Tuesday, December 25, 2012


Fatwa Ulama Tentang Kewajipan Menolong Bumi Palestin?



KENAPA KITA PERLU MENOLONG PALESTIN?

Ada beberapa perkara yang perlu dipandang apabila kita berbicara isu Palestin dasawarsa kini. Kenapa perlu sangat kita menolong membebaskan Palestin dan rakyatnya sebagaimana yang difatwakan wajib oleh kebanyakan ulama daripada belenggu penjajah Gerakan Zionis.

Ini berkisar kerana beberapa faktor seperti terdapatnya  Baitul Maqdis di Palestin (Kiblat umat Islam yang pertama dan masjid yang ketiga paling mulia disisi Allah). Ianya juga merupakan tempat diperjalankan baginda Raslullah s.a.w. peristiwa “Israk Mikraj” daripada Mekah ke Palestin dalam satu malam.

Disitulah juga tempat terakhir Rasulullah s.a.w. berpijak sebelum diangkat mi’raj betemu Allah taala untuk menerima wahyu agung tentang pensyariatan solat fardhu lima waktu. Bahkan bumi Palestin merupakan bumi para Nabi dan Rasul serta aulia’Allah yang salih.

Namun tanggungjawab kita untuk membebaskan Palestin daripada belenggu Zionis yang paling utama dan paling besar adalah kerana disana terdapatnya saudara-saudara seislam dan seakidah dengan kita yang sedang dizalimi.

Itulah prioriti (keutamaan) yang paling besar dan sebab apa dikalangan para ulama samada yang terdahulu atau terkemudian mewajibkan seluruh umat Islam untuk bersama-sama berjihad dan menolong rakyat Palestin mendapatkan kembali hak mereka yang telah dirampas dan diceroboh oleh orang asing (Zionis).


MEMBEBASKAN PALESTIN MERUPAKAN KEWAJIPAN SYARA’ TERHADAP SELURUH UMAT ISLAM

Sesungguhnya Allah taala ada berfirman :

والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أولياء بعض

“Dan orang mukmin lelaki serta perempuan setengah mereka merupakan penlong kepada setengah yang lain”. (Surah al-Taubah : 71)

Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya menyatakan : 

“Hati-hati mereka (orang-orang mukmin samada lelaki atau perempuan) adalah satu dari sudut berkasih sayang. Mereka menolong antara satu sama lain samada dalam keadaan senang, susah dan berhenti daripada melaksanakan kekerasan dan perkara yang ditegah”. [1]

Dalam ayat yang lain, Allah taala menceritakan tentang kewajipan menolong sesame muslim merupakan petunjuk kepada benarnya iman seseorang kepada Allah taala dan sempurnya Islam yang ada pada dirinya.

Firman Allah taala :

وإن استنصروكم في الدين فعليكم النصر

“Jika mereka (orang-orang beriman yang lain) meminta pertolongan daripadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan”. (Surah al-Anfal : 72)

Imam Ibnul ‘Arabi (Fuqaha’ Maliki) dinaqalkan kalamnya dalam kitab Tafsir al-Qurtubi ada menyatakan :

“Diwajibkan untuk semua menolong kaum muslimin kecuali mereka yang lemah. Ini kerana umat Islam mempunyai hak kekuasaan yang wajib untuk ditegakkan dan ditolong sehingga tidak didapati daripada kalangan umat Islam walaupun seorang yang terkecuali melainkan keluar untuk menyelamatkan mereka yang lain (ditindas) sekiranya bilangan kita mampu menanganinya. Ataupun wajib mengeluarkan seluruh harta kekayaan kita untuk menolong mereka (yang ditindas) sehingga tidak ada seorang pun yang terkecuali walaupun satu dirham bersama mereka”.[2]

Nabi s.a.w. pernah bersabda untuk menolong sesama muslim daripada kezaliman (samada yang dizalimi atau yang zalim) :

انصر أخاك ظالما أو مظلوما. قالوا : يا رسول الله هذا ننصره مظلوما فكيف ننصره ظالما؟
 قال : تحجزه عن الظلم

“Tolonglah saudaramu yang zalim dan dizalimi. Lalu para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah ! Kami  boleh menolong mereka yang dizalimi tetapi bagaimana kami menolong mereka yang zalim? Maka Rasulullah s.a.w. berkata : Tegahkan dirinya daripada melakukan kezaliman”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Tirmizi)

Dalam hadis yang lain Nabi s.a.w. ada bersabda :

المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يخذله ولا يحقره

“Seorang muslim merupakan saudara muslim (yang lain), tidak boleh menzaliminya, tidak boleh mengkhianatinya dan tidak boleh menghinanya”.  (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bahkan Nabi s.a.w. dengan tegas melarang daripada kita mengkhianati dan membiarkan saudara muslim kita yang lain bersendirian sebagaimana sabda baginda s.a.w :

ما من امرأ مسلم يجذل امرأ مسلما في موطن ينتقص فيه من عرضه وينتهك فيه من حرمته إلا خذله الله تعالى في موطن يحب فيه نصرته, ما من أحد مسلما ينصر مسلما في موطن ينتقص فيه من عرضه وينتهك 
فيه من حرمته إلا نصره الله في موطن يحب فيه نصرته

“Bukanlah seorang muslim yang membiarkan seorang muslim yang lain di tempatnya dalam keadaan direndah-rendahkan maruah dan dinodai kehormatan mereka, kecuali Allah taala akan membiarkan mereka juga di tempat yang mereka suka untuk mendapatkan pertolongan.. Dan tidaklah seorang muslim yang menolong seorang muslim yang lain di tempatnya dalam keadaan direndah-rendahkan maruahnya dan dinodai kehormatan mereka melainkan Allah akan menolong juga mereka ditempat yang mereka suka untuk mendapatkan pertolongan”. (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)


FATWA PARA ULAMA TENTANG KEWAJIPAN BERJIHAD DAN MENOLONG SAUDARA SEISLAM KHUSUSNYA DI PALESTIN

Dalam kitab "Majmu’ah Rasail al-Banna" مجموعة رسائل للإمام حسن البنا dalam “Risalah Jihad” [3]  (1948M) sengaja ditulisnya tajuk tersebut pada tahun itu sempena peristiwa khusus yang sedang berlaku di Palestin. Beliau ada menyatakan :

“Islam mewajibkan jihad keatas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas setiap bahu muslim. Amanah menyampaikan risalah agama adalah risalah pemberi petunjuk kepada manusia menuju kearah pintu gerbang keadilan dan kebenaran”.

Beliau ada manukilkan beberapa pendapat dikalangan para fuqaha’ terdahulu dan terkemudian tentang kewajipan menolong umat Islam yang ditindas, antaranya :

1. Dalam kitab “Majma’ al-Anhar fi Syarh Multaqal Abhar” disisi pandangan mazhab Hanafi :

“Apabila musuh menguasai salah satu daripada negeri umat Islam maka jihad menjadi fardhu ain keatas seluruh umat Islam. Maka dibolehkan seorang isteri keluar berjihad tanpa meminta izin si suami manakala seorang hamba juga dibolehkan keluar berjihad tanpa izin majikannya bahkan si anak juga boleh keluar berjihad tanpa izin daripada kedua ibu bapanya”.

Dalam kitab “al-Bahru” juga ada menyebutkan :

“Sekiranya seorang wanita yang ditahan (menjadi tawanan perang) dikawasan Timur maka wajib keatas mereka-mereka yang berada di Barat sekalipun untuk membebaskannya”.

2. Imam Ahmad bin al-Sowi al-Misri menulis dalam kitabnya tentang kefardhuan jihad iaitu“Balaghatul Salik li Aqrabul Masalik” disisi pendapat mazhab Maliki :

“Berjihad pada jalan Allah taala untukmeninggikan agama-Nya adalah fardhu kifayah iaitu apabila telah melakukannya sebahagian daripada umat Islam maka telah gugurlah kefardhuan keatas mereka yang lain. Akan tetapi ianya akan menjadi fardhu ‘ain ke atas semua umat Islam sebagaimana kefardhuan solat dan zakat". 

"Maka wajib keatas mana-mana ketua negara umat Islam menolong dan menyerang musuh yang telah mendatangi negara umat Islam bahkan setiap umat Islam yang berdekatan dengan negara tersebut wajib menolong mereka sekiranya rakyat negara tersebut lemah dan tidak berdaya. Para wanita dan hamba wajib bersama keluar menolong walaupun tidak mendapt keizinan daripada suami dan majikannya”.

3. Imam al-Nawawi dalam kitab “al-Manahij” yang dikarang disisi pandangan mazhab Syafie :

“Adalah jihad pada zaman Rasulullah s.a.w. merupakan fardhu kifayah, dan ada pendapat yang mengatakan fardhu ‘ain. Dan jihad selepas zaman Rasulullah s.a.w. terhadap orang kafir ada dua keadaan :

i) Fardhu kifayah jika dalam negeri kuffar. Maka apabila sebahagian daripada orang Islam telah menunaikannya maka gugurlah kefardhuan daripada mereka yang lain.

ii) Jika mereka masuk kedalam negeri kita (negeri umat Islam) maka wajib untuk rakyat negara tersebut untuk mempertahankannya daripada diceroboh sedaya yang ada. Maka sekiranya mampu maka wajib mempersiapkan diri untuk berperang walaupun melibatkan orang-orang miskin, remaja, orang yang berhutang, hamba tanpa izin (tuannya/majikannya)”.

4. Ibnu Qudamah dalam kitabnya “al-Mughni” ada menulis tentang hukum berjihad disisi pendapat mazhab Hanbali :

“Jihad merupakan fardhu kifayah, jika telah menunaikannya sebahagian daripada orang Islam maka gugurlah kefardhuan tersebut kepada yang lain. Berjihad mempunyai tiga keadaan :

i) Apabila telah bertemunya dua kelompok tentera dan berhadapan dua saf tentera(antara muslimin dan kuffar) maka haram keatas sesiapa yang berada disitu untuk mengundurkan diri bahkan wajib menolong berjihad pada keadaan tersebut.

ii) Apabila telah masuk golongan kuffar kedalam negeri mat Islam maka wajib kepada seluruh umat Islam dalam negara tersbut untuk memerangi mereka dan mengalahkan musuh
.
iii) Apabila ketua (pemimpin negara) keluar bersama satu puak (tentera) maka wajib juga ikut serta keluar berjihad bersama mereka.

“Abu Abdullah (Imam Ahmad bin Hanbal) berkata : Tidak aku ketahui akan sesuatu amal selepas daripada kefardhuan-kefardhuan yang lebih utama daripada berjihad bahkan peperangan di laut itu lebih utama berbanding di daratan”.

5. Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf r.h (Mufti Mesir yang lepas) telah mengeluarkan fatwa yang bertarikh 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 1 Januari 1956 melalui Lajnah Fatwa Al-Azhar, Mesir menyatakan :

“Palestin merupakan negara Islam manakala Israel telah melakukan pencerobohan keatasnya. Seluruh dunia Islam diwajibkan untuk menghidup dan menggerakkan semangat jihad dikalangan masyarakat Islam untuk membebaskan Palestin dan menegakkan hukum Allah serta menolong rakyatnya. Haram bagi sesiapa dikalangan umat Islam yang menolong Israel atau memuliakan mereka bahkan haram dalam apa jua sekalipun untuk membantu mereka mendapatkan walupun satu depa tanah Palestin. Mengiktiraf pembentukan negara haram Israel merupakan satu pengkhianatan kepada Allah dan Rasul serta seluruh umat Islam yang telah dipertanggugjawabkan untuk menjaganya. 

Oleh itu, wajib terhadap semua umat Islam walaupun berbeza pertuturan bahasa, warna kulit, bangsa, negara dan lain-lain untuk mengembalikan Palestin kepada rakyatnya yang sebenar. Serta wajid menolong untuk membekalkan senjata kepada para mujahidin yang berjuang dan pelbagai kelengkapan untuk menolong mereka berjihad pada jalan Allah”.

6. Syeikhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud dalam kitab “al-Fatawa”[4] iaitu himpunan daripada fatwa-fatwa yang telah dikeluarkannya ada menyebutkan :

“Menyebarkan kalimah Tauhid (Islam) merupakan kewajipan umum kepada seluruh umat Islam begitulah juga untukmempertahankan negara umat Islam. Maka mengusir dan menghalau musuh daripada tanah umat Islam merupakan kewajipan. Mengusir Israel daripada Masjidil Aqsa dan daripada apa sahaja belenggu dan penjajahan dalam bumi umat Islam merupakan satu kewajipan. Ianya adalah satu perkara yang suci dan mulia bahkan wajib fardhu ‘ain keatas semua umat Islam”.

“Peperangan antara arab dengan Israel merupakan jihad dan dalam masa yang sama adalah mempertahankan hak dan maruah umat Islam yang telah ditindas dan diceroboh. Sesapa yang mati maka dinilai sebagai syahid disisi Allah. Rakyat Palestin ada yang terpaksa keluarmeninggalkan bumi sendiri kerana teruknya mehnah dan tribulasi yang menimpa mereka dalam pelbagai aspek. Maka wajib kepada semua negara-negara Islam yang ada untuk membantu mengembalikan hak mereka. Sekiranya ada mana-mana negara umat Islam yang tidak mengambil bahagian maka ia merupakan satu jenayah terhadap Allah dan Rasul-Nya”.

7. Syeikh Yusuff al-Qardhawi dalam fatwanya[5] yang berkaitan dengan Palestin ada menyatakan :

“Aku ingin menegaskan bahawasanya bumi Palestin merupakan bumi umat Islam. Ianya bukan sahaja milik rakyat Palestin semata-mata tetapi milik umat Islam seluruhnya daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Sekiranya satu generasi telah mengabai dan menyalah-gunakannya maka haram untuk  seluruh umat Islam berputus asa daripada melepaskannya kepada musuh.
Sekiranya rakyat Palestin tidak mampu untuk mempertahankan hak mereka maka wajib kepada seluruh umat Islam yang lain untuk menolong mempertahankan hak tanah kelahiran mereka. Wajib menolong untuk melawan musuh dan mempertahankan Masjidil Aqsa". 

"Sekiranya kita tidak mampu untuk turun berperang dan berjuang bersama mereka maka musuhilah mereka dengan pelbagai cara untuk menolong umat Islam dengan cara penerangan dan penyampaian maklumat secara menyeluruh. Maka mana mungkin rakyat Palestin sendiri yang sanggup untuk menggadaikan hak mereka (dengan menjual tanahair mereka sendiri)”. 
  
Firman Allah :

وما لنا ألا نقاتل في سبيل الله وقد أخرجنا من ديارنا وأبنائنا

“Mengapa kami tidak akan berperang pada jalan Allah sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami dan dipisahkan dari anak-anak kami? (Surah al-Baqarah : 246)

Boleh rujuk lagi di artikel MANHAL lepas : Kewajipan Umat Islam Terhadap Baitul Maqdis

Begitulah beberapa pendapat para ulama tentang kefardhuan dan tanggungjawab sesama muslim untuk membantu saudara merka yang ditindas dan diceroboh hak mereka.

Wassalam...


"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"


Disediakan oleh :
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan PMRAM 2012

Monday, September 10, 2012

Master oh Master..

Assalamualaikum...

Subhanallah, alhamdulillah allahuakbar. Segala puji bagi Allah selawat dan salam buat Rasul junjungan Nabi Muhammad saw.

Sekian lama rasanya tidak aku menulis sesuatu berkaitan dengan diri sendiri untuk blog sendiri. Menulis perhal diri sendiri seperti menulis peristiwa ke dalam diari peribadi. Melihat kembali sejarah yang telah dilakukan dan membuat peniliaian terhadap diri ini.

Adakah aku telah menjadi lebih baik dari sebelum ini?????

Akhir-akhir ini banyak perkara yang tidak ada kepastian untuk aku berpegang. Cuma yang ada tindakan diatas sebuah kebarangkalian yang mempunyai kebarangkalian kepastuian yang tinggi bagi aku untuk terus ' survival ' bagi memenuhi tuntutan duniawi.

Alhamdulillah, rezekiku kali ini menjadi seoarang pembantu penyelidik atau umumnya dipanggil 'RA' dan insyallah mungkin akan diteruskan ke peringkat master. Walaupun aku tidak mempunyai keyakinan yang tinggi dapat melanjutkan pengajian ke peringkat master atas faktor 'pointer'. Namun jika itu kehendak-Nya pasti akan terjadi,

Apa yang aku perlu buat?? adalah usaha dan tawakal.

Beberapa orang senior telah menasihati .. nak buat master ini kena ada minat, minat, minat dan minat.

Kenapa minat????? menjadi karateria utama??


ehm..~!@#$%^&* otak mula berfikir. Aku menemui beberapa jawapan setelah hampir 2 bulan menjalani kehidupan sebagai seorang penyelidik.

  1. Minat akan mematikan sifat bosan dan dengan membaca ratusan journal.
  2. Minat menjadikan kita suka apa yang kita lakukan dengan itu akan kuranglah tekanan kerja.
  3. Masalah utama sebagai 'master student ' adalah semangat belajar!!!!!. Minatlah yang memainkan peranan supaya semangat belajar terus kuat dan bertahan lama.
Halangan-halangan yang lain adalah ;-
  1. Duit tak cukup.
  2. Persekitaran pasif.
  3. kekurangan kelengkapan-kelengkapan alat bantu penyelidikan cth Lab eqipment, Laptop, printer, sumber maklumat dan masalah hubungan dengan pihak atasan

Antara yang penting sebagi penyelidik adalah mempunyai kekuatan mental yang sangat kuat dan tidak mudah putus asa. Namun sebagi manusia ' down ' itu pasti akan datang dan tidak boleh dielakkan dan diharap itu tidak akan kekal lama.

Harapan aku, agar akar minat itu semakin kuat mencengkam dijiwa dan bakat penyelidik terus subur membesar. Insyallah aku akan memahami dan mencintai ilmu MicroElectroMechanical System ini..



Wednesday, September 5, 2012

HUDUD : DAP menenatang dan UMNO menolaknya

Pendahuluan: Sumber memahami ajaran Islam

Sesiapa sahaja yang ingin mengetahui Islam secara ikhlas, maka wajiblah mereka membaca dan mengkaji daripada sumber asasi Islam iaitu kitab suci Al Quran dan cara pelaksanaanya melalui hadith-hadith yang soheh. Begitu juga penjelasan daripada para ulama muktabar, sama ada menerusi kitab-kitab tafsir, hadith dan ilmu feqah serta sejarah pelaksanaan oleh kerajaan-kerajaan Islam yang adil, bukannya kerajaan Islam yang zalim.


Tentulah akan berlaku kesilapan dan boleh menyesatkan jika sekadar membaca dari sumber yang tidak benar dan mengelirukan seperti penulisan para orientalis yang tidak beriman atau media yang tidak juga beriman dan budiman. Apatah lagi cuba mendalami Islam menerusi media yang mencampur adukkan hak dan batil, mencampur adukkan terjemahan Al Quran, tulisan-tulisan serta gambar lucah dan keputusan judi nombor ekor untuk mendapat keuntungan wang tanpa mengira halal dan haram. Begitu juga dari kalangan para ulama contoh daripada ahli kitab yang disumpah menjadi kera, binatang yang bergayut di pokok yang banyak buah yang boleh dimakan.Kalau diberi bunga yang cantik dan harum nescaya diciumnya.Kemudian dikoyak rabak merosakkannya.Begitulah ajaran Islam yang murni juga dikoyak rabaknya, kerana kedudukan dan periuk nasi kononnya.

Keseluruhan surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah) dan ayat – ayatnya yang menyatakan hukum jenayah Islam diantaranya hukum Hudud.Ketika Islam memerintah negara masyarakat majmuk berbagai bangsa, penganut berbagai agama dan aqidah menjadi rakyat.Berlakunya perbezaan agama dan aqidah dan mecetuskan perbahasan dengan kalangan bukan Islam secara terbuka.

Allah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 120:

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.

Banyak lagi ayat-ayat yang tegas daripada surah yang lain yang bersifat Madaniyyah, diantaranya jawapan kepada soalan dan tuduhan kaum bukan Islam yang hidup bersama masyarakat Islam, daripada kalangan Yahudi, Nasrani dan kabilah musyrikin yang belum Islam serta kumpulan munafik yang berpura-pura Islam. Mereka adalah kalangan yang tidak ada kuasa pemerintahan dan bebas bercakap tanpa larangan.Ada pun ayat-ayat peperangan adalah bagi menghadapi musuh yang datang menyerang atau membuat persediaan untuk berperang.

Dalam konsep hubungan berbagai kaum, Islam mendahulukan perdamaian dan mengharamkan paksaan dalam berdakwah.Ini kerana paksaan tidak memberi makna Islam yang sebenar, tetapi hanya melahirkan golongan munafik. Allah berfirman dalam Al Quran (al-Hujurat: 14) mendedahkan sikap sebenar kaum badawi:

Maksudnya: Orang-orang A'rab(badawi) berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: “Kami telah Islam”. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Tiada paksaan menerima hudud untuk bukan Islam


Apabila kaum Yahudi yang berpegang kepada kitab suci Taurah, walaupun di dalamnya ada hukum hudud yang sama dalam Al Quran, namun Allah memerintah Rasulullah S.A.W. tidak memaksanya. Firman Allah (al-maidah: 42):

Maksudnya: Dan jika mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka (biarkan); dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Ayat ini antaranya menjadi dalil kepada pada pendapat yang menyatakan bahawa tiada paksaan hukuman hudud terhadap orang bukan Islam sebagaimana pendapat dari mazhab Maliki yang diamalkan dalam masyarakat majmuk di utara Afrika dan Andalusia dan mazhab Hanafi yang berkembang dalam masyarakat majmuk di Iraq, India dan China. Berbeza dengan Mazhab Syafei yang tersebar ditanah Hijaz dan semenanjung arab yang terdiri daripada penganut Islam, ahli kitab dan Majusi.

Saya memuji betapa bijaksana para pendakwah kalangan ulama yang membawa Islam di alam Nusantara termasuk Tanah Melayu. Kerajaan Islam Melaka berabad lalu menyediakan dua undang-undang jenayah sama ada undang jenayah Islam termasuk undang-undang Hudud atau undang-undang adat bagi kaum bukan Islam Hindu dan Budha. Di Kedah masih ada rumah ibadat Hindu Melayu di Merbok yang tidak dimusnahkan oleh kerajaannya.Di Terengganu tempat penemuan batu bersurat yang mencatatkan undang-undang Hudud, masih digunakan rumah ibadat agama Budha dikampung Jeram Terengganu.

Al Quran mewajibkan pelaksanaan yang adil dalam perkara kemanusiaan yang sama dalam konsep Negara berkebajikan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa yang adil dalam menangani hak beragama, berbudaya, bekerja, menangani kemiskinan dan sebagainya.

PAS dan dasarnya

PAS menyatakan dasarnya secara terbuka dan DAP juga menyatakan perjuangannya secara terbuka dan berdailog secara terbuka. Maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa melarang dan memaksa dalam perkara yang berbeza.Ada perkara boleh bertolak ansur dan ada perkara yang tidak boleh berganjak. Sabda Rasulullah S.A.W. : “Orang Islam itu wajib bertanggungjawab diatas syarat yang ditetapkan, melainkan syarat yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal”.

Sepertimana juga DAP tidak boleh memaksa ahli PAS meminum arak dan memakan daging khinzir, maka PAS juga tidak boleh melarang ahli DAP dari minum arak dan makan daging khinzir. Perlembagaan PAS mewajibkan memecat sesiapa kalangan ahli PAS yang meminum arak dan memakan daging khinzir. Perlembagaan Umno tidak boleh memecat ahli UMNO yang minum arak bersama MCA , MIC dan Gerakan.
Begitulah nyatanya PAS tidak boleh menghalang DAP menentang Hudud dan DAP tidak berkuasa menghalang PAS menyatakan haknya. Pandangan pimpinan tertentu DAP pula tentulah tidak sama dengan pandangan pimpinan UMNO yang berkuasa selama puluhan tahun di Malaysia ini.Berbeza dengan UMNO yang sudah berkuasa bersama parti-parti rakannya sejak kemerdekaan negara mencecah lebih setengah abad.PAS adalah kalangan Melayu yang tidak lupa dan tidak mudah lupa seperti Melayu UMNO yang mudah lupa.

Sejak awal kemerdekaan PAS memperjuangkan Syariat Allah wajib ditegakkan, termasuklah hukum Hudud.Sejak awal kemerdekaan juga para pemimpin Umno menentang hukum Islam seperti hukum Hudud.Hanya berhukum sekadar yang diizinkan oleh kerajaan penjajah Inggeris. Maka pada masa itu hukum hudud menjadi sasaran dihina, bahkan menganggap politik tidak ada hubungan dengan agama. PAS tetap beranggapan sikap UMNO itu kerana kejahilan dan terus bersabar mengemukakan hujah dan melarang ahli-ahlinya yang melampau dalam menghukum. Hinggalah yang melampau itu melompat ke dalam UMNO.Berkat kesabaran itu maka tidak ada lagi kenyataan menentang secara terbuka di waktu ini.Kenyataannya bertukar kepada menentang secara bersilat gayung seperti kenyataan “Hudud PAS” atau “belum tiba masanya” walau pun berlalu masa setengah abad.

PAS mengemukan undang-undang jenayah Syariat termasuk hukum Hudud diperingkat negeri Kelantan dan Terenganu melalui proses demokrasi. Undang-undang tersebut digubal oleh jawatankuasa khas bersama daripada PAS dan kerajaan negeri melibatkan beberapa ahli Majlis Syura Ulama dan pakar undang–undang seperti Tun Saleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara, al-Marhum Prof Dr Ahmad Ibrahim (tokoh akademik dan ahli PAS Singapura) Almarhum Prof Dr Saedun Awang (tokoh akademik dan Mantan Mufti Brunei Darussalam). Apa yang berlaku ialah, pihak UIA dibawah kerajaan UMNO lah yang mengarahkan kedua tokoh akademik meletakkan jawatan sebagai panel ini, namun urusannya dapat diselesaikan.

Rang undang-undangnya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum.Dengan jasa baik YBM Tengku Razaliegh Hamzah, maka dijemput semua parti-parti politik termasuk komponen BN yang dipimpin UMNO dan NGO berbagai agama.Keseluruhannya hadir kecuali BN. Semua pandangan dan kritikan didengar dan dijawab.Selepasnya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kedua-dua negeri yang PAS mendapat sokongan majoriti.Akhirnya diperkenankan oleh DYMM Sultan dikedua-kedua negeri. Ada pun pelaksanaannya bergantung mengikut proses perlembagaan dibawah kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno. Kalau UMNO boleh meminda perlembagaan mengambil kesempatan kesilapan seorang sultan dengan mengambil kuasa bagi kepentingannya, mengapa tidak boleh menyelesaikan perlembagaan bagi melaksanakan undang Islam?

Hudud ditolak oleh UMNO

Kemudian daripada itu, kerajaan Kelantan mendapat surat amaran daripada Kerajaan Pusat pimpinan UMNO. Kerajaan Terengganu dan Kelantan didakwa dimahkamah oleh pemimpin UMNO kerana undang-undang tersebut. Berikutnya berlaku kempen menakutkan pelabur dan rompakan royalti Petroleum daripada Terengganu melalui usul perwakilan Umno Terengganu dalam Perhimpunan UMNO tahun 2000 dan dinafikan hak Kelantan.Tetapi tidak dilakukan kepada Sabah dibawah PBS dan Singapura ketika dalam Malaysia. Di mana salahnya PAS?


Inilah dia dua sikap yang berbeza. DAP ditonjolkan sebagai parti yang menentang hudud oleh media arus perdana kawalan Kerajaan BN, dalam masa yang sama hakikatnya ialah UMNO yang berkuasa memimpin kerajaan pusat itu pula juga menolak Hudud dengan rentetan seperti yang saya tulis di atas. DAP menolak hudud dengan menampilkan hujah mereka, manakala MCA pula menolak hudud dengan tempikan tuduhan UMNO hilang akal.


Hakikatnya ialah tema “Hudud” ini telah dan kembali lagi menjadi kitaran isu musim pilihanraya oleh UMNO untuk melaga-lagakan rakyat, tanpa rasa bertanggungjawab terhadap panduan agama Islam yang murni. Sedangkan merekalah yang sebenarnya sekian lama menolak hukum hudud ini !
Sekian untuk pusingan pertama, sila tunggu pusingan berikut kalau ada silat gayungnya.


PRESIDEN PAS

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Sunday, July 1, 2012

Sejarah PAS Johor menjelang PRU 13


Mutakhir ini, perkembangan politik di negeri Johor telah menjadi bualan di kalangan para pemerhati politik sama ada yang daripada pihak pemerintahan mahu pun kumpulan pembangkang.

Kemampuan gabungan parti politik pembangkang memenangi satu kerusi Parlimen (Bakri) dan enam kerusi DUN (Sungai Abong, Maharani, Mengkibol, Skudai, Senai dan Bentayan) telah membuka mata banyak pihak terhadap status kekebalan UMNO/BN di Johor yang mitosnya disebut sebagai “Kubu Kuat Umno di dunia” semakin diragui.


Lebih-lebih lagi, kemenangan PAS untuk menawan dua kerusi DUN iaitu di Dun Maharani dan Sungai Balang telah meletakkan satu harapan baru kepada perkembangan politik Johor yang sebelum ini tidak pernah yakin bahawa PAS akan dapat bertapak di Johor.

Malah, kemenangan PAS di Dun Senggarang dilabelkan sebagai kemenangan ‘betina’ kerana calon PAS iaitu Dr Mohd Ramli bin Kari menang di atas faktor kesilapan teknikal BN.


PAS tampil dengan gagah dan berwibawa di pentas Dun Johor apabila YB Dr Mohamad bin Taslim dan YB Dr Sheikh Ibrahim bin Sheikh Salleh berjaya memainkan peranan mereka di dalam dewan persidangan serta disayangi oleh rakyat setempat kerana mereka benar-benar dapat menterjemahkan peranan sebenar sebagai seorang wakil kepada rakyat.


Justeru apabila PAS dan Pakatan Rakyat berkira-kira untuk menawan Nusa jaya di dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang ini, pemimpin UMNO/BN di Johor menggelupur tidak tentu fasal dan membuat respon yang luar daripada kebiasaan.


Jika dulu, pembangkang tidak berpeluang untuk hadir di bibir-bibir pemimpin BN walaupun kali ini berduyun-duyun pimpinan BN khususnya daripada Umno berlumba-lumba untuk memberikan pandangan dan kenyataan tentang masa depan PR di Johor yang sebahagian besar daripada mereka memperlekeh cita-cita dan harapan murni ini.


Sebagai contohnya, apabila YB Salahudin Ayub muncul di dalam media cetak dan internet dengan gambaran bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor maka ketidaktenteraman jiwa para pemimpin BN Johor jelas kelihatan.


Ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kekuatan PAS belum mampu menandingi BN dan meminta agar PAS jangan memasang angan-angan dan hanya bermimpi di siang hari untuk mengambil alih Kerajaan Negeri  Johor.


Beliau masih yakin bahawa Johor adalah kubu kuat BN.


Walau apa pun yang diperkatakan tentang kemampuan PAS untuk tampil sebagai kerajaan menanti bersama PR ia akan ditentukan nanti oleh kuasa rakyat.


Namun, perlu juga kita melihat dengan lebih mendalam sejauh mana kemampuan PAS untuk memenangi hati pengundi lebih-lebih lagi PAS telah pun mengisytiharkan bahawa PAS bersedia untuk menggantikan UMNO.


Perkembangan PAS di Johor



Perjalanan politik PAS di Johor bukanlah satu perjalanan pemusafiran yang mudah kerana ia telah dilalui dengan penuh ujian dan cabaran yang luar biasa.


Membentuk satu kekuatan yang jitu telah mengambil masa yang lama dan jauh sehingga ia tersergam pada hari ini. Tidak ramai yang mengetahui dan mengambil tahu tentang perkembangan PAS di Johor jika ingin dibandingkan dengan perkembangan PAS di negeri lain kerana Johor terlalu kebal dengan pengaruh Umno di semua peringkat.


Penyertaan PAS di dalam politik Johor sebenarnya telah bermula awal iaitu tiga tahun selepas PAS ditubuhkan pada tahun 1951. Dalam satu laporan yang disiarkan oleh Utusan Melayu yang dikeluarkan pada 20 Mac 1954, PAS telah menubuhkan cawangannya yang pertama di Johor iaitu di Johor Bahru pada 19 Mac 1954 dan Haji Ariffin Alias dipilih menjadi Yang Dipertua, Sdr Othman Abdullah dilantik menjadi Setiausaha manakala Penyimpan Wang diamanahkan kepada Sdr Yusuf Abdul Rahim.


Seramai lapan orang Ahli Jawatankuasa telah dilantik bagi menerajui PAS cawangan. Bermakna, PAS bukanlah parti baru di Johor, barangkali disebabkan kekuatan UMNO yang terlalu besar menyebabkan PAS di lihat sebagai parti ‘nyamuk’ yang tidak mungkin akan memberikan ancaman kepada UMNO.


