarbiah Ibadah al-Ikhwan al-Muslimin
Tujuan penulisan pada kali ini adalah untuk memaksa diri terus bersemangat memerah keringat dan otak untuk membaca buku sebanyak yang mungkin. Tabiat ini penting bagi memastikan kita adalah insan yang sentiasa bermaklumat dan mempercepatkan kita untuk membuat sesuatu keputusan pada masa akan datang atau bila masa diperlukan..
Membaca kisah gerakkan yang paling tersusun di mesir iaitu al-Ikhwan al-Muslimin yang dinukilkan oleh tokoh ulama terkenal abad 21 Prof. Dr Yusuf al-Qadrawi dalam menyentuh unsure-unsur dasar ibadah yang ditekankan dalam tarbiah Ikhwan adalah :-
1. Berpegang teguh dengan sunnah dan menjauhi bid’ah kerana semua bentuk bid’ah adalah sesat. Berkaitan dengan hal ini, seorang akh terhormat Sayyid Sabiq menulis karyanya yang cukup terkenal iaitu Fiqh Sunnah yang disambut baik oleh As-Sayyid Hassan al-Banna sehinnga beliau berkenaan member penghantar dan memujinya . Sebelum dicetak luas , beberapa bahagian dari buku tersebut diterbitkan dalam majalah mingguan al-ikhwan . Kitab Fiqh Sunnah disusun berdasarkan dalil-dalil Syarie dan dapat dianggap sebagai mewakili orientasi fikah al-ikhwan al-muslimin.
2. Menjaga perkara-perkara yang fardu . Hal ini kerana Allah tidak menerima amalan sunnah sebelum memenuhi amalan fardu. Dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari :- “ Seorang hamba-Ku tidak melakukan qurbah (pendekatan) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih aku sukai dari melakukan apa yang telah Kuwajibkan kepadanya “ Kerana itu, tidak boleh sama sekali meremehkan dan menganggap ringan meninggalkan sesuatu kewajipan(fardu).
3. Menganjurkan solat jemaah. Hukum solat jemaah berkisar antara fardu ain dan fardu kifayah atau sunnah mu’akkadah sesuai dengan perbezaan pendapat antara beberapa mazhab . Untuk itu, ketika sebahagian anggota mereka segera menjadikan bahagian-bahagian penjara yang terpisah itu sebagai masjid untuk melakukan solat jemaah dan solat Jumaat . Saya(Prof Dr Qadrawi) masih teringat dengan suara Syeikh Muhammad al-Ghazali yang mengimami kami dalam setiap solat pada waktu itu. Ia selalu berdoa Qunut di setiap rakaat terakhir dengan mengucapkan : “ Ya allah bukakanlah belenggu tahanan kami dengan kekuatanMu , himpunkanlah perpecahan kami dengan perhatian-Mu. Ya Allah, tutupkanlah aurat dan aib kami, berilah ketenangan atas rasa takut kami….”
4. Menganjurkan pelaksanaan sunnah. Dalam kelanjutan hadis qudsi di atas dinyatakan:
“ Dan hamba-Ku terus melakukan qurbah (pendekatan) kepadaku dengan mengerjakan amalan-amalan sunnah sehingga Aku menyukainya…”
Betapa banyak yang tumbuh di bawah naungan tarbiah Ikhwan yang tekun menjalankan puasa dan solat malam.
“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya , sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan penuh harap”(As-Sajadah)
Berkaitan dengan hal ini, Hassan al-Banna sebagai mursyid, menyusun sebuah risalah “Munajat”. Di dalamnya ia menerangkan keutamaan solat tahajjud dan solat malam, kedudukan doa dan istighfar dengan menyertakan beberapa ayat al-Quran, hadis dan atsar yang menjelaskannya. Al-Banna rahimullah selalu menekankan nikmatnya beribadah di tengah malam, melakukan solat malam ketika manusia sedang terlelap tidur. Bangn malam dalam ketaatan ketika banyak manusia juga bangun malam namun tenggelam dalam kelalaian menangis dalam tangisan orang-orang soleh di saat banyak manusia tertawa. Seringkali al-Banna melantunkan untaian puisi seorang penyair mengungkapkan menujat kepada Tuhannya:
“Mata yang terjaga di malam hari bukan untuk-Mu adalah kebatilan tangisan mata bukan kerana kehilangan –Mu adalah sia-sia.” Ungkapan ini sangat berpengaruh terhadap akal fikiran dan hati anggota Ikhwan, sehingga muncullah satu generasi rabbani yang sanggup bangun malam kerana Allah dan menahan dahaga pada siang hari kerana Allah. Musim dingin tidak menghalangi untuk tetap melakukan solat malam , tidak pula musim panas menghalangi mereka untuk tetap berpuasa, kerana ia menemukan keghairahan dalam ibadah, merasakan kenikmatan dalam ketaatan dan mengecap kebahagiaan dalam menjalankan solat di hadapan-Nya. Keadaannya seperti yang dinyatakan oleh seorang soleh pada masa dahulu. Jika raja mengetuainya nescaya mereka memerangi kita dengan tenteranya untuk mendapatkannya(Yusuf al-Qadrawi 1983).