Monday, July 5, 2010

Pesanan Buat Mereka Mahasiswa baru..

Perhatikan petikan kata-kata Prof Dr Abu Hassan Hasbullah ketika syarahan Perdana Abdullah Munshi, yang berlangsung di KUIS, 25 Jun 2010 baru-baru ini (kredit kepada blogger si Syahid) :




Mahasiswa yang berorientasikan bilik kuliah adalah mahasiswa dungu di abad ke 21. Mahasiswa yang fokusnya untuk peperiksaan adalah mahasiswa statik yang tidak memberi impak kepada sekelilingnya. Mahasiswa yang rigid dengan silibus buku teks pensyarah adalah manusia ketinggalan dalam dunia keterbukaan ilmu.

Mahasiswa kurun ke 21 adalah mahasiswa yang meneroka, mengkaji, menjelajah dan menulis. Jika unsur-unsur seperti ini tiada pada diri mahasiswa maka mahasiswa akan ketinggalan dalam era serba fakta dan berilmu pengetahuan.

Seruan untuk menjadi 'orang baru' adalah seruan penting penuh bermakna. Sejarah mencatatkan betapa bernilainya menjadi orang baru yang bermanfaat kepada orang lain pada masa mendatang. Menjadi orang baru bererti melawan arus masyarakat semasa. Bertentangan dengan adat lazim manusia semasa. Menjadi orang baru meninggalkan jauh masyarakat ke belakang dan mengejar mutiara beharga di hadapan tanpa perlu menunggu masyarakat menerima dahulu.

Betapa ramai tokoh orang baru pada masa dahulu yang kini menjadi sebutan, bukti maha penting orang baru untuk membentuk masyarakat masa hadapan. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (729H/1328M) terkenal sebagai orang baru di tengah-tengah masyarakat zamannya. Justeru itu pandangannya jauh berbeza dengan pandangan masyarakat semasa ketika itu. Padahnya beliau mati di jeriji besi di bawah penguasaan diktator yang sombong. Tapi manfaatnya sehingga kini fikrahnya, hujahnya, idealismanya dan prinsipnya megah diamalkan masyarakat beragama dan telah melahirkan jutaan ulama' yang hebat dan agung.

Al-Ghazali, satu contoh orang baru dizamannya. Nah, di umur 40 tahun sudah ratusan kitab dikarangnya. Sehingga nyawa dicabut pada umur yang muda, tapi meninggalkan khazanah ilmu yang maha hebat.

Di Tanah Melayu, muncul tokoh seperti Abdullah Munshi yang menjadi orang baru di zaman kegelapan masyarakat melayu ketika itu. Di saat masyarakat yang sibuk dengan perkara-perkara tahyul, seperti jin, hantu, syaitan dan iblis, Abdullah Munshi keluar dari bayangan kegelapan itu dengan menghasilkan karya penulisan yang gah sehingga ke hari ini.

Pada ketika itu beliau menulis tentang keburukan sikap lelaki Melayu Kelantan yang pemalas, duduk bersilang kaki di wakaf-wakaf, sedang wanitanya bertungkus-lumus bekerja di sawah padi dan di pasar-pasar. Walau ketika itu kritikan ini mendapat serangan negatif masyarakat ketika itu, tapi jelas terbukti kebenarannya pada masa sekarang. Lihatlah di majlis-majlis ilmu, berapa ramai mahasiswa hadir untuk mendengar berbanding mahasiswi. Bukti jelas kebenaran kata-kata Abdullah Munshi, ratus tahun dulu.

Inilah antara bukti betapa penting menjadi orang baru. Kita tak mahu menjadi solid seperti Ibnu Taimiyyah, Imam Ghazali, Ibnu Sina atau Abdullah Munshi. Kerana tokoh-tokoh yang sering kita sebut ini adalah hafalan di mulut semata-mata. Retorik kepada diri kita sahaja. Tapi kita mahu menjadi orang baru di zaman kita, sepertimana mereka menjadi orang baru di zaman mereka.

Jadi tiga gagasan yang ingin disebutkan ini merupakan faktor besar kepada perubahan mahasiswa bermula hari ini. Iaitu reformist, revivalist dan penjelajahan.

Mahassiwa hari ini perlu bersifat reformist pada diri dan masyarakat sekeliling. Suara kebangkitan perubahan perlu disokong dan didokong. Sudah 50 tahun mahasiswa dijajah pemikirannya dan berpuluh tahun juga mahasiswa disekat kebebasannya untuk bersuara. Jadi mahasiswa perlu bangkit untuk tidak lagi rasa dibelenggu dengan sekatan-sekatan itu.

Ruang untuk bergerak masih luas walau beratus rantaian dan sekatan kepada mahasiswa. Jangan sekali-sekali berhenti. Mahasiswa matang apabila mampu membangkitkan suara perubahan dan menggerakkan gagasan perubahan tanpa bimbang dengan sekatan-sekatan yang kecil itu.

Kemudian mahasiswa perlu bersikap revivalist, iaitu menggerakkan kebangkitan suara perubahan. Jangan menunggu suasana yang membangkitkan perubahan, tapi kitalah yang mencetuskan suara kebangkitan itu. Kalau mahasiswa menjadi penunggu setia di era kebangkitan generasi Homo Zapiens, nescaya mahasiswa akan kalah dan bakal menjadi mahasiswa kuno di kurun ke 17.

Jika mahasiswa Australia mampu membaca 180 biji buku setahun kenapa kita tidak mampu mengejar dengan sekurang-kurangnya membaca 50 biji buku setahun.

Gagasan yang ketiga ialah mahasiswa perlu menjelajah. Sungguh aib dan bodoh di kurun ke 21 ini, masih ramai lagi mahasiswa yang asyik menunggu cuti semester untuk pulang ke kampung halaman, membuang masa kosong tanpa memberi apa-apa manfaat. Jadikan masa cutimu untuk menjelajah segenap pelosok tempat yang boleh memberi satu pengalaman baru kepadamu.

Sekurang-kurangya bila berada di kampung, kajilah berapa ramai penduduk kampung yang masih belum mendapat bekalan air. Usahakan sesuatu supaya masyarakat kampung mendapat manfaat daripada kita selama 2 bulan cuti di kampung halaman.




Akhirnya melakukan perubahan adalah perbuatan dan perlaksanaan, bukan kata-kata manis dan bersemangat sahaja. Artikel seterusnya saya akan bincangkan bagaimana menghadapi generasi homo zapiens. Generasi online tanpa henti.

"Tembok Berlin bukan diruntuhkan oleh Caunselor Jerman, tetapi dilakukan oleh sekumpulan 25 orang Mahasiswa Universiti Berlin dengan ketukan paku ke dinding tembok


No comments:

Post a Comment