Monday, March 11, 2013

HUKUM TAHALUF SIYASI DALAM KONTEKS GERAKAN ISLAM MASAKINI








Disediakan oleh: Ahmad Fadhli bin Shaari, Pensyarah KIAS

Pendahuluan

Istilah tahaluf siyasi menjadi satu istilah yang semakin dikenali khususnya di kalangan pendokong gerakan Islam. Dengan kejatuhan khilafah Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924, gerakan Islam yang pertama ditubuhkan ialah Ikhwan al-Muslimin di bawah pimpinan Hassan al-Banna pada tahun 1928. Penubuhan gerakan ini di Mesir membayangkan hasrat untuk menegakkan Haikimiyyah Allah SWT. Idealisme ini berkembang ke seluruh dunia dengan penubuhan gerakan-gerakan Islam di hampir setiap negara di dunia. Matlamat dan konsep perjuangan mereka hampir sama antara satu lain iaitu ke arah menegakkan sebuah negara Islam dan lebih jauh dari itu menghidupkan semula sistem khilafah yang telah berkubur.

Dalam keadaan hari ini, amatlah disedari oleh gerakan-gerakan Islam bahawa mereka tidak mampu untuk berdiri sendiri dalam memperjuangkan aspirasi masing-masing. Di dalam sesebuah negara bangsa yang dibina pada zaman moden ini, tidak semua rakyat memahami inti kandungan Islam dan kebaikan-kebaikannya. Lantas, berlakulah keperluan untuk bekerjsama dengan gerakan lain samada di dalam menyertai politik pilihanraya atau sebagai pendokong di dalam pembentukan kerajaan. Perosalannya, adakah ia merupakan satu keharusan? Dalam erti kata lain, haruskah bagi sesebuah gerakan Islam untuk menjalinkan kerjasama dengan gerakan lain yang tidak mempunyai hasrat yang sama dengannya dalam membentuk kerajaan?

Pengertian Tahaluf Siyasi

Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama. Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.

Hukum Tahaluf Siyasi

Para ulama haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam. Sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama ini serta menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai haram. Di antara mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah . Manakala di antara ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi , Dr Mustoffa al-Tohhan , al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid , Doktor Solah al-Showi dan Doktor Munir Ghahdban .

Dalil-dalil yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahaluf siyasi ialah seperti berikut :

1. Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (51) فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ (52)

Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan mendapat bencana". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka.

Hujah : Kerjasama gerakan Islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis wala’ kepada kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam.

2. Firman Allah SWT :

فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Yang bermaksud : Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya

Hujah : Ayat di atas berkenaan dengan pengharaman arak dan judi. Namun jika dilihat dari sudut tahaluf siyasi, kerjasama dengan musuh mungkin mendatang manfaat dari beberapa sudut, bagaimanapun dari sudut yang lebih jauh iaitu ke arah menegakkan hakimiah Allah SWT, ia tidak akan dapat dicapai. Lantas, kerjasama akan menyebabkan terbantutnya usaha gerakan Islam untuk menegakkan daulah Islamiah. Oleh yang demikian, kerjasama ini adalah haram kerana lebih banyak mendatangkan mudharat daripada manfaat.

3. Pertimbangan logik bahawa gerakan yang tidak berhasrat untuk menegakkan Islam ini pastinya hanyalah menjadikan gerakan Islam sebagai jambatan untuk mereka mendapatkan kuasa. Mereka sekali-kali tidak membiarkan gerakan Islam ini berkembang sehingga mengatasi diri mereka. Dan ini sekali lagi akan menghalang kepada tertegaknya daulah Islamiah seperti yang diperjuangan oleh Harakah Islamiah.

Manakala bagi golongan ulama haraki yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :
1. Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan :

وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً

Yang bermaksud : Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan - membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.

Hujah : Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.

2. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :

2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya” Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.

2.2 Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.

Hujah : Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.

3. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”

Hujah : Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal . Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.

4. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang menjadi hujjah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua pihak.

Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”

Hujah : Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan non-muslim di dalam menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada realiti kehidupan.

5. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum Quraisy. Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.

6. Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.

Jawapan Terhadap Golongan Yang Mengharamkan Tahaluf Siyasi
Di dalam memberikan jawapan kepada golongan ulama haraki yang mengharamkan tahaluf siyasi, beberapa pandangan telah dikemukakan. Antara lain :
1. Ayat yang digunakan iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada tahaluf siyasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik yang terus meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Ianya turun kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak untuk menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan bahawa ayat ini tiada kena mengena dengan tahaluf siyasi tetapi berkenaan dengan orang yang keluar langsung dari Harakah Islam untuk bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.

