Thursday, June 16, 2011




Semasa PAS bersama Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) mengenengahkan slogan Negara Berkebajikan pada tahun 2008, tiada siapa mengendahkannya.
PAS dan Barisan Alternatif menang besar.
Negara Berkebajikan atau The Caring State itu menjadi jambatan yang menghubungkan seluruh kelompok pengundi kepada nilai-nilai Islam yang menjadi teras perjuangan PAS. Bagaimana Islam mengagihkan manfaat dan tanggungjawab kepada rakyat secara adil, memerangi korupsi dan ketirisan bajet, menegakkan cara hidup yang memberikan kebaikan kepada semua pihak yang mencintai kebaikan dan keadilan.
Islam sebagai Rahmat kepada seluruh alam.Namun ada keresahan ketika itu.
Biar pun PAS bersama Barisan Alternatif mencapai kemenangan luar biasa, idea Negara Berkebajikan kurang dikembangkan. Malah di dalam lingkungan PAS sendiri, timbul pelbagai tanda tanya. Adakah perubahan yang berlaku itu merupakan perubahan form atau substance. Usul atau furu’?
Ia mengingatkan saya kepada artikel saya berkenaan kegusaran ini. Di bawah tajuk MENCARI BAHASA BARU bertarikh 25 Februari 2008, saya mencatat:



Perubahan itu perubahan yang besar.
Daripada debat tentang konsep-konsep Islam dan Negara Islam, PAS melakukan suatu pendekatan yang amat drastik dengan beralih kepada menjelaskan bagaimana Islam dan kenegaraan yang diperjuangkan oleh PAS, boleh memperbaiki masyarakat.
Lantas tawaran PAS lebih sejagat kepada masyarakat Malaysia yang berkepelbagaian latar belakang dan kefahaman.
Daripada pendekatan mengheret pengundi kepada menekuni PROSES, kini PAS lebih mempromosikan OUTPUT dan menyerahkan urusan PROSES kepada jentera kerajaan (jika menang) untuk mengendali dan merealisasikannya.
Ia suatu perubahan yang besar, dan saya melonjakkan syukur kerana bertambah satu lagi contoh bagaimana pemikiran dinamik yang mengalu-alukan idea segar, tepat dan jelas… menjadi kunci kepada survival parti, ummah dan tamadun manusia keseluruhannya. Challenge and response… itu kata kuncinya.
MEMBUKA HARAPAN
Saya masih ingat kepada perbualan saya dan rakan bersama beberapa teman dari Centre for Public Policy Studies and akhbar kewangan The Edge, bahawa “harapan masih ada untuk PAS” kerana nyata sekali bahawa PAS bukanlah sebuah Parti ala-Taliban seperti yang sering dimomokkan oleh akhbar seperti The Star dan yang seumpama dengannya.
Kesediaan PAS untuk meneroka bahasa sejagat dalam memperjuangkan prinsip-prinsip Islam, membuka lebih banyak ruang kepada memberi kefahaman kepada masyarakat, mendidik mereka dan seterusnya menjemput kerjasama yang lebih luas ke arah cita-cita menegakkan Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafoo.

PENGHAYATAN ATAS BAWAH

Namun sejauh manakah perubahan ini dihayati oleh pendukung PAS dari atas ke bawah?
PAS telah pun mengadakan taklimat berkenaan dengan manifesto Pilihanraya ke-12, di Taman Melewar pada 6 Februari 2007 untuk jentera pilihanraya. Penjelasan mengenai perjuangan ke arah sebuah “Negara Beramanah, Bersih, Adil dan Berkebajikan”, disampaikan dengan terpeinci, malah mendahului parti-parti komponen Barisan Alternatif yang lain.
Akan tetapi, sebaik sahaja taklimat ini berjalan, pergerakan promosi manifesto ini ada kalanya kelihatan tidak selaras dengan hasrat dan cita-cita yang telah disuarakan.
Di alam siber, artikel-artikel LAMA, tentang jenayah pemimpin Barisan Nasional memperlekehkan hukum hudud pada tahun 1990an telah disebarkan semula. Hal-hal yang bersangkutan dengan kebobrokan pihak yang alergik dengan perundangan Islam, kembali beredar dari satu inbox ke satu inbox yang lain… dan soalnya ialah, sejajarkan hal ini dengan pendekatan dan manifesto PAS untuk pilihanraya ke-12 akan datang?
Masuk ke hari penamaan calon, masih kedengaran laungan-laungan yang tidak mencerminkan perubahan yang telah berlaku kepada PAS.