Keterbukaan media cetak pada ketika itu dengan memberikan laporan penubuhan PAS telah membawa kepada penyebaran berita yang baik kepada PAS apabila satu rombongan masyarakat Bugis dari Benut telah bertemu dengan pimpinan PAS Cawangan Johor Bahru dan pada 6 Mei 1954 cawangan kedua PAS Johor telah ditubuhkan di Benut.


Haji Abdul Razak telah dipilih menjadi Yang Dipertua manakala Saudara Muhamad Tahir dilantik menjadi Setiausaha dan jawatan Bendahari dipegang oleh Haji Yusuf Abdul Rahim. Seramai enam orang Ahli Jawatankuasa cawangan turut terpilih.


Walaupun usia PAS cawangan Benut ini masih baru namun PAS Benut telah tampil dengan berani dan berjaya mengumpulkan ahli yang ramai sehingga dilaporkan keahlian PAS di Benut mencecah seramai 750 orang pada ketika itu.


Di atas kesedaran untuk memartabatkan Islam di Johor, PAS Benut melalui mesyuarat Agong telah meluluskan usul untuk meminta PAS Pusat mengadakan pendidikan politik Islam kepada ahli-ahli di semua cawangan PAS dalam negara ini serta mendesak PAS Pusat agar menerbitkan majalah `Al-Islam’.


Sebelum Pilihan raya Umum tahun 1959, pengaruh PAS semakin berkembang dengan penubuhan banyak cawangan di Pontian dan Batu Pahat. Pada 24 Mei 1959 cawangan PAS telah ditubuhkan di Sungai Tempayan, Pontian.


Pada 3 Ogos 1959, cawangan PAS ditubuhkan di Pulai Sebatang dan pada 4 Ogos, cawangan Parit Karimon ditubuhkan. Pada penghujung bulan Julai 1959, sebuah cawangan PAS di Kampung Parit Jatuh, Batu Pahat diwujudkan.


Dalam majlis penubuhannya, ketua penerangan PAS Johor ketika itu, Haji Muhamad Taib Haji Ahmad telah memaklumkan bahawa PAS Johor akan menubuhkan 10 cawangan lagi di seluruh negeri. Pada 14 Ogos 1959, sebanyak 15 cawangan PAS telah diwujudkan di Batu Pahat.


Pertumbuhan PAS dengan pesat di kawasan Pontian dan Batu Pahat sememangnya dapat dilihat sehingga ke hari ini hasil daripada usaha gigih pejuang terdahulu. Usaha PAS untuk menubuhkan cawangan terus berkembangan di Muar, Segamat, Mersing, Ari Hitam dan Kluang.


Pengaruh PAS di Kota Tinggi mula terserlah pada awal tahun 1964 atau lebih awal dari tahun tersebut, PAS turut meletakkan calonnya di kawasan Johor Lama. Daripada maklumat yang tersebut, bolehlah dibuat rumusan bahawa PAS mula berkembang dan bertapak di Johor secara keseluruhannya menjelang pertengahan tahun 1964.


Dalam suasana PAS Johor berkembang pesat, PAS Johor dikejutkan dengan tindakan dua pimpinan tertinggi mengisytiharkan diri keluar daripada PAS pada tahun 1969 iaitu  Pesuruhjaya PAS Negeri, Puan Khadijah Sidek dan bekas Pegawai Penerangan PAS Negeri, Kiai Saifullah bin Zamzam.


Ia sedikit sebanyak mendatangkan kesan kepada ahli dan para penyokong kerana Khadijah Sidek adalah merupakan seorang yang gigih dan kuat bekerja. Khadijah yang berasal daripada Indonesia menyertai PAS pada tahun 1958 setelah dipecat dari UMNO pada tahun 1956.


Beliau pernah menjadi ahli Parlimen Dungun pada tahun 1959 dan  menjadikan wakil rakyat PAS yang pertama dari kalangan wanita. Dalam pilihan raya umum 1964, beliau bertanding di kawasan parlimen Johor Bahru menentang Tun Dr Ismail Datuk Abdul Rahman namun berjaya ditewaskan.


Tahun 1974, PAS telah bertindak menyertai komponen Barisan Nasional. Ada di kalangan ahli PAS di Johor mengambil memprotes penyertaan PAS ke dalam BN dengan mengisytiharkan diri sebagai calon bebas walaupun akhirnya tewas di tangan calon perikatan.


Peristiwa pahit, PAS ditendang daripada menjadi komponen Barisan Nasional telah memberikan banyak iktibar. Ini diikuti dengan kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya Mac 1978 apabila PAS gagal mengekalkan kuasanya di Kelantan, walaupun sudah menguasai Kelantan hampir 18 tahun lamanya.


Tragedi yang menimpa PAS itu telah memberi kesan kepada perkembangan PAS di seluruh negara termasuk di Johor. Dalam pilihanraya ini, PAS hanya berjaya mempertahankan lima kerusi daripada 14 kerusi yang dimenangi sebelum ini dalam tahun 1974 di samping mempertahankan 9 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding 50 kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya sebelumnya.


Bagi PAS Johor, kekalahan sudah menjadi asam garam dalam perjuangannya. Ia sudah menduga kekalahan teruk itu. Walaupun PAS sudah lama bertapak di Johor, namun selera pengundi masih belum membenarkan PAS bertapak di hati mereka.


Sebaliknya hasil dari penyingkiran PAS itu, berbagai insiden politik berlaku secara negatif di Johor. Seramai 300 orang ahli PAS telah menyertai UMNO pada bulan Julai 1978 iaitu menjelang pilihanraya umum. Turut dilaporkan juga seramai 60 orang guru-guru agama yang simpati dengan PAS berpaling tadah menyertai UMNO.


Di Johor, bekas aktivis-aktivis ABIM telah berpeluang mengambil alih teraju pimpinan PAS Johor dalam tahun 1982 setelah berlakunya perubahan PAS kepada kepimpinan ulama’ seperti mana yang berlaku di peringkat nasional.


Peralihan ini bukan dibuat secara revolusi tetapi sebaliknya melalui amalan biasa PAS iaitu dengan cara pemilihan. Haji Hasan Hussein telah dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS yang baru bagi menggantikan Haji Yusof Hakim yang sudah uzur.


Beliau adalah salah seorang pengasas ABIM Johor. Di samping beliau beberapa orang aktivis ABIM turut dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Negeri seperti Tuan Haji Ismail bin Ibrahim, Ustaz Omar bin Jani.


PAS dipimpin oleh Ustaz Omar bin Jani, Dr Sanusi Daeng Mariok dan kini datuk Dr Haji Mahfodz bin Mohamed (gambar) selaku Pesuruhjaya Negeri.


Dr Sanusi Daeng Mariok dilantik sebagai Pesuruh Jaya PAS negeri Johor pada tahun 1996 setelah Ustaz Omar bin Jani telah meninggal dunia. Ketika itu, Dr Sanusi yang lebih mesra dipanggil Pak Daeng sedang menjawat jawatan sebagai Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen di Rantau Panjang.


Pak Daeng telah mengambil pelbagai pendekatan politik yang bersesuaian dengan lebih menekankan konsep menerang bukan menyerang lebih-lebih lagi apabila Almarhum Datuk Fadhil Noor telah mengangkat kertas kerja Pak Daeng yang pada satu ketika dahulu ditolak oleh jawatankuasa PAS Pusat di atas konsep yang telah disebutkan tadi.


Dr Mahfodz mula memimpin PAS Johor pada tahun 2005 setelah Dr Sanusi mengambil keputusan untuk mengundurkan diri setelah memimpin Johor selama hampir 10 tahun.


Sebelum dilantik menjadi Pesuruh jaya PAS Johor, Dr Mahfudz terlebih dahulu diberikan kepercayaan oleh Dr Sanusi sebagai Timbalan Pesuruh Jaya Negeri bermula tahun 2001 sehingga tahun 2005. Dr Mahfodz telah menjual rumahnya di Damansara dan membina sebuah Maahad Tahfiz di Kundang Ulu sebagai tanda keseriusannya untuk kembali ke Johor sebagai seorang Pesuruh Jaya.


Catatan ringkas berkaitan dengan sejarah perkembangan PAS di Johor ini adalah sebagai maklumat asas kepada pembaca supaya dapat melihat betapa peritnya PAS untuk diperkembangkan di Johor.


Pencapaian PAS di dalam Pilihan raya


Cita-cita PAS untuk tampil buat pertama kalinya di dalam medan Pilihan Raya pada tahun 1955 tidak kesampaian disebabkan masalah kewangan kerana kos untuk menghadapi pilihan raya yang tinggi. Namun ia tidak merencatkan para pejuang PAS di Johor kerana mereka sedar bahawa Pilihan raya bukanlah matlamat utama PAS ditubuhkan. PAS terus melipatgandakan usaha dan gerakerja dengan menubuhkan lebih banyak lagi cawangan dan gerakerja.


Dengan usaha yang telah dilakukan maka PAS telah tampil buat pertama kalinya dalam Pilihan raya Umum Persekutuan 1959 dan PAS Johor telah meletakkan seramai tiga orang calonnya bertanding di peringkat parlimen Pontian Utara, Muar Selatan dan Segamat Utara.


Seramai sembilan lagi calonnya diletakkan di peringkat Dewan Undangan Negeri Pontian Dalam, Benut, Rengit, Air Hitam, Tanjung Semberong, Parit Jawa, Parit Bakar, Serom dan Jorak. Dalam pilihanraya ini PAS bukan sahaja gagal mendapatkan sebarang kerusi di Johor malah undi yang diterima adalah pada paras yang sangat rendah.


Pada keseluruhannya, undi yang diperoleh oleh PAS bagi tiga kawasan parlimen yang ditandingi ialah 4992 daripada jumlah keseluruhan iaitu 216 027 undi. Bagi sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi, PAS berjaya memungut undi sebanyak 5471 daripada undi ke seluruh yang berjumlah 214 496.

Inilah ukuran sokongan masyarakat terhadap PAS pada masa itu. Peratusan undi yang diterima oleh PAS begitu kecil sekali iaitu di peringkat  Parlimen sebanyak 2.3% manakala di peringkat DUN 2.6%.


Sebab itu saya nyatakan tadi kehadiran PAS tidak dilihat sebagai ancaman kerana rakyat Johor masih belum mampu menerima kehadiran PAS. Bagi rakyat Johor, Umno dan Perikatan adalah pilihan yang paling tepat dan sesuai dengan perkembangan politik di Johor. Namun, ia sedikit pun tidak merencatkan dan mencantas semangat gelora perjuangan-pejuang PAS yang terpencil bilangannya.


Cita-cita untuk menyerlah di dalam politik Johor diteruskan dalam Pilihanraya Umum Persekutuan 1964, PAS Johor telah mengemukakan dua orang calonnya bertanding di peringkat parlimen Pontian Utara dan Johor Timur. Manakala sebelas lagi calonnya bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri.


Ketika itu PAS Johor dianggap sebagai parti nyamuk oleh komponen Perikatan. Saingan hebat perikatan di Johor pada masa itu ialah Barisan Sosialis. Dalam pilihanraya ini juga, parti-parti pembangkang Johor terpaksa bertanding sesama sendiri setelah hasrat untuk bergabung dalam satu pasukan gagal dilakukan.


Pilihan raya 1964 ini juga telah membuka era baru bagi PAS Johor. Ia telah bertanding di tujuh kawasan baru bagi peringkat Dewan Undangan Negeri dan mengosongkan enam kawasan yang pernah ditandingi dalam pilihanraya 1959.


Tujuh kawasan baru yang ditandingi oleh PAS ialah Endau, Gelang Patah, Mersing, Pelentong, Simpang Kiri dan Tampoi. Kawasan lama yang turut ditandingi ialah Air Hitam, Tanjung Semberong, Parit Jawa, Jorak dan Parit Bakar.


Dalam pilihanraya ini juga PAS Johor tidak meletakkan calon-calonnya bertanding di kawasan parlimen Muar Selatan dan Segamat Utara sebaliknya mencuba kawasan baru iaitu Johor Timur dan mengekalkan Pontian Utara yang pernah ditandingi dalam pilihanraya tahun 1959.


PAS tidak bertanding di kawasan parlimen Muar Selatan walaupun pengaruh PAS kuat di sini dalam pilihanraya umum 1959. Di Muar Selatan PAS tidak hilang wang pertaruhan berbanding dengan kawasan Pontian Utara. Undi yang diperoleh oleh PAS kawasan Muar Selatan dalam pilihanraya 1959 ialah 2508 undi dan terselamat wang pertaruhan. Sebaliknya di Pontian Utara, PAS hilang wang pertaruhan dan mendapat jumlah undi yang kecil iaitu 1567 undi.


Keputusan pilihanraya umum 1964 menyaksikan satu lagi keputusan untuk penilaian PAS Johor. Secara keseluruhannya, PAS mendapat 7873 undi bagi sebelas kawasan Dewan Undangan Negeri yang ditandingi dan 7673 undi lagi bagi tiga kawasan parlimen.


Tahun 1983 PAS Johor meletakkan seramai sembilan orang calon di peringkat Dewan Undangan Negeri dan tiga orang di peringkat parlimen. Sokongan terhadap PAS telah meningkat sejak pilihanraya umum 1978 terutama di kawasan Batu Pahat, Segamat, Tenggaroh dan Simpang Renggam.


Inilah perkembangan yang menguatkan lagi PAS Johor. Dengan jumlah undi yang berjaya diraih dalam pilihanraya itu ialah 18 234 undi untuk enam kawasan parlimen yang ditandingi manakala untuk 10 kawasan Dewan Undangan Negeri PAS berjaya meraih undi sebanyak 11 232 undi. Dalam pilihanraya umum 1978 PAS Johor telah mendapat undi sebanyak 25 915 bagi 23 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 32 512 undi bagi 12 kawasan parlimen yang ditandingi.


Walaupun jumlah calon-calon PAS bertanding merosot dalam Pilihanraya Umum 1982 berbanding pilihanraya umun 1978, namun kedua-dua pilihanraya telah menemukan kegagalan yang berulang. Peratusan undi yang diterima oleh PAS dalam pilihanraya umum 1982 tidak jauh berubah dengan peratus undi pilihanraya tahun 1978.


Dalam pilihanraya 1982 peratus undi peringkat parlimen ialah 4.1% dan peringkat Dewan Undangan Negeri ialah 7.9% manakala dalam pilihanraya umum 1978 peratus undi peringkat parlimen ialah 4.1% dan peringkat Dewan Undangan Neger 2.3%.


Pada tahun 1986, sekali lagi pilihanraya umum diadakan. Pada kali ini PAS meletakkan 10 orang calon di peringkat Parlimen dan 20 orang lain di peringkat Dewan Undangan Negeri. Inilah pilihanraya pengukur bagi kumpulan pimpinan baru PAS Johor dalam Era Kepimpinan Ulama.


Keputusan pilihanraya 1986 telah menunjukkan ciri baru sokongan pengundi kepada PAS. Ia berjaya memperoleh undi sebanyak 28 493 undi bagi 10 kawasan parlimen dan 47 184 undi untuk 20 kawasan Dewan Undangan Negeri. Walaupun tewas, tetapi jumlah undi yang diterima merupakan satu kemenangan yang besar bagi kumpulan pimpinan baru PAS Johor yang telah menguasai tampuk pimpinan parti kira-kira lima tahun.


Pilihanraya Umum Oktober 1990, telah menyaksikan suatu penyatuan di kalangan pembangkang apabila PAS bersama Semangat 46 berjaya bergerak di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dan Semangat 46 bersama parti-parti lain berjaya membentuk Gagasan Rakyat.


Inilah pertarungan paling sengit dihadapi oleh Barisan Nasional apabila pembangkang bersatu dalam pilihanraya. Dalam pilihanraya kali ini, PAS Johor telah meletakkan tiga orang calonnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Endau dalam parlimen Mersing, Rengit dalam parlimen Batu Pahat dan Benut dalam parlimen Sungai Benut.


Jumlah calon PAS pada kali ini agak kecil berbanding pilihanraya umum 1959, 1954, 1969, 1978,1982 dan 1986. ini adalah disebabkan persepakatan antara PAS dan Semangat 46 dalam Angkatan di mana kuota kerusi telah pun dipersetujui bersama mengikut kekuatan pengaruh sesebuah parti di sesuatu kawasan.


Ketiga-tiga calon yang terpilih ialah Dr Sheikh Ibrahim Salleh (Dun Endau), Ungku Haji Mohd Noor Ungku Mahmood (Dun Rengit) dan Haji Ambok Masek Haji Abdul Latif (Dun Benut). Dalam pilihanraya ini, PAS berjaya meraih 33% undi di Endau, 29.8% undi di Rengit dan 32.7% undi di Benut.


Dalam pilihanraya umum 1986, PAS telah meletakkan seramai 10 orang calonnya di peringkat parlimen dan 20 orang lagi di peringkat Dewan Undangan Negeri. Pilihanraya Umum 1990 juga telah mengulangi kekalahan PAS Johor.


Tahun 2004, PAS menyertai PRU dengan semangat untuk menang setelah arus reformasi telah berjaya meningkatkan sokongan rakyat kepada PAS dan Barisan Alternatif. Namun, pakatan BA telah semakin mengecil apabila DAP telah mengisytiharkan bahawa mereka keluar daripada BA pada 21 September 2001 dan berlakunya pergabungan dua parti iaitu PKN dan PKR yang membentuk parti baru iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada bulan Ogos 2003.


PAS telah meletakkan calon di 36 Dun namun pencapaian PAS secara keseluruhannya lebih rendah jika dibandingkan dengan pencapaian pada tahun 1999. PAS bertanding di 36 Dun dan menang satu kerusi iaitu kerusi Dun Senggarang di atas kesilapan BN meletakkan individu yang diamanahkan sebagai Penyokong adalah merupakan bukan pengundi di Senggarang. PAS telah memperoleh 98698 undi berbanding dengan jumlah undi 540572 keseluruhan di kesemua 36 Dun yang PAS telah meletakkan calon. Ia mewakili sebanyak 18.3% undi keseluruhannya.


Pilihan Raya Umum kali ke 12 yang diadakan pada tahun 2008 telah mendatangkan satu keputusan luar biasa kepada PAS di Johor setelah berjaya untuk tampil ke dalam medan pilihan raya dalam satu front iaitu Barisan Alternatif dan kerjasama tidak langsung dengan DAP untuk memastikan bahawa BN hanya akan bertembung secara satu lawan satu di setiap kerusi yang dipertandingkan.


PAS telah bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 33 kerusi Dun termasuklah kerusi Dun Tiram yang diwakili oleh calon Kelab Penyokong PAS yang bertanding di atas lambang PKR iaitu Cik Kumutha Raman.


Dalam PRU ke 13, PAS memperoleh kejayaan yang luar biasa apabila telah berjaya menang di kerusi N13 Sungai Abong dan N15 Maharani. Begitu juga dengan jumlah undian sebanyak 175 300 undi di peringkat berbanding dengan jumlah undi keseluruhan sebanyak 554158 undi dengan peratusan undi yang telah diperoleh PAS daripada 33 kerusi Dun yang ditandingi itu adalah sebanyak 31.63% menunjukkan pencapaian PAS semakin memberangsangkan.


PAS masa kini, semakin maju atau mundur?



Setelah membaca mengenai sejarah Pas dan penglibatannya di dalam medan politik, saya ingin mencatatkan pula kedudukan PAS di Johor ketika ini sama ada PAS semakin diterima rakyat atau pun sebaliknya. Ini berdasarkan kepada pemerhatian saya secara umum sebagai anak Johor yang terlibat secara langsung dalam medan politik di Johor.


Selepas kejutan besar berlaku dalam PRU ke 12 pada tahun 2008, PAS Johor terus mengorak langkah untuk menggempur persada politik Johor bersama rakan-rakan dalam PR yang lain dan tekad untuk menawan Nusajaya disepakati bersama. Langkah awal, PR Johor telah melancarkan TAWAN di Kluang pada tahun 2009 sebagai satu signal terhadap keseriusan tersebut.


Beberapa tindakan awal disusun oleh PAS Johor. Penubuhan Pusat Aduan Rakyat (PAR) di seluruh dijadikan arahan wajib khususnya Dun yang telah diwakili oleh PAS semasa PRU 12. Di antara yang terawal menubuhkan PAR adalah Dun Permas, Kempas, Mahkota dan Nusajaya. Peranan utama PAR adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat setempat sama ada masalah yang melibatkan isu rakyat ataupun isu yang melibatkan kepincangan kerajaan.


Begitu juga dengan peranan kedua-dua Adun PAS iaitu YB Dr Mohamad bin Taslim dan YB Dr Sheikh Ibrahim, kedua-dua digerakkan untuk membantu masalah rakyat bukan sahaja di kawasan mereka sahaja tetapi menjadi wakil rakyat di seluruh negeri Johor untuk disalurkan ke dalam DUN Johor.


PAS Johor dipimpin oleh mereka yang berkelayakan daripada pelbagai sudut. Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad adalah merupakan mantan Dekan Fakulti Pengajian Islam UM dan merupakan tokoh ulama’ yang disegani.


Haji Aminul Huda Hassan, Timbalan Pesuruh Jaya 1 adalah merupakan seorang golongan profesional dalam bidang pendidikan, Timbalan Pesuruh jaya 2 iaitu Haji Dzulkefli Ahmad merupakan profesional dalam bidang perunding harta dan Mazlan Aliman, Pesuruh Jaya 3 adalah merupakan seorang aktivis masyarakat dan merupakan Presiden ANAK yang memperjuangkan isu berkaitan dengan peneroka dan FELDA.


Suhaizan Kaiat, Ketua Dewan Pemuda PAS Johor adalah merupakan mantan pensyarah UTM, Haji Roslan Nikmat (Bendahari PAS Johor) adalah merupakan mantan guru dan pernah dipilih sebagai Guru Inovasi Kebangsaan. Malah, pimpinan PAS yang mengetuai jentera di peringkat negeri turut dipimpin oleh mereka yang berupaya menjana kekuatan dan kemenangan PAS.


Empat daripada PAS kawasan di Johor dipimpin oleh kepimpinan muda iaitu Haji Firduas masod (Segamat/Peguam), Ustaz Khairul Muntanazar (Tebrau/Lulusan Al-Azhar), Ustaz Rozali Jamil (Sekijang/Al-Hafiz) dan Khairul Faizi Ahmad Kami (Kluang/Ahli Politik)


Begitu juga dengan kesediaan YB Haji Salahudin Ayub untuk pulang ke gagang bagi merancakkan gerakerja PAS di Johor telah menimbulkan polemik baru sehingga di sebut sebagai bakal Menteri Besar Johor jika PR berjaya menawan Nusajaya.


Bermakna, PAS Johor semakin maju ke hadapan pada ketika ini dengan melahirkan banyak tokoh politik dan kepimpinan yang berwibawa. Kepimpinan yang beretika, berlatar belakangkan pendidikan yang tinggi di pelbagai peringkat pasti mampu mentadbir negeri Johor jauh lebih baik daripada apa yang telah Umno lakukan selama ini.



Kesimpulan



Melihat kepada sejarah PAS bermula di Johor pada tahun 1954 sehingga kemampuan PAS berdiri bersama PR di persada politik Johor yang dikenali sebagai ‘kubu kuat UMNO di dunia’ telah memberikan satu harapan baru kepada perubahan politik di Johor.


PAS gagal menyertai PRU pada tahun 1955 kerana ketidakmampuan untuk menanggung kos yang tinggi. Tahun 1959 PAS hanya mampu meraih sokongan sebanyak 2.6% di kerusi Dun yang telah PAS tandingi. Tetapi, pencapaian PAS terus meningkat dengan lebih baik dan sebagai buktinya pada PRU ke 12, PAS berjaya meraih sokongan sebanyak 31.63% di peringkat Dun yang PAS tandingi.


Sokongan yang diterima oleh PAS dan rakan-rakan PR yang lain sudah tentu menggerunkan UMNO dan BN lebih-lebih lagi PAS sudah tidak lagi ditakuti oleh pengundi bukan Melayu/Islam. PAS yakin mampu untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu pada PRU ke 13 yang bakal menjadi penentu kepada kemenangan PAS nanti.


Pesuruh Jaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz telah melahirkan keyakinan bahawa PAS akan berjaya untuk menang di 15 DUN yang ditandinginya pada PRU yang akan datang. Dengan gabungan kemenangan PAS, PKR dan DAP di peringkat DUN nanti akan membolehkan PR membentuk kerajaan baru yang akan menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan beramanah daripada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN sebelum daripada ini.


Siapa bakal MB? Itu tidak menjadi persoalan utama pada ketika ini kerana PAS dibarisi oleh ramai kepimpinan dan calon berwibawa.