2. Ayat 219 dari surah al-Baqarah pula bukan sahaja tidak menjadi hujah mengharamkan tahaluf siyasi bahkan menjadi peneguh kepadea keharusannya. Ini kerana daripada tahaluf siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Mesir, Sudan dan Yaman, manfaat yang besar banyak diperolehi oleh kaum muslimin. Oleh yang demikian, di dalam masalah manfaat dan mudharat ini, pertimbangan berdasarkan senario semasa perlu diambil kira. Tahaluf Siyasi sebelum diputuskan hendaklah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pakar politik dan ahli-ahli strategi.

KESIMPULAN
Di dalam mendepani arus politik dunia pada hari ini, gerakan Islam perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada. Tahaluf siyasi perlulah dilakukan dalam keadaan gerakan Islam mendapat keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT. Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.

Penyertaan gerakan Islam dalam mana-mana kerajaan seharusnya dilakukan dengen penelitian yang teliti terhadap senario politik setempat. Oleh yang demikian, pimpinan gerakan Islam perlulah sentiasa prihatin dan sensitif dengan perkembangan semasa serta kehendak masyarakat agar langkah yang diambil tidak menyebabkan kerugian di mereka nanti.

Maklumat Penulis :

Ahmad Fadhli bin Shaari
B.A (Hons) Dakwah Islamiyyah, Univ. Al-Azhar, Mesir.
Penulis merupakan Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah

Saturday, January 12, 2013

HIMPUNAN RAKYAT : Pendapat Ulama dan Keharusannya




HIMPUNAN RAKYAT : Pendapat Ulama dan Keharusannya Sudah menjadi kebiasaan di dalam sebuah negara maju dan yang mempunyai rakyat berkesedaran tinggi menjadikan himpunan umum atau demonstrasi sebagai cara menyuarakan pendirian mereka. Lebih-lebih lagi berdemonstrasi dibenarkan dalam sebuah negara demokrasi selagi berlangsung dengan aman dan tidak menyebabkan huru-hara dalam negara. 
Rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran tinggi tentang keadilan dan hak, mereka juga tidak ketinggalan mengadakan beberapa siri perhimpunan umum untuk menegur golongan pemerintah. Islam juga menyarankan konsep "amar makruf nahi mungkar" hatta kepada pemerintah sekiranya tidak berlaku adil. Persoalannya, adakah menegur pemerintah dengan cara ini dibenarkan dalam Islam? Atau cara ini ditegah hanya kerana diceduk dari pengamalan masyarakat Barat yang tidak beragama Islam? Persoalan ini harus segera dijawab lebih-lebih lagi ia sudah menjadi amalan masyarakat di kebanyakan negara lebih-lebih lagi di Malaysia. Pandangan ulamak tentang himpunan aman atau demostrasi.
 1. Kebanyakan ulamak muktabar seperti Dr. Yusof Al-Qadhowi (klik), Dr. Ali Jumaah (klik) , Syeikh Abdul Rahman Abdul Khaliq dalam kitabnya ( فصول من السياسة الشرعية ), Syeikh Salman Fahd Audah dan Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali serta kebanyakan ulamak masa kini berpendapat HARUS mengadakan demostrasi aman lebih-lebih lagi ia dibenarkan oleh perlembagaan sebagai cara untuk rakyat menuntut keadilan dan menyuarakan hak serta pendirian mereka. Malah gabungan suara rakyat yang ramai lebih didengari dari menyuarakannya bersendirian. Ini berdasarkan Firman Allah bermaksud : "Dan tolong-menolonglah dalam mengerjakan perkara kebaikan dan taqwa, jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (al-Maidah : 2). Dalam kaedah fiqh juga ada menyatakan : "Asal sesuatu perkara itu harus selagi tidak ada dalil qat'ie dan sorih yang mengharamkannya. 
2. Diriwayat dari ibnu Abbas bahawa Sayyidina Umar al-Khattab ketika menjawab soalan ibnu Abbas tentang kenapa dia digelar Al-Faruq oleh Rasulullah S.A.W . Ini kerana disebabkan keberaniannya bersama dengan Sayyidina Hamzah memimpin dua saff muslimin yang turut disertai oleh Nabi S.A.W berjalan beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram untuk menzahirkan Islam dan kekuatan muslimin di Mekah. 
تاريخ دمشق /حلية الأولياء.)3. Demonstrasi walaupun dilihat berasal dari Barat tetapi intipatinya tidak bercanggah dengan dasar Islam dan erti kemanusiaan. Malah himpunan umum menjadi salah satu syi'ar islam dalam menzahirkan' izzah, kekuatan dan kesatuan umat Islam seperti himpunan ketika solat berjemaah, hari raya dan ketika ibadat haji. 
4. Diriwayatkan dari ibnu Abbas, Hadis yang dikeluarkan oleh Syaikhan (Bukhari dan Muslim) bahawa Nabi S.A.W suka menyamai Ahli Kitab pada perkara yang tidak ada perintah tertentu berkenaannya. Malah Rasulullah S.A.W ketika membina parit dalam perang Khandak,membuat cop dan asal kaedah jual beli salam juga mengambil contoh dari orang bukan islam. Sistem Kharaj juga diambil oleh sahabat dari negara Parsi. 
5. Demonstrasi bukan bermaksud menentang atau mengangkat senjata menghadapi pemerintah. Ia adalah sebagai salah satu cara untuk menasihati pemerintah dan menegahnya dari terus melakukan mungkar serta ketidakadilan terhadap rakyat. Ini berdasarkan dua Hadis Rasulullah S.A.W : "Agama itu nasihat". Adapun Hadis yang kedua : "Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah menegahnya dengan tangan, sekiranya tidak mampu, tegurlah menggunakan lidah dan jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan ia selemah-lemah iman". 
6. Kaedah المصلحة المرسلة " dan " للوسائل حكم المقاصد " juga menjadi hujjah selagi tujuan iaitu maslahah yang mahu dicapai diakui oleh Islam serta mendatangkan manfaat kepada rakyat. Antara maslahah yang diperakui mendatangkan padanya manfaat seperti nasihat kepada pemerintah, meneguhkan pendirian umat Islam pada perkara hak dan memperkukuhkan suara rakyat menentang ketidakadilan pemerintah. Maka cara ini dikira harus seperti hukum tujuannya juga. Dengan cara ini juga, ia dapat menolak kerosakan (مفسدة) dalam sesebuah masyarakat seperti rakyat akan selamanya dilihat lemah dan boleh ditindas sesuka hati oleh pemerintah dan rakyat akan terus diperintah oleh pemerintah yang zalim. 
7. Di Malaysia contohnya,terdapat peruntukan undang-undang yang memberikan kebebasan bercakap,berhimpun dan berpesatuan kepada rakyat seperti yang termaktub di dalam Perlembagan Perseketuan Malaysia pada perenggan (a),(b) dan (c) di dalam fasa 1,perkara 10,bahagian 2. Peruntukan ini jelas membenarkan himpunan aman diadakan selagi tidak melanggar syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. (di sini) 
8. Terdapat sesetengah ulamak yang berpendapat HARAM mengadakan demonstrasi dengan beberapa hujjah seperti perbuatan ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat dan ia dikira perkara bida'ah yang ditolak. Cara ini juga diambil dari Barat dan melakukannya seolah-olah mnyerupai orang bukan islam sebagaimana sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dari kalangan mereka". Ayat Al-Quran yang mewajibkan taat kepada pemerintah dan kaedah "" سد الزريعة juga menjadi hujjah pendapat ini. 
9. Hujjah pendapat ini dijawab oleh ulamak seperti Dr. Sa'aduddin Mus'ad Hilali di dalam kitabnya( الجديد في الفقه السيا سي المعا صر ) bahawa demonstrasi tidak termasuk perkara bida'ah yang ditolak kerana pernah dilakukan dan dipimpin oleh saidina Umar dan saidina Hamzah ketika zaman Rasulullah S.A.W. cara ini juga walaupun dilihat menyerupai perbuatan bukan Islam tidaklah menjadikan ia haram kerana Islam hanya mengharamkan menyerupai bukan Islam pada perkara yang bertentangan dengan sesuatu Nas daripada syara' seperti cara ibadah mereka. Demonstrasi juga tidak menafikan suruhan mentaati pemerintah disebabkan ia dibenarkan oleh perlembagaan. Maka himpunan tersebut boleh dilakukan selagi mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Diriwayat dari Imam Bukhari sesungguhnya Nabi S.A.W bersabda : " المسلمون عند شروطهم".Kewajipan mentaati pemerintah juga hanyalah kepada perkara taat dan bukan maksiat seperti sabda Nabi S.A.W yang bermaksud : "Tidak ada ketaatan pada makhluk pada perbuatan maksiat kepada pencipta". 
10. Adapun hujjah "menutup ruang" yang boleh mendatangkan kerosakan seperti kerosakan harta awam, perbalahan dan kerugian peniaga-peniaga dijawab oleh Dr. Yusof al-Qardhawi bahawa kaedah ini tidak harus digunakan sehingga menjadi wasilah untuk melarang usaha mencapai maslahah yang lebih utama dan diakui oleh Islam. Ini kerana kerosakan yang dijangka berlaku boleh diatasi dengan kawalan pihak keselamatan dan janji dari penganjur untuk tidak melakukan kerosakan dan perbalahan sepanjang himpunan aman. Malah beberapa siri himpunan yang telah lalu membuktikan peniaga-peniaga tidak mengalami kerugian bahkan mendapat keuntungan berlipat kali ganda dari hari-hari biasa. Wallahu 'alam... "Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar" "Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan" 