“Hancur kuffar!”

“Hancur sekularisma!”

Slogan-slogan seumpama itu dikeluarkan kembali dari gerobok simpanan dan dimuntahkan tanpa memikirkan sejauh mana kesan slogan sedemikian rupa kepada hasrat PAS untuk menjana suatu perubahan?

Malah ada di antara calon, masih menggunakan bahasa Pilihanraya 1999 dan 2004 dalam taklimatnya selepas penamaan calon, bercakap tentang kepentingan hukum hudud dan subjek-subjek yang tidak selaras dengan manifesto PAS 2008.

MANIFESTO SEJAGAT, SLOGAN SEJAGAT

Jika perubahan yang berlaku itu adalah perubahan yang benar-benar mahu dilihat kejayaannya, maka PAS harus bergerak selari di antara hasrat kepimpinan dan jentera penggerak. Bahasa-bahasa baru yang lebih menepati cita-cita PAS di tahun 2008 mesti dipopularkan agar laungan yang dijana, mencetuskan momentum yang betul, dan bukannya menggatalkan kepala rakan-rakan di Barisan Alternatif serta para pengundi yang tekun memerhati.

“Hancur kezaliman”

“Hancur penipuan”

“Hancur korupsi”

“Hancur perhambaan”

“Hancur …. (fill in the blanks)”

Banyak lagi slogan yang boleh terbit dari manifesto PAS 2008, asalkan homework dibuat dan bukan hanya membuka gerobok untuk Siaran Ulangan.
Pepatah Arab menyebut:
“Bercakap biar bertempat”
Kebijaksanaan pendukung PAS memilih perkataan yang betul akan menjadi bukti terbaik kepada masyarakat bahawa perubahan yang berlaku itu adalah perubahan yang berisi. Bukan sekadar menukar baju mengikut musim.

HILANG FOKUS

Selepas kemenangan cemerlang Barisan Alternatif pada Pilihanraya Umum ke-12, Mac 2008, PAS mengalami perubahan hala tuju, sedikit sebanyak berpunca daripada konsep Negara Berkebajikan yang tidak dipegang sebagai keutamaan dalam anjakan paradigma gerakan. Atas sebab yang pelbagai, PAS terheret kepada isu Kerajaan Perpaduan dan kerjasama dengan UMNO demi survival kaum Melayu di Malaysia. Biar pun banyak masa diperuntukkan untuk sampai kepada konklusi akhir menolak idea ini, ia menjadi positif jika disuluh daripada sudut mendidik aktivis PAS dan rakyat tentang tindak tanduk pragmatis Barisan Nasional, khususnya UMNO.

Kemerosotan pemikiran juga membelenggu akar umbi hingga cuaca dalaman PAS seperti berpatah balik ke era 2004 dan ia meresahkan seluruh rakyat yang meletakkan harapan untuk PAS berperanan dengan lebih baik, sama ada di dalam jentera Pakatan Rakyat, atau sebagai kuasa penyingkir kepada penguasaan UMNO dan Barisan Nasional.
Syukur Alhamdulillah, Muktamar PAS 2011 memadam keresahan ini.
Mengekalkan kedudukan sebagai Presiden PAS penggal seterusnya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kini dikelilingi oleh ‘amilin yang diyakini berkompetensi untuk menggerakkan PAS bersama Pakatan Rakyat menuju Pilihanraya Umum ke-13 dengan kemas. Ia menjadikan Ucapan Dasar Presiden PAS berisi, berpijak pada realiti dan berpeluang untuk direalisasi.

UMNO MERACAU

Tidak seperti 2008, kali ini gagasan Negara Berkebajikan menjadikan UMNO meracau.
Pemimpin-pemimpin UMNO rancak mengulas.
Datuk Mukhriz Mahathir mengatakan bahawa DAP dan PKR berjaya mempengaruhi PAS untuk meninggalkan dasar perjuangan Negara Islamnya. Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga tidak mahu ketinggalan. Beliau sangat nampak yang PAS nampak sangat telah meninggalkan Hudud dan Negara Islam. Datuk Seri Mohamad Hasan juga menyuarakan pandangan yang sama tatkala melihat PAS meninggalkan agenda Kepimpinan Ulama. Khairy Jamaluddin juga meragui komitmen PAS kepada dasar perjuangannya kerana beralih arah.
Tun Mahathir yang pernah didoakan oleh al-Marhum Datuk Fadzil Noor agar panjang umur untuk melihat kesan kezaliman pemerintahannya turut tidak dapat menahan diri. Beliau mengomel di blognya, mengatakan bahawa PAS telah mempermainkan Islam kerana menggugurkan perjuangan Negara Islam.

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi juga tidak betah menjadi pemerhati. Turut mengeluarkan kenyataan, beliau mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam daripada nama Parti kerana mendakwa PAS sanggup membiarkan dirinya dibuli oleh DAP dan ini mengelirukan ramai pihak menurut beliau.
Malah, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak hairan mengapa baru sekarang PAS terfikir tentang konsep Negara Berkebajikan yang telah lama diperjuangkan oleh UMNO sebagaimana beliau dakwa.

Tidak cukup dengan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO, blogger UMNO turut memakmurkan racau ini dengan pelbagai ulasan mereka.
Paling kecewa dengan perubahan yang berlaku pasca Muktamar PAS 2011 ini adalah kitab rujukan harian, Utusan Malaysia!

BUAT-BUAT TIDAK FAHAM

Sama ada mereka buat-buat tidak faham atau memang tidak faham, Islam sebagai ideologi politik (Islamism?) semenjak di era Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Ridha, Sultan Abdul Hamid II, Hasan al-Banna, al-Mawdudi, Sayyid Qutb membawa ke era Necmettin Erbakan, Recep Tayyib Erdogan dan Luthfi Hasan Ishaaq, idea Islam sebagai kuasa politik berkembang dari semasa ke semasa dalam bentuk perbincangan, penafsiran dan penterjemahannya kepada agenda kerja.
Penamaannya sebagai Negara Islam atau apa-apa istilah, berubah dari satu zaman ke satu zaman.

Ia membuktikan dinamika gagasan Islam dalam menyesuaikan prinsip-prinsipnya dengan realiti semasa. Challenge and response sebagai enjin survival, paling cantik diperlihatkan oleh kemaskini gerakan Islam merentas zaman. Gerakan Islam sentiasa menyemak dan mengemaskini idea yang didukung tanpa berganjak daripada prinsip-prinsip yang menjadi asas kewujudannya.
Hanya yang ‘tidak baca buku’ sahaja meracau-racau gagal memahami perubahan ini.
SESUNGGUHNYA

Kata Dale Carnegei:
“Unjust criticism is often a disguised compliment. It often means that you have aroused jealousy and envy. Remember that no one ever kicks a dead dog”
“Kritikan yang tidak adil sebenarnya adalah pujian yang tersirat. Ia selalunya bermaksud anda yang dikritik itu telah menimbulkan rasa cemburu dan dengki. Ingatlah, tiada sesiapa yang menyepak anjing yang telah mati”


Terima kasih kepada UMNO yang meracau.
Ia mendesak PAS untuk segera memperincikan konsep-konsep Negara Berkebajikan, menuju Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.
Sesuatu yang sepatutnya sudah lama PAS lakukan.
Semenjak 2008.


kredit kepada lawan web saifulislam.com

Wednesday, June 8, 2011

Apa yang anda perlu tahu tentang Lynas




Assalamualaikum wbt.


Isu Lynas sudah lama dikecohkan di blog-blog, forum-forum dan sebagainya. Tetapi baru hari ini saya tergerak hati untuk menulis tentangnya. Bila mana sebuah video rakaman seorang rakyat Australia yang menerangkan tentang bahaya Kilang Nadir Bumi Lynas dalam Bahasa Malaysia, terus tergerak hati untuk membuat sedikit analisis ringkas tentang kilang tersebut.
Kita telah ada kes-kes lalu yang boleh dirujuk dalam membincangkan isu ini. Kita tahu reputasi Lynas di negaranya sendiri dan pastinya kita benar-benar kenal reputasi kerajaan dalam bidang teknologi tinggi ini. Sedangkan stadium baru boleh runtuh, inikan pula mengendalikan sebuah kilang bahan radioaktif. Terpulang kepada anda untuk menilai fakta-fakta di bawah:



1. Kilang Lynas sudah pun 95% dibina di Gebeng Kuantan. Keluasan menyamai 140 buah padang bola atau 100 hektar tanah. Kedudukan Kilang Lynas diapit oleh Polyplastic dan Projek Fasa 1 Kluster Industri Minyak Kelapa Sawit yang juga berhadapan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bersebelahan dengan BASF Petronas Chemicals. Juga tercatat papan tanda LAMPSON atau Lynas Advanced Material Plant (LAMP) antara Lynas Malaysia Sdn Bhd dan UGL Resources. UGL Resources adalah syarikat utama yang berpengkalan di Australia dalam bidang Pengurusan Aset dan Projek dengan jumlah kakitangan sekitar 42,000 orang. Mereka telah dianugerahkan Kontrak Pengurusan Projek Pembinaan Lynas di Gebeng pada 22/2/2010 dengan nilai kos pengurusan projek di sekitar RM96.8 juta. UGL Resources bertanggunjawab di dalam urusan rekabentuk kejuruteraan kilang Lynas. Kos infrastruktur Lynas di Gebeng dianggarkan sekitar RM700 juta.

2. 100% milik Lynas Australia.


3. Dijadual untuk disiapkan Suku-3 2011 (September). Tarikh asal dikatakan pada Suku-1 2011 (March).



4. Lesen untuk dibina diberi pada tahun 2008.


5. Peluang Pekerjaan hanya untuk 350 orang sahaja.


6. Akan menghasilkan 22 ribu tan ‘rare earth oxide ‘ setahun.


7. Nilai eksport dianggarkan pada nilai RM8 Billion setahun.


8. Bebas Cukai selama 12 tahun.


9. China merupakan pembekal ‘rare earth’ atau nadir bumi terbesar di dunia sebanyak 95%. Dijangka berlaku penurunan export nadir bumi atau ‘rare earth’ China dari 72% kepada 37% pada tahun 2011.


10. Harga satu tan pada RM364, 800.


11. Pembeli terbesar adalah dari Jepun, Amerika dan Eropah untuk keperluan industri berteknologi tinggi (Magnet Prestasi Tinggi) seperti Kabel Fiber Optic, Monitor LCD, Komputer, Lensa Kamera, Mentol Lampu, Smartphone, Alatan Ketenteraan dan Kereta Hybrid.


12. Lynas dijangka akan menjadi pengeluar 1/3 daripada keperluan ‘rare earth’ atau nadir bumi dunia selepas 2 tahun beroperasi.





13. Proses menghasilkan ‘rare earth’ atau nadir bumi secara umumnya:
a) Ore dilombong di Mount Weld Australia.
b) Ore tersebut kemudiannya akan dikeringkan dan proses pengasingan akan dilakukan. Di sni rare earth concentrate’ akan dihasilkan.
c) Di Gebeng Kuantan, proses seterusnya ialah menghasilkan ‘rare earth compounds’ dimana rawatan dengan menggunakan bahan kimia akan dilakukan untuk proses pengasingan seterusnya.
d) ‘rare earth compounds’ tersebut akan seterusnya diproses dengan menggunakan kuantiti bahan kimia yang berbeza bergantung kepada jenis ‘rare earth’ atau nadir bumi itu, sama ada ia ringan atau berat untuk menghasilkan ‘ rare earth oxides’ di mana ia kemudiannya dihantar atau dieksport semula ke kilang pengeluar produk.
e) Di kilang pengeluar produk berteknologi tinggi, ‘rare earth oxides’ ini akan diproses sekali lagi juga menggunakan teknik ‘solvent extraction’ untuk menghasilkan ‘rare earth metal’ yang akan digunakan secara langsung atau dicampurkan dengan bahan lain untuk menghasilkan produk berteknologi tinggi itu.


14. ‘Rare earth ore’yang dilombong di Mount Weld mengandungi beberapa mineral utama dan diantaranya ialah monazite. Monazite adalah bahan radioaktif. Di dalam bahan mineral monazite ini terdapat thorium, cerium dan lanthanum. Monazite kaya dengan Thorium dan Thorium ini juga adalah bahan radioaktif yang tinggi dan boleh digunakan untuk menggantikan uranium dalam menghasilkan tenaga nuklear.


15. ‘Rare earth concentrate’ yang diimport dari Australia untuk diproses di Gebeng Kuantan ketika itu dianggarkan mengandungi 0.0029% Uranium dan 0.16% Thorium for every metrik tan.


16. ‘Rare earth concentrate’ yang diimport akan diproses untuk dijadikan ‘rare earth oxide’ di Gebeng Kuantan. Daripada komen yang disampaikan oleh CEO Lynas sendiri, kandungan Thorium adalah pada nisbah 55:10,000 metrik tan dan dari 22 ribu tan setahun ‘rare earth oxide’ yang dihasilkan dari kilang Lynas atau LAMP di Gebeng Kuantan itu, sisa buangan Thorium yang dianggarkan akan dihasilkan dalam tempoh setahun adalah sebanyak 121 metrik tan bersamaan dengan 121 buah lori 1 tan atau 24 buah lori 5 tan SETAHUN!


17. Maklumat berkenaan Thorium dan kesannya kepada manusia persekitaran seperti yang dilaporkan oleh Agensi Perlindungan Persekitaran Amerika Syarikat (EPA) adalah seperti berikut:





a) Thorium-232 mempunyai jangka hayat 14 billion (14×109) tahun.
b) Thorium-230 dan Thorium-228 mempunyai jangka hayat 75,4000 tahun.
c) Pencemaran Thorium boleh merebak dengan lebih meluas melalui air dan udara.
d) Mereka yang tinggal berdekatan tempat yang menghasilkan sesuatu bersama Thorium berkemungkinan terdedah kepada bahaya Thorium.
e) Manusia boleh dijangkiti atau terdedah dengan Thorium melalui sedutan udara, makanan dan air.
f) Thorium yang dihidu atau disedut melalui udara akan kekal untuk jangka masa yang lama pada salur pernafasan. Thorium yang masuk ke salur darah akan juga tinggal di tulang pada jangka masa yang lama.
g) Risiko Kanser di tekak, tulang dan pankreas kesan dari hiduan sisa Thorium.


18. Kes 1: Syarikat Mitsubishi Chemical yang terlibat dalam industri pemprosesan ‘rare earth’ di Bukit Merah dikaitan dengan 8 kes Leukimia dan 7 kes kematian. Telah ditutup pada tahun 1992 dan kerja-kerja pembersihan sisa masih berjalan sehingga ke hari ini (Hampir 20 Tahun) dan telah menelan belanja lebih RM300 juta.


19. Kes 2: Kebocoran radiasi di Fukushima selepas bencana Gempa Bumi dan Tsunami mendesak kerajaan negeri Jepun yang dikatakan cukup maju dalam pengurusan bencana untuk melebarkan kawasan evakuasi dari 16KM kepada hampir 40KM termasuk mengisytiharkan tahap 7 kebocoran radiasi, sama seperti yang dialami di Chernobyl Ukraine pada tahun 1986 yang telah meragut hampir 200,000 ribu kematian akibat kanser seperti yang dilaporkan oleh Greenpeace ketika itu.


20. Kes 3: Kesan toxic dan radioaktif dari industri ‘rare-earth’ di Baotou Mongolia. Setiap proses ‘rare-earth’ bermula dari perlombongan ‘ore’ ke ‘rare earth oxide’ atau ‘rare-earth metals’ banyak menggunakan bahan asid dan kimia. Malah ketika perlombongan ‘ore’, bahan asid akan dimasukkan ke lubang yang digali. Sisa buangan radioaktif khususnya Thorium juga dihasilkan ketika melalui semua proses itu. Kebocoran bahan asid, kimia dan sisa radioaktif ini yang banyak berlaku di Baotou terbukti telah menyebabkan kemusnahan kepada hasil pertanian dan kesihatan seperti kerosakan hasil tanaman, gigi tercabut dan rabut putih atau beruban diawal usia muda sekitar 20-an. Malah kematian disebabkan kanser juga direkodkan walaupun lokasi penempatan penduduk berada 10KM dari kawasan penyimpanan sisa buangan radioaktif itu.


21. Kes 4: Kajian yang dilakukan oleh Kolej Perubatan Jiangxi di China dari sample darah dan ujian IQ pada kanak-kanak mengemukakan kesimpulan bahawa kanak-kanak di sekitar umur 7-10 tahun yang tinggal berdekatan dengan kawasan ‘rare-earth ore’ berkemungkinan mempunyai IQ atau kecerdasan akal yang lebih rendah berbanding mereka yang tinggal jauh atau yang tinggal di kawasan yang terkawal.


