Tahniah kepada Jabatan Akidah Universiti Malaya yang telah berjaya mengadakan Seminar Pemikiran Islam baru-baru ini. Bagaimana pun, saya memiliki pandangan tersendiri dalam bab ini. Saya ingin mengucapkan tahniah terlebih dahulu kepada guru saya, Prof Madya Kamil Abd Majid, Dr Khalif Muammar, Dr Fauzi Zakaria dan Dr Lokman atas pembentangan yang menarik. Saya merumuskan pandangan saya dalam bentuk sebegini: 1. Tiada guna untuk mengambil sikap suka menyalahkan pandangan orang lain. Golongan ekstremis kalangan Asya’irah suka mengkafirkan kumpulan ‘wahhabiyyah’ dan begitulah sebaliknya. Ia langsung tidak membina ummah bahkan merosakkan perpaduan sesama umat Islam. 2. Pemikiran sebegini sudah mula menular kalangan anak muda yang masih terlalu cetek ilmu. Lalu, apabila mereka mempelajari sebuah dua kitab, mereka terus berani mengkafirkan ulama-ulama besar termasuklah Tuan Guru Nik Aziz. Pemikiran dan budaya mereka bukan sahaja tidak membangun bahkan meruntuhkan Islam. Mereka sangat suka mengkafirkan al-Qaradawi yang sudah terlalu banyak berjasa kepada umat Islam sedangkan mereka masih teraba-raba dalam kegelapan. 3. Kumpulan anak muda ini sangat gemar untuk menuduh dan menyerang kumpulan dakwah. Hanya ada satu dua silap kumpulan dakwah namun tuduhan mereka sangat besar seolah-olah kumpulan dakwah telah melakukan satu dosa yang teramat besar. Namun yang menariknya, mereka tidak berani pula untuk menyatakan apakah status Umno pada pandangan mereka. 4. Seminar ini akhirnya tidak membawa impak yang sangat besar kepada perkembangan dan keutuhan akidah di Malaysia. Ia tidak lebih ingin mempertahankan akidah Asya’irah dan menuduh kumpulan selain mereka, tetapi mereka tidak membincangkan bagaimana untuk menyelamatkan akidah anak muda Malaysia sekarang. Lalu seorang Imam menggelengkan kepala apabila mengikuti seminar ini kerana beliau tidak mampu membawa sesuatu yang sangat bermakna kepada masyarakat. Saya tidak memusuhi seminar tersebut, jauh sama sekali. Ada beberapa pembentangan sangat menarik seperti mana nama-nama pembentang yang saya nyatakan. Namun ada beberapa kertas kerja lebih bersikap menghukum dan tidak mendatangkan penyelesaian yang efektif. Mereka lebih suka untuk membincangkan ayat-ayat mutasyabihat yang sudah lama dibincangkan oleh ulama terdahulu. Bagi saya, apa guna memanjangkan perselisihan yang sudah lama berlaku. Daripada membincangkan soal Allah, apakah tangan dan wajah Allah, lebih baik kita membincangkan apakah perintah Allah kepada kita. Allah tidak pernah menyuruh kita membincangkan tentang zatnya, sama ada tangan membawa maksud kiasan atau tidak, tetapi Allah menyuruh kita melakukan dakwah, amar makruf dan mencegah kemungkaran, memerangi rasuh dan riba, mengangkat orang beriman sebagai pemimpin dan menyebarkan kesejahteraan kepada ummah. Sudah ramai pelajar yang masih muda, hatta yang baru menginjak usia 13 tahun yang bacaan al-Quran masih terangkak-rangkak tetapi sudah berani menghukum ulama termasuk Imam al-Syafie. Apa yang mereka dapat? Populariti? Begitu juga sesetengah kumpulan pondok yang jumud, yang suka mengambil pendekatan menyalahkan ulama yang terlibat dalam politik sedangkan mereka hanya tenggelam dalam dunia pondok dan kejumudan semata-mata. Begitu juga golongan yang beranggapan mereka aliran al-Quran dan hadis, terlalu suka menuduh dan mendakwa pendekatan mereka terbaik. Akhirnya, budak mat rempit dan penghisap ganja terus berada dalam kegelapan dalam kebutaan orang yang mengaku berilmu agama. Beberapa golongan mendakwa dakwah nabi bermula dengan akidah. Jadi, lupakan politik dan lain-lain, perkukuhkan akidah. Jika benar ini yang mereka perjuangkan, saya mahu mencadangkan beberapa perkara. Jika benar kalian mahu mengikuti nabi dengan membentuk akidah terlebih dahulu dan melupakan dakwah, maka pedulikan soal arak, judi, riba, bukalah aurat, kerana nabi tidak pernah memperjuangkan perkara tersebut sepanjang berada di Madinah. Saya tergelak apabila seseorang berkata kepada kawan saya, “Ustaz, sekarang ni kena teguhkan akidah dulu, pedulikan soal dakwah”. Anda hukumlah pemikiran ini sendiri. Kumpulan yang berani mengkafirkan Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi ini, mereka hanya berani bercakap sahaja. Jika kita meminta mereka untuk mengkafirkan PM Najib, pasti mereka tidak berani. Kerana PM ada kuasa sedangkan dua orang Tuan Guru tadi tiada kuasa. Namun sekarang seolah-olah Tuan Guru yang memiliki sebahagian pemikiran ‘kaum muda’ kononnya dianggap sangat berdosa jika dibandingkan dengan orang yang menganut aliran sekularisme dan liberalisme. Saya di peringkat Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama akhirnya ingin mencadangkan agar lain kali dibincangkan bagaimana menerapkan akidah yang utuh kalangan Rakyat Malaysia yang terjebak dengan banyak gejala hitam, bukan lagi menyibukkan diri membincangkan tentang zat Allah, Ibn Taymiyah dan Imam Ghazali lagi. Mereka sudah meninggalkan kita dengan jasa yang banyak sedangkan kita belum tentu lagi kedudukan di sisi Allah. Mohd Dzul Khairi Mohd Noor, Ketua Syubban Persatuan Ulama Malaysia. |
"Sibukan dirimu dengan KEBAIKAN jika tidak dirimu akan disibukan dengan KEBATILAN"
Saturday, July 24, 2010
Kumpulan dakwah dianggap berdosa, Umno bagaimana??
Wednesday, July 14, 2010
13/7/2010- Kuliah Dato Ustaz Shammsuri..
Syukur alhamdulillah segala puji dan syukurku panjatkan ke hadrat ilahi kerana masih lagi memberi nikmat iman dan islam serta keinginan untuk menghadiri majlis ilmu. Selamat dan salam buat rasul junjungan Nabi Muhammad saw serta ahli keluarga baginda, para sahabat dan pejuang islam dari masa ke semasa. Setinggi penghormatan dan sanjungan kepada para alim ulama yang menaburkan mutiara-mutiara ilmu untuk dikutip oleh orang-orang yang bijaksana.
Bab yang menyatakan tentang kelebihan ilmu yang ada di dada.
Dalam perkara ini yang perkara penting ialah mengamalkan ilm yang ada. Persoalan mencari ilmu adlah persoalan lain dan mengamalkan ilmu adalah persoalan lain. Walau apapun tetap untuk kita mempelajari ilmu. Ilmu yang paling utama untuk dipelajari ialah ilmu islam kerana ianya memandu manusia ke arah mengenal tuhan dan erti kebenaran yang sebenar. Sebaik-baik ilmu pula ialah ilmu yang membawa kepada manfaat dunia dan akhirat. Dalam kuliah ini juga diceritakan tentang seoarang sahabat yang takut tidak dapat mengamalkan ilmu yang beliau dapat daripada Rasulullah saw kerana sudah banyak hadith dan lamanya tempoh beliau mengikuti nabi Muhammad saw. Lalu beliau berjumpa dengan nabi dan menyatakan masalahnya dan bertambah takut beliau apabila ilmu yang beliau dapat akan lupa dek masa yang berlalu. Meminta beliau daripada Nabi satu nasihat yang ringkas tapi padat akan isinya. Nabi menasihati beliau agar sentiasalah takut kepada ALLAH.
Pengetahuan Ilmu kita terhadap islam juga seharusnya meningkat seiring dengan usia kita. Solat witir 3 rakaat dengan satu atau dua salam juga menjadi perbincagan dan huraian dalam kuliah ini. Baru saya faham sebenarnya terdapat juga hadith yang menceritakan tentang solat witir 3 rakaat dengan satu salam tanpa tahiyyat awal kerana akan menyerupai solat fardu magrib. Dan ada juga hadith yang menyatakan solat witir 3 rakaat dengan dua salam. Pengetahuan seperti inilah yang kita perlukan untuk mengelakkan kita terjebak berbincang dengan perkarra furu dan memastikan ibadat kita ini selari dengan ilmu yang kita ada bukan hanya menjadi ahli ibadat ikut-ikutan.
Ciri-ciri orang beriman dan munafik..
Antara ciri-ciri orang yang beriman itu adalah merasai lazatnya ia dengan majilis ilmu. "The full concentration" akn diberikan oleh beliau dlam majilis ilmu. Tidak terasa rimas dan gundah gelana beliau ketika duduk dalam majilis ilmu ini yang dihadiri oleh para malaikat. Di ceritakan malaikat akan naik berjumpa dengan ALLAH swt menceritakan perihal yang terjadi dalam majilis ilmu ini. Dinyatakan bahawa mereka (ahli majilis ilmu) menginginkan syurgamu ya Allah, berkata ALLAH mereka menginginkan syurgaku walaupun mereka tidak melihatnya? Berkata malaikat lagi bahawa mereka meminta agar dijauhi daripada api nerakamu. berkata Allah mereka takut akan azab api neraka sedangkan mereka tidak melihatnya? Ya Allah ada seorang hamba-Mu yang tidak ada niat pun untuk menghadiri majilis ilmu ini secara kebetulan sahaja dia lalu dan melihat ramainya orang di majilis ilmu ini lalu duduk beliau di belakang atau pepenjuru kawasan majilis ilmu ini dan dia ni ya Allah orang yang buruk perangainya dan selalu melakukan dosa jadi bagaimanakah keadaan dia? Berkata Allah baginya adalah keampunan aku.
Dua perkara yang tiada dalam peribadi orang munafik, elok perangai dan faham agama. Erti pada faham agama itu ialah mengambil berat beliau atas setiap perbuatannya daripada pandangan Allah swt. Sesungguhnya orang munafik sentiasa berusaha untuk mengambarkan dirinya mulia pada pandangan manusia.
Kesimpulan
Sebagai orang yang beriman itu meyakini akan syurga dan neraka walaupun mereka tidak melihatnya dan perbuatan yang bersungguh-sungguh menjaga perbuatan daripada dosa dan pahala adalah sebagai pembuktian atau penterjemahan iman dan keyakinan mereka akan nikmat syurga dan takut akan azab neraka Allah swt. Tidak cukup dengan hanya berkata aku telah beriman tanpa ada suatu usaha dan keazaman membuktikan iman. Firman Allah swt dari surah al-ankabut ayat 2 " adakah cukup hanya kamu berkata telah beriman sedangkan kamu tidak diuji?". Maka jelas bahawsanya tidak cukup untuk kita berkata telah beriman sahaja cukup dengan hanya solat sahaja, cukup dengan pandangan terhadap islam yang statik dek kerana ilmu kita tidak berkembang sebab malas meringankan kaki untuk meghadiri majlis ilmu yang membentang batas-batas dalam islam.
Memahami sifat munafik dan sifat golongan orang beriman agar kita dapat menilai sejauh mana kedudukan diri kita sebenarnya? Adakah kita munafik atau kita ini orang beriman setelah melaui pertimbangan yang sewajarnya. Fikir-fikirkan..
Monday, July 5, 2010
Pesanan Buat Mereka Mahasiswa baru..
Perhatikan petikan kata-kata Prof Dr Abu Hassan Hasbullah ketika syarahan Perdana Abdullah Munshi, yang berlangsung di KUIS, 25 Jun 2010 baru-baru ini (kredit kepada blogger si Syahid) :
Mahasiswa yang berorientasikan bilik kuliah adalah mahasiswa dungu di abad ke 21. Mahasiswa yang fokusnya untuk peperiksaan adalah mahasiswa statik yang tidak memberi impak kepada sekelilingnya. Mahasiswa yang rigid dengan silibus buku teks pensyarah adalah manusia ketinggalan dalam dunia keterbukaan ilmu.
Mahasiswa kurun ke 21 adalah mahasiswa yang meneroka, mengkaji, menjelajah dan menulis. Jika unsur-unsur seperti ini tiada pada diri mahasiswa maka mahasiswa akan ketinggalan dalam era serba fakta dan berilmu pengetahuan.
Seruan untuk menjadi 'orang baru' adalah seruan penting penuh bermakna. Sejarah mencatatkan betapa bernilainya menjadi orang baru yang bermanfaat kepada orang lain pada masa mendatang. Menjadi orang baru bererti melawan arus masyarakat semasa. Bertentangan dengan adat lazim manusia semasa. Menjadi orang baru meninggalkan jauh masyarakat ke belakang dan mengejar mutiara beharga di hadapan tanpa perlu menunggu masyarakat menerima dahulu.
Betapa ramai tokoh orang baru pada masa dahulu yang kini menjadi sebutan, bukti maha penting orang baru untuk membentuk masyarakat masa hadapan. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (729H/1328M) terkenal sebagai orang baru di tengah-tengah masyarakat zamannya. Justeru itu pandangannya jauh berbeza dengan pandangan masyarakat semasa ketika itu. Padahnya beliau mati di jeriji besi di bawah penguasaan diktator yang sombong. Tapi manfaatnya sehingga kini fikrahnya, hujahnya, idealismanya dan prinsipnya megah diamalkan masyarakat beragama dan telah melahirkan jutaan ulama' yang hebat dan agung.
Al-Ghazali, satu contoh orang baru dizamannya. Nah, di umur 40 tahun sudah ratusan kitab dikarangnya. Sehingga nyawa dicabut pada umur yang muda, tapi meninggalkan khazanah ilmu yang maha hebat.
Di Tanah Melayu, muncul tokoh seperti Abdullah Munshi yang menjadi orang baru di zaman kegelapan masyarakat melayu ketika itu. Di saat masyarakat yang sibuk dengan perkara-perkara tahyul, seperti jin, hantu, syaitan dan iblis, Abdullah Munshi keluar dari bayangan kegelapan itu dengan menghasilkan karya penulisan yang gah sehingga ke hari ini.
Pada ketika itu beliau menulis tentang keburukan sikap lelaki Melayu Kelantan yang pemalas, duduk bersilang kaki di wakaf-wakaf, sedang wanitanya bertungkus-lumus bekerja di sawah padi dan di pasar-pasar. Walau ketika itu kritikan ini mendapat serangan negatif masyarakat ketika itu, tapi jelas terbukti kebenarannya pada masa sekarang. Lihatlah di majlis-majlis ilmu, berapa ramai mahasiswa hadir untuk mendengar berbanding mahasiswi. Bukti jelas kebenaran kata-kata Abdullah Munshi, ratus tahun dulu.
Inilah antara bukti betapa penting menjadi orang baru. Kita tak mahu menjadi solid seperti Ibnu Taimiyyah, Imam Ghazali, Ibnu Sina atau Abdullah Munshi. Kerana tokoh-tokoh yang sering kita sebut ini adalah hafalan di mulut semata-mata. Retorik kepada diri kita sahaja. Tapi kita mahu menjadi orang baru di zaman kita, sepertimana mereka menjadi orang baru di zaman mereka.
Jadi tiga gagasan yang ingin disebutkan ini merupakan faktor besar kepada perubahan mahasiswa bermula hari ini. Iaitu reformist, revivalist dan penjelajahan.
Mahassiwa hari ini perlu bersifat reformist pada diri dan masyarakat sekeliling. Suara kebangkitan perubahan perlu disokong dan didokong. Sudah 50 tahun mahasiswa dijajah pemikirannya dan berpuluh tahun juga mahasiswa disekat kebebasannya untuk bersuara. Jadi mahasiswa perlu bangkit untuk tidak lagi rasa dibelenggu dengan sekatan-sekatan itu.
Ruang untuk bergerak masih luas walau beratus rantaian dan sekatan kepada mahasiswa. Jangan sekali-sekali berhenti. Mahasiswa matang apabila mampu membangkitkan suara perubahan dan menggerakkan gagasan perubahan tanpa bimbang dengan sekatan-sekatan yang kecil itu.
Kemudian mahasiswa perlu bersikap revivalist, iaitu menggerakkan kebangkitan suara perubahan. Jangan menunggu suasana yang membangkitkan perubahan, tapi kitalah yang mencetuskan suara kebangkitan itu. Kalau mahasiswa menjadi penunggu setia di era kebangkitan generasi Homo Zapiens, nescaya mahasiswa akan kalah dan bakal menjadi mahasiswa kuno di kurun ke 17.
Jika mahasiswa Australia mampu membaca 180 biji buku setahun kenapa kita tidak mampu mengejar dengan sekurang-kurangnya membaca 50 biji buku setahun.
Gagasan yang ketiga ialah mahasiswa perlu menjelajah. Sungguh aib dan bodoh di kurun ke 21 ini, masih ramai lagi mahasiswa yang asyik menunggu cuti semester untuk pulang ke kampung halaman, membuang masa kosong tanpa memberi apa-apa manfaat. Jadikan masa cutimu untuk menjelajah segenap pelosok tempat yang boleh memberi satu pengalaman baru kepadamu.
Sekurang-kurangya bila berada di kampung, kajilah berapa ramai penduduk kampung yang masih belum mendapat bekalan air. Usahakan sesuatu supaya masyarakat kampung mendapat manfaat daripada kita selama 2 bulan cuti di kampung halaman.
Akhirnya melakukan perubahan adalah perbuatan dan perlaksanaan, bukan kata-kata manis dan bersemangat sahaja. Artikel seterusnya saya akan bincangkan bagaimana menghadapi generasi homo zapiens. Generasi online tanpa henti.
"Tembok Berlin bukan diruntuhkan oleh Caunselor Jerman, tetapi dilakukan oleh sekumpulan 25 orang Mahasiswa Universiti Berlin dengan ketukan paku ke dinding tembok
Beramalah selagi boleh..
