Friday, January 27, 2012

::Hakikat TIDUR; Hikmah Disebalik Sebuah Ibadah::


Sepanjang perjalanan hidup dan putaran bumi, berlalunya malam dan siang. Tidur,bangkit,bekerja dan tidur semula. Adakah selama ini perjalanan hidup kita diurus dengan baik ataupun mengikut sesedap rasa?

Firman Allah s.w.t.

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيۡلَ لِبَاسً۬ا وَٱلنَّوۡمَ سُبَاتً۬ا وَجَعَلَ ٱلنَّہَارَ نُشُورً۬ا (٤٧


Maksudnya: Dan Dia yang menjadikan malam sebagai pakaian bagi kamu dan tidur sebagai istirehat dan dijadikan siang untuk bertebaran (mencari rezeki).

Dalam kehidupan kita seharian, Allah s.w.t telah menentukan satu jadual khas untuk kita.Bila waktu tidur, belajar dan bekerja, semuanya telah ditentukan waktu yang terbaik untuk kita. Sunnatullah menjadikan waktu malam sebagai waktu istirehat, siang pula memerah tenaga. Disebaliknya ada hikmah yang terbentang untuk kita.

Mengapa kita mengantuk diwaktu malam?
Melalui kelenjar pineal, badan manusia menghasilkan sejenis hormon bernama melatonin. Bermula daripada 10 malam hingga jam 6 pagi. Hormon ini yang menyebabkan kita berasa mengantuk apabila ia meransang hipothalamus(bahagian otak).

Kadar melatonin yang optimum dalam darah pada jam 1.30 pagi hingga 2 pagi. Selepas itu kadarnya mulai menurun dan berada pada tahap paling rendah apabila bangun dari tidur pada jam 6 pagi.

Mengapa bekerja pada waktu siang?
Berbeza pada waktu malam dengan melatonin, pada waktu siang kehidupan kita dipengaruhi pula oleh hormon kortisol. Hormon ini banyak mempengaruhi fungsi jantung dan pernafasan kita. Meningkatkan efisiensi selari dengan penggunaan kita yang lebih aktif pada siang hari. Kortisol juga dikenali sebagai hormon stress kerana ia berada pada tahap yang tinggi apabila kita berada dalam tekanan.

Bilakah waktu yang efisien?
Berdasarkan pusingan biologi waktu yang efisien dan dapat melakukan kerja secara produktif adalah pada waktu 8 pagi hingga 1 tengah hari. Selepas waktu ini produktiviti akan mulai menurun kerana kita akan memasuki fasa yang dipanggil 'secondary sleep gate'.

Fasa 'secondary sleep gate' bermula pada waktu tengah hari hingga awal petang.

Maka disinilah kita dapat lihat sunnah Rasulullah yang popular dalam kalangan kita yang disebut sebagai qailullah atau dalam bahasa inggeris dipanggil 'napping'.

Antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur pada waktu tengah hari adalah Dr. William A. Anthony (Ph.D) dan Camille W. Anthony, pengarang buku The Art of Napping at Work. David F. Dinges dan Roger J. Broughton didalam buku mereka Sleep and Alertness: Chronobiologial, Behavioural and Medical Aspects of Napping juga bersetuju dengan pendapat ini.

Kajian menunjukkan tidur sebentar di tengah hari selama 30 minit mampu mengurangkan risiko menghadapi sakit jantung 30% lebih rendah berbanding mereka yang lain.
Perkara ini disebutkan oleh David S. Sobel, M.D., dalam artikel Healthy Pleasures dalam Mind/Body Health Newsletter (Online), terbitan 1989.

Tidur Yang Cemerlang
Sabda Junjungan mulia Rasulullah s.a.w. "Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika cergas, dan ketika mengantuk pergilah tidur." Daripada Imam Bukhari dan Muslim.


Semasa tidur, sel-sel badan kita mengalami proses pemulihan. Allen Nicholson, penyelaras klinikal dari Pusat Gangguan Tidur, Hospital Columbus Community, Ohio, menjelaskan semasa tidur badan manusia menghasilkan hormon pertumbuhan (Growth Hormone) yang berfungsi membaiki sel-sel yang rosak.
Mengambil arak atau minuman yang mengandungi kafein sebelum tidur mengganggu proses ini dan menambahkan keletihan pada siang hari.

Penyimpanan maklumat jangka panjang atau long term memory juga berlaku semasa tidur. Mereka yang gemar tidur lewat akan mengganggu proses ini. Menurut Penolong Professor Carla B. Green dari Pusat Sains Kebangsaan untuk Pusingan Biologi, mengulang kaji hingga lewat malam akan menjejaskan pusingan biologi seseorang dan menjejaskan fungsi otak bagi mengingati semua maklumat yang dibaca.

Tidur yang mencukupi juga membantu memantapkan fungsi pertahanan tubuh badan. Individu yang kurang tidur lebih mudah dijangkiti kuman. Hal ini dilaporkan dari majalah Lancet pada bulan Oktober 1999.

Berapa Jam waktu Optimum Tidur?
Persatuan Barah Amerika melaporkan mereka yang tidur kurang daripada 8 jam setiap malam lebih sihat berbanding individu yang tidur melebihi 8 jam.

Hasil kajian selama 6 tahun yang melibatkan sejuta orang dewasa berumur antara 30 hingga 10 tahun ini menunjukkan, mereka yang tidur 6 hingga 7 jam secara purata hidup lebih lama berbanding mereka tidur melebihi 8 jam atau kurang daripada 4 jam setiap malam.
Penemuan ini disokong oleh Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika dan dimuatkan didalam Archives of General Psychiatry bertarikh 15 Februari 2002.

Khulasah.

Dalam mengejar matlamat hidup masing-masing atas muka bumi Allah s.w.t. perlu diingatkan bahawa tubuh badan juga turut sama mempunyai hak ke atas kita. Alangkah indah jika kita dapat beribadah dengan tubuh yang sihat dan cergas berbanding tubuh yang sentiasa sakit. Setiap daripada kita telah dikurniakan oleh Allah kurniaan tubuh badan. Maka hargailah dan gunakan sebaiknya.

Bagi saya salah satu tangungjawab seorang doktor Muslim perlulah memastikan ummah dan masyarakat sekelilingnya dalam suasana yang sihat. Tuntas mengembalikan keunggulan ummah.

Rujukan:
[Utama] Tip-tip Cemerlang Daripada Quran oleh Dr. Danial Zainal Abidin M.B.Ch.B, Universiti Alexandria,cetakan kelapan 2008.
[Sampingan] Physiology First Year University Ain Shams, 2009.

No comments:

Post a Comment