22. Kesannya kepada sumber ekonomi negara khususnya kegiatan ekonomi rakyat di sekitar Kuantan dan Kemaman:
a) Sektor Perlancongan khususnya di Cherating Pahang (dalam Jarak 18-20 KM dari lokasi Kilang Lynas).
b) Sektor Perikanan di Kuantan adalah antara yang terbesar. Terdapat 390 nelayan laut dalam yang berdaftar.
c) Sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya makanan laut (Keropok Lekor, keropok, ikan bakar dan sebagainya).
d) Nilai hartanah akan merudum kerana tiada siapa yang mahu membeli tanah atau kediaman di sekitar Kuantan dan di Kemaman.
e) Ancaman kepada syarikat berdekatan khususnya Petro-Kimia seperti Kaneka, MTBE, Petronas BASF dan BP Chemicals. Kerugian yang besar jika operasi mereka terganggu dengan insiden kebocoran sisa radioaktif yang boleh menjejaskan kesihatan pekerja mereka.
f) Pelabur baru dari luar negeri dan dari luar negara tidak akan berminat untuk melabur kerana ancaman sisa radioaktif daripada Lynas. Risiko terlalu tinggi.


23. Pertikaian rakyat khususnya rakyat setempat adalah berkenaan:


a) ‘Public Consultation’ atau Konsultansi dari pihak awam tidak pernah berlaku malah sebelum lesen untuk dibina dikeluarkan pada tahun 2008.
b) Laporan penuh Jabatan Alam Sekitar tidak dikongsi kepada rakyat, hanya Ringkasan Eksekutif yang dipaparkan di halaman web.
c) Lokasi yang terlalu dekat dengan kawasan kediaman. Jarak 2 KM dari Balok dengan kepadatan penduduk seramai 16700 orang. Jika diambil kira keluasan evakuasi di Fukushima dalam jarak 40KM dari Gebeng Kuantan, kebocoran sisa radioaktif akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah Kemaman di Terengganu sekalipun. Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 800 hingga 900 ribu secara keseluruhannya dengan Kuantan sahaja di sekitar 600 hingga 650 ribu orang. Syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Australia adalah minima 35KM dari kawasan penempatan penduduk.
d) Cadangan untuk membawa masuk ‘rare earth concentrate’ dari Mount Weld Australia ke Malaysia sebagai bahan bukan radioaktif dari pelabuhan Kuantan.
e) Menteri Western Australia, Hon Norman Moore memaklumkan sisa buangan radioaktif itu adalah milik Malaysia dan tidak akan diterima balik oleh Australia.
f) Sisa buangan radioaktif dari ‘rare earth’ boleh dibuang sama seperti sampah domestik.
g) Percanggahan kenyataan bahawa Mount Weld ‘ore’ yang dilombong di Austalia adalah jenis lanthanide dan bukan monazite.
h) Panel bebas yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia iaitu IAEA atau Agensi Tenaga Atom Antarabangsa tidak bebas dan berat sebelah kerana mereka bukan ‘regulator’ atau pembuat undang-undang yang tiada berkepentingan dalam sumber tenaga itu tetapi mereka adalah ‘promoter’ atau pihak yang menyokong penggunaan sumber tenaga itu.
i) Panel bebas harus diwakili dan dilantik oleh rakyat yang berkepentingan dalam isu ini.
j) Kelulusan untuk beroperasi tidak boleh diberi selagi mereka tidak memenuhi piawaian yang dicadangkan oleh Molycorp Minerals (California).
k) Piawaian negeri China yang berkait dengan Perancangan Pengurusan Pemprosesan dan Sisa Buangan tidak seharusnya digunakan. Sebagai contoh Menggunakan piawaian China GB9133-S3 dimana sisa buangan dengan aktiviti khusus yang kurang daripada 74Bq/g diklasifikasikan sebagai bukan sisa radioaktif dan boleh disimpan di kemudahan simpanan sisa biasa.
l) ‘Proof of Concept (POC)’ atau Bukti Konsep seharusnya dibuat oleh Panel Pakar yang bebas dan ujian konsep ini seharusnya dilakukan di Mount Weld Australia sendiri.
m) Cadangan membawa ‘rare earth’ bukan sahaja dari Australia tapi juga dari Malawi. Berkemungkinan ‘rare earth’ dari negara lain akan dibawa ke Gebeng Kuantan. Gebeng Kuantan berkemungkinan akan menjadi pusat serantau Asia malah dunia dalam penyimpanan sisa radioaktif dari perlombongan ‘rare earth’.
n) Denda RM50 juta seperti yang termaktub di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom Perenggan



59 (1) untuk setiap bencana kepada Lynas dilihat cukup ringan berbanding hasil RM8 Billion setahun LAMP. Hanya satu bencana yang melibatkan sisa radioaktif memadai untuk menjadi ancaman yang serius dan kekal lama kepada semua.



kredie kepada sahabat ana Faris.. http://www.almuhandisu.com/apa-yang-anda-perlu-tahu-tentang-lynas/