Kalau dulu selalu sahaja bangun lambat, namun selepas bekerja bangun pagi adalah suatu kebiasaan. Kadang-kadang rasa bersalah juga timbul adakah amalan tabiat diri yang berubaha di atas tuntutan islam atau tuntutan kerja. Tekanan dan tanggungjawab sekeliling sedikit sebanyak memberi kesan kepada jiwa.
Saturday, July 3, 2010
Antara Orang Agama dan Orang Beragama
Dialog itu mengisi perbualan kami semasa abah menghantar saya ke peperiksaan kemasukan MRSM di Sek. Cator Avenue.
Saya termenung.
Biar pun latar belakang kehidupan saya semasa kecil, tidaklah terlalu berhias dengan agama, namun kecenderungan itu terjadi sendiri. Bermula dengan aktiviti mewakili sekolah di dalam pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan minat yang mendalam kepada subjek agama di sekolah rendah yang tidak seberapa itu.
Lalu dilorongkan Allah, semua tawaran menyambung pengajian yang saya terima semasa melangkah ke alam sekolah menengah, terdiri daripada sekolah agama belaka. SMKA Sultan Azlan Shah, SMAP Labu Negeri Sembilan, SMA Idrisiah Kuala Kangsar dan SMA Izzuddin Shah Ipoh. Atas sebab yang pelbagai, SMA Izzuddin Shah jua yang dipilih. Saya mensyukurinya.
Tidak perlu menunggu lama, semenjak di minggu orientasi lagi, saya sudah mengalami keributan jiwa. Seakan-akan lahir semula, perasaan beragama jadi begitu mendalam. Sering sahaja mata basah dengan air mata mengenang kehidupan, dan mula belajar mengikat serban. Saya suka ke depan, dan kini saya bertemu dengan sebab yang lebih tulen untuk ke depan. Kerana agama.
SIMPANG KEHIDUPAN
Panjang likunya.
Keputusan peperiksaan yang baik di simpang SRP, SPM dan semasa temuduga biasiswa, akan mencabar nekad diri untuk menjadi ‘orang agama’. Tatkala dibentangkan dengan pelbagai peluang dan ruang untuk memilih jalan yang lain, saya terus dilorongkan dan melorongkan diri hingga akhirnya sampai ke tempat saya bakal diacu menjadi ‘orang agama’.
1993 saya tiba di Jordan.
“Kenapa ambil bidang agama? Kenapa tidak buat ekonomi?”, tanya bapa saudara saya.
Terkejut dengan pilihan yang saya buat.
Saya hanya tersenyum. Tidak berkata-kata. Malah harus kuat semangat untuk melawan persepsi yang bertentangan.
KEJUTAN
Keberadaan saya di gelanggang ilmu selama bermastautin di Jordan banyak likunya. Saya tersepit di antara pengajian yang saya sendiri pilih, dengan kegagalan mencari kepuasan di dalam apa yang saya lakukan. Entah di mana silapnya, serba serbi jadi tidak kena. Minat kepada subjek-subjek Syariah tidak hilang, tetapi keghairahannya berpindah, tumpah ke bidang Sejarah.
Apabila direnung-renungkan balik, syukurlah bidang itu bidang yang saya pilih. Bukan sesuatu yang dipaksakan ke atas saya. Tatkala dihinggap kejemuan, teringat kembali kepada segala peluang lain yang dilepaskan untuk INI. Bukan saya sendirian, malah rakan-rakan yang lain juga.
Dalam komuniti pelajar agama’, pelbagai kerenah dan insiden yang berlaku. Bukan sedikit nanah yang membusung. Semuanya mencetuskan jatuh bangunnya maruah pelajar Malaysia di rantau orang. Apatah lagi pelajar agama. Tatkala puncanya cuba dikesan, bertemu kita dengan beberapa peringatan.
Antara yang paling utama, jangan sesekali berjuang dalam paksaan. Ibu bapa, paksalah anak belajar dan faham agama, tetapi jangan dipaksa anak itu menjadi ‘orang agama’. Ilmu agama itu perlu untuk bekalan diri, tetapi memaksa anak menjadi ‘orang agama’ tanpa kerelaan hati si anak, bukan sahaja merosakkan dirinya, malah anak itu ada upaya pula merosakkan orang lain.
Ayah dan ibu manakah yang tidak mahu melihat anaknya mendalam pengetahuan dan penghayatannya terhadap agama? Segala kepedihan, cabaran dan pengorbanan selama membesarkan anak, terasa berbaloi dan berbayar kembali tatkala si anak merendangkan seisi keluarga di bawah teduhan agama.