Disediakan oleh : Felo MANHAL PMRAM
http://www.manhal.pmram.org/2013/01/himpunan-rakyat-pendapat-ulama-dan.html

Kalimah Allah: Polemik gelombang kedua




-,09 Jan 2013


1. Isu mengizinkan atau mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain khasnya agama-agama samawiyyat (langit) seperti Kristian dan Yahudi sekali lagi menjadi polemik besar yang boleh sahaja meledakkan negara ini.
PAS tetap tegas menyatakan pendiriannya sekaligus membuktikan bahawa bukan sokogan politik atau undi yang diburu PAS, tetapi berusaha matlamat meletakkan -Islam yang syamil-mutakamil dan kedudukan Allah sebagai Rabbul 'Alamiin -Tuhan Seru Semesta Alam ini dalam jajaran perjuanganya mendaulatkan Islam yang bakal menaungi semua.


2. Merujuk kepada sandaran utama Syariah Islam yakni Al-Quran, ayat-ayat secara dalil yang jelas menerangkan kedudukan perkara ini. Contoh-contoh ayat di mana perkara ini menjadi maudhu’ bicara atau Khitob Allah SWT adalah dalam ayat-ayat dalam surah Az-Zumar: 3, Luqman:25 dan yang paling jelas ialah pengakuan Allah sendiri bahawa namanya ditasbihkan dalam tempat-tempat ibadat kaum Yahudi dan Nasrani di samping di masjid dalam surah Hajj ayat 40.

3. Beristidlal secara yang betul yakni pertama menggunakan Al-Quran, As-Sunnah dbsnya, akan menemukan kita bahawa bahawa hukum asalnya ialah ianya ‘Yazuz’ atau diizinkan, diharuskan dan tidak dilarang.

Jelasnya ia bukan satu yang diharamkan atau kegunaannya ialah secara 'eksklusif' olih ummat Islam sahaja kerana Allah tidak dimilikki ummat Islam sahaja bahkan Allah adalah Tuhan seluruh seru semesta Alam. Penegasan ini yang kita ulangi bacaan setiap hari 17 kali sehari semalam dalam Al-Fatihah ditegaskan olih Sheikh Prof Dr Yusuf Qardhawi.

4. Adapun setelah diharuskan digunakan maka adalah mustahak dan penting untuk keharusan itu tidak disalahgunakan samada konteks yang tidak sesuai seperti merujuk kepada berhala, dewa-dewa dsbnya atau tujuan mendi’ayah ummat Islam dalam program Kristianisasi seperti yang ditakuti atau dikhuatiri ummat Islam di negara ini.

5. Maka barulah betul (sahih) kita merujuk kemudiannya kepada kepada Qawaid Fiqqiyah setelah merujuk kepada al-Quran (cara mencari dalil atau beristidlal yang betul dalam Islam) dan tidak sebaliknya yakni tiba-tiba haram kerana Qaedah ‘as-Sadda az-Zari’ah’ atau perhitungan menutup pintu-pintu kemudaratan, sebelum kita meneliti wujudnya Nas atau Nusus secara jelas tentang perkara atau maudhu tersebut dalam Al-Quran itu sendiri atau dalam Ahadith.

6. Penguasa politik dan pembuat dasar wajar kemudiannya menurunkan enakmen atau peraturan supaya keharmonian antara agama dan budaya dipelihara dan kalimah Allah tidak disalahguna atau eksploitasi untuk tujuan-tujuan salah seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Saya difahamkan sudah ada pihak paderi dan pimpinan gereja dan agama lain yag mahu bekerjasama untuk mempastikan ini dapat dijaga dan dilindungi dengan baik.

7. Berkebetulan juga, inilah uslub atau pendekatan paling cantik, wajar dan sesuai dalam menghidupkan budaya
Politik 'Li Ta’arafu' dalam landskap demokratik baru politik nasional negara ini.

Inilah dia sesungguhnya pendekatan ‘pertegahan’ atau ‘Uslub Wasotiyyah’ PAS, yang kini disenangi oleh pelbagai pihak – Melayu-Islam dan penganut agama lain sekaligus mengisi tuntutan ‘ruang tengah’ politik negara.

Penulis masih ingat bahawa inilah pesanan dan amanat Sheikh Prof Dr Yusuf Qardhawi ketika mengadakan muzakarah tertutup dengan pimpinan tertinggi PAS sebelum pilihanraya umum ke-12 dulu, supaya PAS mengambil uslub ini dalam megendalikan pendekatan 'Siasatut Dakwah'nya.

Setiap kebijakan atau polisi Siasahnya mempunyai perhitungan Dakwahnya dan setiap langkah Dakwahnya mempunyai perhitungan mengimbangi tuntutan Dakwahnya.



Dr Dzulkefly Ahmad adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS