Monday, May 23, 2011

Membeli Kerana Testimoni atau mengkaji??




Assalamualaikum, Encik. Apa khabar?” seorang wanita duduk di sebelah saya.


“Waalaikum al-Salaam. Alhamdulillah!” saya menjawab.


“Encik pernah dengar tentang produk ini, kan? tanya beliau.


Mungkin badan saya memberitahu beliau bahawa saya berpotensi menjadi downline beliau, barangkali.
Beliau menunjukkan kepada saya fail di tangannya.


“Produk mana satu? Minuman kurus ke atau filem pecah panggungnya?” saya buat-buat tidak faham.
Beliau ketawa.


Saya gelisah. Nombor giliran saya sudah hampir. Menyesal pula datang ke Pejabat Pos untuk membayar bil.



Selalunya dilakukan secara atas talian sahaja. Entah mengapa hari ini tergerak mahu ke Pejabat Pos.
Dan saya telah diperangkap oleh wanita ini.


“Encik cubalah. Saya dahulu, besar macam ini. Tetapi selepas minum produk ini, Alhamdulillah. Berkesan, Encik” sambung wanita itu.


“Macam mana minuman ni kuruskan akak. Apa yang dia buat?” saya bertanya.


“Minuman ni mengaktifkan sel-sel dalam badan kita, dik. Dia tukar gula jadi tenaga, pecahkan lemak dan hasilkan serotonin. Apabila bahan ni terhasil, tu yang tak rasa lapar atau letih” katanya.
Fasih.


Saya mengangguk.
“Sebenarnya saya sudah ada produk ini di rumah. Ada orang belikan. Saya sedang mencubanya” saya memberitahu.


“Tak boleh cuba-cuba, dik. Kena yakin” katanya.
Sedikit mendesak.
Sesak.


“Terima kasih kak. Tu, nombor saya dah naik. Maaf ye” saya segera bangun menuju ke kaunter.
Semasa membayar bil, saya mengintai di hujung mata. Wanita itu masih menunggu. Tidak pasti menunggu saya, atau mencari si gemuk yang seterusnya.
Semasa meninggalkan kaunter, wanita tersebut datang kepada saya semula.
Tersenyum kelat, saya menyegerakan langkah dan bergegas keluar meninggalkan Pejabat Pos di Jusco Taman Maluri tersebut. Rimas.


Ada orang, mudah terbuka hati mahu mencuba. Ada orang, jadi rimas dan geram apabila didatangi orang seperti wanita itu tadi.


Bagi saya, mencuba produk-produk di pasaran terutamanya yang dijual melalui stokis, adalah pilihan yang jarang berlaku. Mungkin bunyinya pesimis, tetapi adakalanya saya lebih percaya kepada produk yang diletakkan di rak kedai-kedai biasa, berbanding produk yang dijual melalui stokis tersebut. Produk di atas rak itu tiada stokis atau promoter. Hanya maklumat di bungkusan yang mesti lengkap untuk meyakinkan pengguna seperti saya. Sebagai pengguna berakal, saya akan nilaikan sendiri.


Saya kurang stamina melayan promosi stokis. Lemas.


Malah bukan sengaja, tetapi saya juga ada pendirian sendiri dalam hal-hal kepenggunaan ini.
Saya membeli berdasarkan penjelasan penghasilan dan kajian yang menjadi asas produk tersebut.
Bukan testimoni.






BERIMAN KEPADA QADHA DAN QADAR


Sebagai seorang Muslim yang beriman kepada Qadha’ dan Qadar, saya sentiasa berusaha untuk teliti dan peka kepada asbab-asbab yang membawa kepada natijah yang dikehendaki. Ilmu-ilmu di alam ini, termasuk Sains Perubatan dan Sains Pemakanan, wujud sebagai Sunnatullah yang Allah sistemkan kepada kehidupan di alam ciptaan-Nya.

Justeru, jika mahu menang, kena belajar betul-betul rule of the game yang Allah sediakan untuk menang.
Jika mahu pandai, kena belajar betul-betul peraturan yang Allah sediakan untuk pandai.
Hatta jika mahu sihat, kena belajar betul-betul asbab yang Allah aturkan di alam ini untuk sihat.
Justeru, saya tidak akan membeli sebarang produk dengan orientasi testimoni.


“Saya berjaya kurus kerana mengamalkan makanan Sunnah ini. Produk ini berkesan!” kata seorang ‘juara’.


“Semenjak menggunakan produk ini, anak saya semakin bijak belajar dan berderet A yang dicapainya” kata seorang ibu pula.