Bacaan al-Qurannya…
Kepimpinannya di dalam solat…
Penghargaan yang diterimanya dari masyarakat…
Itulah anak soleh juga solehah, yang bakal mendoakan si ayah dan ibu tatkala berangkat pergi, di suatu hari nanti.
Impian itu diterjemahkan di dalam keinginan ibu bapa melihat anaknya memilih bidang agama. Mungkin manifestasi awalnya ialah pada memasukkan si anak ke sekolah Tahfiz. Mungkin dimasukkan ke sekolah agama. Atau apa-apa platform ke arah menjadikan anak itu beragama.
Tetapi ada kalanya ibu bapa keliru di antara menjadikan si anak beragama dengan menjadikannya orang agama. Apa yang dihajatkan oleh seorang ibu dan seorang bapa itu hakikatnya sudah sempurna tercapai apabila si anak menjadi manusia beragama. Tidak semestinya hingga jadi orang agama.
Sedangkan usaha menjadikan anak sebagai orang agama, adalah sesuatu yang mesti dinilai dan dipertimbangkan dari banyak sudut.
MINAT DAN KECENDERUNGAN
Pertama, apakah si anak itu ada minat dan kecenderungan?
Pengalaman saya di sekolah agama, dan kemudiannya pergi bermusafir di negara Arab dan menuntut di fakulti agama, memperlihatkan banyak ‘sampel’ yang sulit, antaranya berpunca daripada anak yang dipaksa ibu bapa melakukan sesuatu yang anak itu langsung tidak minat. Hidup bertahun dalam jiwa yang memberontak, bukanlah sesuatu yang sihat.
Sama sahaja dengan bidang-bidang yang lain. Ibu bapa yang menentukan destinasi kerjaya anak-anak mungkin berhasil dalam keluarga tertentu, tetapi ia adalah suatu penderitaan dan beban yang besar bagi kebanyakan.
Minat anak-anak berkembang dan bercambah hasil interaksi dirinya dengan persekitaran, semenjak kecil. Tidak semestinya anak seorang doktor akan terpengaruh untuk turut sama menjadi seorang doktor suatu hari ini. Ia bergantung kepada cara si anak diperkenalkan dengan kerjaya ibu atau bapanya yang doktor itu, serta bagaimanakah beliau menafsirkannya.
Mungkin si anak kagum dengan kerjaya kedoktoran orang tuanya, mungkin sahaja si anak membenci kerjaya itu, kalau tak kena gaya. Atau mungkin sahaja si anak tidak menunjukkan rasa benci atau suka, sebaliknya cenderung sahaja kepada minat-minat yang lain.
Maka, memaksakan kerjaya tertentu kepada anak, bukanlah suatu pendekatan yang mudah. Ia terlalu subjektif untuk saya katakan positif atau negatif, tetapi bagi diri saya… anak-anak bebas memilih kerjaya yang sesuai dengan bakat, minat dan kelebihan yang ada pada dirinya.
Sabda Rasulullah SAW:
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling bermanfaat untuk manusia”
Itulah yang seharusnya diberi perhatian. Bahawa kerjaya yang dipilih itu harus menjadi saluran manfaat dirinya kepada manusia. Dan untuk nilai ini menjadi asas pemilihan kerjayanya, si anak harus dibentuk dari awal untuk menjadi manusia yang berakhlaq dengan sikap berbudi dalam berbahasa dan memberi dalam menerima.
Saluran manfaat itu pelbagai. Seeloknya biarlah saluran itu saluran yang berjaya mengahwinkan manfaat dengan minat.
KILANG MANUSIA TERCEMAR
Terlalu berat untuk saya ungkapkan di sini, tetapi saya khuatir dengan nasib sekolah agama malah fakulti-fakulti agama. Kita meyakini bahawa agama adalah bahan paling utama dalam membentuk manusia kita. Maka amat besarlah musibahnya apabila institusi agama menjadi tempat berkumpulnya manusia yang runtuh jiwanya, musnah akhlaknya, dan kebanyakan kelakuan tidak senonoh di kalangan bakal ‘orang agama’ ini adalah berpunca daripada paksaan ibu bapa ke atas mereka.
Paksa anak belajar agama, tetapi jangan paksa anak jadi orang agama!
BEGIN WITH THE END IN MIND
Keduanya, jika anak mahu dipaksa masuk ke bidang agama untuk menjadi orang agama, apakah telah jelas di fikiran ibu bapa dan anak-anak apakah kerjaya yang bakal disandang oleh anak selepas tamat pengajian nanti?
Soalan yang sering saya tanya, KENAPA MAHU JADI USTAZ?
Saya sudah pun mengungkapkan dengan panjang lebar di dalam artikel saya dengan tajuk yang sama. Tetapi perspektif ibu bapa terhadap hal ini juga mesti dinilai kembali.
Kita mahu anak kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa, atas keyakinan kita bahawa anak seperti ini ‘menyelamatkan’. Inilah anak yang bakal mengemudi keluarga, menghulurkan doa selepas ketiadaan kita, menyejukkan mata, jiwa dan telinga dengan bacaan al-Quran dan lafaz hadith pada bibirnya, tetapi perlukah untuk mencapai semua itu, seorang anak menjadi ‘orang agama’?
Menjadi orang agama dengan menjadi orang yang beragama adalah dua perkara yang boleh bertindan, tetapi nyata ia adalah dua identiti yang berbeza. Khususnya apabila ia dikaitkan dengan kerjaya.
Peluang pekerjaan untuk orang agama itu agak berbeza. Jika dia mahu mengikut spesifikasi kerja yang bersesuaian dengan kelulusannya, maka berapakah jumlah tenaga manusia yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru KPLI, J-QAF, jabatan-jabatan agama, Baitulmal dan guru-guru di pelbagai sektor lain? Berapakah jumlah kekosongan untuk menjadi pensyarah di bidang agama?
Pendek kata, persaingannya sangat tinggi. Untuk si anak pergi mengisi kekosongan ini, mereka harus outstanding dengan kelebihan masing-masing.
Malah sebelum mereka pergi mengisi kekosongan itu, apakah selaras minat mereka di bidang agama dengan minat mereka untuk mengisi kerja-kerja admin di jabatan-jabatan agama?
Bagaimana pula dengan tugasan sebagai Imam sepenuh masa di sebuah masjid? Tidak dinafikan, status sosial seorang Imam di dalam komunitinya memang baik.Tetapi penghormatan yang diberikan oleh masyarakat mungkin tidak setimpal dengan keperluan hidupnya. Bertugas sebagai imam belum lagi secara umumnya boleh menjadi suatu profesyen di negara kita.
Saya bukan sahaja memaksudkan ia dari aspek penggajian, malah Imam-imam di masjid kita masih dibayar secara elaun, bekerja dengan taraf kontrak, tiada pencen, EPF atau yang seumpama dengannya, malah skop kerja yang membosankan. Disebabkan oleh kongkongan pelbagai pihak terhadap peranan sebuah masjid, para Imamnya juga turut terbantut perkembangan diri.
Semasa saya bertugas sebagai Imam sepenuh masa di Ireland Utara, kebebasan yang dinikmati oleh masjid-masjid di sana telah menjadikan tugasan saya bercabang kepada peranan-peranan berikut:
1.Mengimamkan solat lima waktu dan Jumaat.
2.Mengajar jemaah masjid kitab Nuzhat al-Muttaqin Sharh Riyadh al-Salihin.
3.Menjadi jurunikah untuk menikah kahwinkan pasangan, serta menguruskan hal ehwal rumahtangga termasuk penceraian dan konflik rumahtangga.
4.Menjadi pegawai agama (Muslim Chaplain) di hospital, penjara dan universiti (QUB).
5.Menjadi pengetua sekolah.
6.Menjadi guru pada masa yang sama.
7.Membangunkan silibus pendidikan sekolah.
8.Mengendalikan dialog interfaith dengan tetamu masjid.
9.Menjadi webmaster halaman web masjid.
10.Bertindak sebagai ‘kaunselor’ untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang pelbagai oleh komuniti
Skop kerja ini memang agak ‘gila’ dan saya tidak dapat menafikan trauma yang saya alami akibat beban kerja yang teramat sangat itu. Tetapi tekanan itulah yang kemudiannya tanpa sedar telah memaksa diri saya untuk berkembang.
Apakah seorang imam di dalam sistem yang menguruskan masjid kita (jika ada sistem) memberi ruang yang luas untuk seorang anak muda berkembang? Tatkala seorang imam muda bertemu dengan rakan-rakannya yang menyambung pengajian peringkat sarjana, atau masuk ke bidang kerja yang kelihatannya punya prospek yang lebih baik, ditambah dengan rutin kerja seorang imam yang sangat hambar lagi membosankan, saya tidak terkejut jika perjawatan imam tidak mampu kekal lama. Sering sahaja berganti.
Jika seorang ibu dan bapa mahu menyalurkan anak kepada kehidupan seperti ini, mereka harus cuba untuk memahami apakah bentuk dilema dan cabaran yang bakal membelenggu mereka.
Terjun ke masyarakat sebagai seorang ustaz dan ustazah jadi lebih mencabar apabila dirinya tidak cukup kompetetif dalam menangani keperluan masyarakat. Seorang Imam yang hafiz 30 juzuk, menjadi Imam di sebuah masjid yang dikelilingi masyarakat korporat dalam keadaan Imam itu tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mengetahui dan memahami kehidupan ahli jemaahnya yang sangat urban itu, pasti akan berdepan dengan konflik.
Jika tidak dengan kaum ibu dan kaum bapa, mungkin sahaja berdepan dengan konflik tatkala berinteraksi dengan anak-anak mereka yang English Oriented itu.
Kesimpulannya, apabila seorang anak muda memilih atau dipaksa memilih untuk menjadi orang agama, dirinya harus membuat persediaan yang sesuai dengan cabaran yang bakal menanti. Pelajar yang cemerlang semasa di alam persekolahan, tetapi kemudiannya memilih untuk menjadi orang agama, harus bersedia untuk mungkin bertemu semula dengan rakan sekolah 15 tahun selepas SPM dalam keadaan taraf kerjaya yang jauh berbeza. Mungkin yang paling cemerlang itu bukan yang hidupnya paling senang.
KEMAMPUAN
Terakhir, jika soal minat dan kesediaan terhadap cabaran itu sudah diambil kira, maka keputusan untuk membuat pengkhususan di bidang agama mestilah pula mengambil kira soal keupayaan.
Kita tidak mahu bidang agama menjadi ‘tong sampah’ tempat mengumpul manusia buangan yang tidak mempunyai peluang di tempat lain. Kita tidak punya harapan yang tinggi jika bidang agama dipenuhi oleh pelajar yang lemah kemampuan. Ketika agama semakin dicabar oleh masyarakat hari ini, ia diburukkan lagi oleh agama yang dipimpin oleh orang agama yang mundur, tiada keupayaan untuk berdiri sama ada dengan kesarjanaan yang baik, mahu pun jati diri yang cemerlang.
Orang agama yang selekeh ilmu dan selekeh sikap hanya memburukkan lagi keadaan masyarakat kita.
“Susah sangatkah bidang agama ini?”, mungkin ada yang bertanya begitu.
Memang tidak susah. Jika sasarannya ialah sekadar mahu lulus. Cukup sekadar pulang dengan maqbul.
Tetapi jika seseorang itu mahu menjadi orang agama yang ada kesediaan terhadap challenge and response yang sentiasa berubah dan menuntut perubahan, bidang agama memerlukan pelajar yang ada kelayakan untuk ke bidang perubatan, kejuruteraan dan undang-undang.
ANTARA BERAGAMA DAN MENJADI ORANG AGAMA
Justeru, ibu bapa harus mempertimbangkan sebaiknya, bahawa untuk waladun sooleh yad’uu lahu (anak soleh yang mendoakannya) itu berhasil, mungkin anak itu tidak perlu dipaksa untuk menjadi orang agama. Keutamaannya ialah pada memastikan si anak menjadi manusia beragama.
Tiada masalah untuk anak-anak meneruskan minat mereka di bidang Sunnatullah, kerana jalan untuk mereka itu melengkapkan diri dengan Syariatullah itu pelbagai dan terus ada sepanjang masa. Namun untuk seorang anak yang cemerlang masuk ke bidang Syariatullah, biarlah ia berlaku hasil minat, kemahuan dan kemampuan anak itu sendiri. Paksaan ibu bapa untuk anak ‘berkorban’ dengan masuk ke bidang agama, tanpa kesediaan minda yang betul, akan menjadi racun yang membinasakan.
ALTERNATIF
Mungkin kini, peluang melanjutkan pelajaran ke bidang perubatan di negara-negara seperti Mesir, Jordan malah mungkin juga di negara seperti Indonesia dan India, anak-anak ini mempunyai peluang yang luas terbuka untuk turut sama mengambil peluang mengukuhkan ilmu agama mereka. Selain dari silibus yang mengintegrasikan di antara subjek-subjek teras perubatan dan agama, peluang menambah ilmu melalui universiti yang didominasi bidang pengajian Islam, peluang bertalaqqi dan mengambil manfaat dari ulama’ yang ramai… boleh membantu.
Soal anak menjadi orang agama atau tidak, seeloknya biarlah atas pilihan dan perancangan. Namun untuk menjadi orang yang beragama, ia bukan pilihan, biar pun mungkin dengan sebuah paksaan!
Saya bercakap tentang realiti, jauh dari ilusi dan fantasi. Anda mungkin tidak enak membacanya.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
--------------------------------------------------------------------------------
"Erti Hidup Pada Memberi"
ABU SAIF @ www.saifulislam.com