Ayat-ayat sedemikian sering kita dengar di corong radio dan TV. Ironinya, yang selalu bernada begitu adalah produk dan perkhidmatan yang dilabel sebagai ‘Islam dan Muslim’, berasaskan Sunnah dan mengikut petunjuk Nabi. Saya tidak mahu menggunakan istilah seolah-olah kerana ia nanti berbunyi buruk sangka. Tetapi melabelkan produk tersebut sebagai Islamik, kemudian dipromosi hanya dengan testimoni tetapi tidak disertakan penjelasan tentang proses menghasilkannya, ia memburukkan imej Islam, Muslim, Sunnah dan Nabi (sallallaahu ‘alayhi wa sallam).


Testimonial based tidaklah seratus peratus salah. Namun membeli sesuatu hanya kerana pengaruh testimoni, boleh menjadi sebuah kepalsuan yang menjadikan kita mangsa penipuan. Lebih malang, jika kehebatan produk itu disandarkan kepada pengasasnya yang memiliki ijazah-ijazah hebat, bergelar tok guru malah profesor, yang kelulusan akademik itu diperolehi dari universiti bogus dan ‘negara-entah-di mana’ yang tidak masuk akal.


Sijil beli?


Biar sahaja Allah yang mengadili.


Saya kaitkan hal ini dengan Qadha’ dan Qadar supaya umat Islam lebih peka dengan proses. Peka dengan sebab-sebab yang perlu dijelaskan.

Jelaskan dengan bahasa Sains. Jelaskan dengan bahasa kajian. Jelaskan hatta dengan bahasa agama, bukan pseudo-agama. Bukan testimoni semata-mata.
Sebagai Muslim yang beriman kepada Qadha’ dan Qadar, testimoni boleh menarik perhatian. Tetapi terasnya mesti pada memahami PROSES. Jika produk tersebut benar-benar baik, ia mesti dibuktikan terlebih dahulu melalui penjelasan tentang prosesnya.


Bagaimanakah secara ilmiahnya, produk itu berfungsi di dalam tubuh dan kehidupan?
Soalan inilah penentu besar kepada ketulenan satu-satu produk.

“Ah, memanglah produk ini tidak sesaintifik produk di hospital itu. Tetapi kesannya, jangan anta nafikan!” kata seorang teman.
Ada benarnya.

Namun izinkan saya untuk tidak mengambil pendapat sebegitu.


MENCEGAH MANIPULASI


Saya bukanlah seorang yang taasub dengan makmal dan kertas kerja, tetapi sudah terlalu kerap berlaku, apabila proses penghasilan produk-produk yang dikatakan berkesan apatah lagi Islamik ini cuba dibaca dan difahami, terserlah tembelangnya. Banyak benda yang tidak masuk akal, merepek, dan memanipulasi ‘kebodohan’ bakal pembeli produk tersebut.


Sebab itu, apabila ramai pihak bertanya, apakah rejim dan produk yang saya gunakan dalam proses mengurangkan berat badan, saya jarang sekali memperincikannya. Saya hanya memberi kata-kata kunci untuk penanya mengkaji, atau bertemu terus dengan doktor yang membimbing saya, agar penerangan dapat dibuat oleh mereka yang ahli dalam bidang tersebut. Itu cara saya menghormati dan mematuhi Sunnatullah.

Jika dahulu saya gemuk dan hari ini saya kurus, ia tidak menjadikan saya seorang pakar pemakanan dan perubatan anti penuaan malah tiba-tiba menjadi duta produk apatah lagi menghasilkan produk sendiri. Saya masih bertaraf pengguna. Apa yang mampu saya lakukan, adalah pada menjuruskan mereka yang berminat kepada pakar, pengkaji, dan seterusnya menilai sendiri.


Andai ada pertambahan kepakaran saya dalam tempoh 40 hari ini sekali pun, saya hanya menjadi lebih ‘cerdik dan bijak’ pada mengenal diri saya sendiri, menumpaskan tipu helah minda dan nafsu, dan seterusnya menjadikan TAQWA sebagai asas pemulihan kesihatan dan berat badan.
Mujahadah.


Justeru semua artikel berkaitan diet saya, duduk dalam lingkungan perspektif agama.


Kerana di situlah tempat saya.


1 comment:

  1. Adakah anda kewangan meramas? Apakah anda butuh uang untuk keluar dari hutang atau mula
    Facebook business.Here adalah kesempatan bagi anda untuk mendapatkan masalah anda dapat diselesaikan, sebagai
    pemberi pinjaman Resorts saat ini menawarkan kredit untuk setiap keperluan orang rendah
    tingkat suku bunga 3%, hubungi kami hari ini di resortslenders@gmail.com

    ReplyDelete