-------------------------------------------------


Penulis boleh dihubungi melalui laman www.khairulfaizi.com

Thursday, June 21, 2012

Ops 2020: Komplot Setpol Najib, SB, BTN untuk singkirkan ProM



Minda Lutfioleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Saya pernah membongkarnya tujuh tahun lalu semasa menjadi Ketua Pengarang akhbar Siasah. Ada komplot membabitkan Pemuda Umno (dan juga sayap Puterinya) bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar 17 IPTA, yang turut dihadiri para pelajar kumpulan Aspirasi pro-Umno.


Pertemuan diatur pegawai khas Kementerian Pengajian Tinggi, yang dipinjamkan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (juga seorang pengetua kolej kediaman), serta didalangi Dr Adham Baba, bekas Setiausaha Parlimen KPT. Menteri ketika itu Dr Shafie Salleh.

Tujuannya, untuk memenangi dengan mudah pilihan raya kampus (PRK) dengan mengetepikan cabaran kumpulan pelajar Islam yang dilihat bebas dan lebih dekat dengan pembangkang (kini dikenali Pro-M).

Mereka bertemu secara tetap, mulanya dalam kekerapan mingguan, di Tingkat 38,  Menara Dato' Onn, PWTC, yang menempatkan Ibu Pejabat Umno Malaysia. Bayangkan, Umno dan sekutunya dalam BN (melalui biro pendidikan masing-masing) berkomplot dengan HEP 17 IPTA seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak, bagi memenangkan kumpulan Aspirasi dalam PRK.

Mesyuarat turut meminda dan memanipulasi peraturan PRK bagi menyukarkan percubaan seteru Aspirasi. Bayangkan, pihak berkepentingan, seperti calon yang bakal bertanding PRK, iaitu daripada kumpulan Aspirasi dapat mengatur strategi, sekali gus membentuk helah untuk mengalahkan saingannya, di Ibu Pejabat Umno, bersama sekumpulan Timbalan Naib Canselor dan pegawai HEP, yang sepatutnya bertindak bebas dan adil sebagai pengadil pertandingan.


Bukan itu saja,  dalam satu pertemuan yang dipindahkan dari Ibu Pejabat Umno di PWTC (selepas didedahkan Siasah) ke  Kolej Kediaman Pelajar Keris Mas, UKM, pada 13 September 2005, wang tunai RM10,000 diagih-agihkan kepada setiap wakil universiti untuk digunakan dalam kempen mahasiswa pro-Umno.

Selepas tujuh tahun, rupanya kisah tersebut belum berakhir. Situasi politik ketika itu memang menyebelahi Umno-BN, yang menang besar dalam pilihan raya 2004. Namun, ia tidak menghalang mereka "bermain kotor" bagi menghapus terus elemen propembangkang di kampus. Ironinya, yang tersisih akhirnya adalah Dr Shafie dan Dr Adham sendiri!


Kini, berdepan PRU13 yang mencemaskan, pimpinan Umno makin resah dan gelabah. Kampus juga tidak terlepas daripada tumpuan perancang politik di Pejabat Perdana Menteri. Kalau dulu, ia hanya berlegar di kalangan KPT tetapi sekarang membabitkan pegawai kanan Najib.

Melalui Ops 2020 (jangan silap faham maknanya; ia bermaksud mahu memastikan kumpulan Aspirasi berjaya memenangi semua PRK 20 IPTA),  Shahlan Ismail dan Irmohizam Ibrahim, masing-masing Setiausaha Politik dan Pegawai Khas Perdana Menteri, bersama "strategis" lainnya, berpusat di bilik operasi, Rumah Meranti 1, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur, mempunyai perancangan besar.

Nama-nama lain yang terbabit sama ialah Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Raja Arif Raja Ali; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Razali Ibrahim; Setiausaha Politik Menteri Pengajian Tinggi, Khairi Abd Malik; SAC Mohd Sofian Md Makinuddin, Cawangan Khas PDRM bersama tiga pegawai polis Bukit Aman; Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Presiden Majlis Belia Malaysia; serta sekumpulan pegawai KPT, BTN dan pemimpin Pemuda-Puteri Umno.


Menerusi dokumen yang didedahkan, Ops 2020 "berperanan untuk memastikan pemilihan kampus kali ini (sesi 2012/13) tidak memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13". (Anda sendiri boleh tafsirkan apa definisi terbaik kepada "kebangkitan moral kepada parti pembangkang").

Justeru, PRK yang sepatutnya perlu dijalankan selepas minggu kedua Mac 2012 ditangguhkan ke tarikh yang belum dipastikan. (Ini bermakna, untuk kebanyakan kampus, sudah empat bulan Majlis Perwakilan Pelajar-- MPP -- tidak lagi berfungsi). Daleh penangguhan itu berbeda-beda di antara universiti. Apabila diajukan kepada KPT, jawapannya, tarikh PRK diserahkan kepada setiap kampus bagi menentukannya.

Sedangkan Sekretariat Kampus yang dipengerusikan Shahlan inilah yang akan menentukan tarikh paling sesuai PRK, seperti dinyatakan dalam objektif keempatnya, iaitu bagi "memastikan mahasiswa yang menyokong kerajaan memenangi semua pilihan raya kampus 20 IPTA di seluruh negara".

Dalam mesyuarat penyelarasan pemilihan MPP IPTA, pada 25 Januari 2012, di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, dicadangkan tarikh PRK dilewatkan ke bulan April "bagi memastikan segala persiapan ke arah kemenangan dirancang dengan rapi".

Setpol Menteri Pengajian Tinggi menekankan agar perlu diberikan tumpuan yang lebih kepada empat IPTA, yang dikatakan "sangat bermasalah", iaitu Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Pertanian dan UKM.

Saya tidak berhasrat untuk memperincikan kandungan minit mesyuarat yang sudah terbongkar itu. Prinsipnya tetap sama, seperti tujuh tahun lalu. Pihak Umno, seperti juga parti-parti politik lain, boleh saja melakukan proses perkaderan di kalangan mahasiswa, hatta untuk memberi sumbangan dan sokongan kepada mana-mana calon yang bertanding dalam PRK.

Masalah besar timbul apabila Umno memperalatkan kemudahan awam dan jentera kerajaan, seperti Cawangan Khas Polis, BTN, KPT dan lebih dahsyat lagi apabila membabitkan Sekretariat Hal Ehwal Pelajar, termasuk Timbalan Naib Canselornya, di semua 20 IPTA.

 

Bukankah HEP itu sendiri berperanan sebagai Suruhanjaya Pilihan Raya dalam PRK, yang sepatutnya bertindak bebas dan berkecuali? Begitu juga dengan Kementerian Pengajian Tinggi yang merupakan bapa atau penaung kepada semua mahasiswa, termasuk kumpulan-kumpulan pelajar yang menyertai PRK.

Lebih mengaibkan apabila Najib sendiri merestui penangguhan PRK semata-mata kerana Sekretariat Kampus yang dipengerusikan Setpolnya masih belum dapat menemui satu tarikh paling sesuai, agar  "pemilihan kampus tidak memberi sebarang KEBANGKITAN MORAL kepada parti pembangkang sebelum PRU13".

Dengan itu, saya percaya PRK hanya akan diadakan selepas PRU13. Juak-juak Najib bimbang, jika diadakan sebelum pilihan raya umum, momentum PRK itu mungkin melonjakan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Soalnya, apakah jika tarikh PRU13 melewati hujung tahun ini, maka mahasiswa terus dinafikan hak untuk berpersatuan selama hampir setahun? Waduh! Mengapa sanggup memperjudikan kepentingan dan kebajikan pelajar dengan alasan tidak munasabah dan terlalu sarat dengan motif politik?

Sepanjang mengikuti perkembangan politik kampus sejak tahun 80-an, saya tidak pernah menjangka pemimpin Umno-BN akan bertindak sebebal ini. Jika anak-anak muda kita di kampus pun dipolitikkan semahunya, apakah anda masih mengharapkan PRU13 ini akan berjalan secara adil, bersih dan bebas?

Sumber : Detikdaily

Tuesday, June 12, 2012

Jangan sombong ! Maka rawatilah sombong itu...


Assalamualaikum....

          Subahanallah, Alhamdulillah wala illah ha illah Allahu akbar.  Segala puji hanya pada Allah swt.  Selawat dan salam buat kekasih Allah dan Rasul junjungan Nabi Muhammad saw. Yang dihormati dan ditaati alim ulama pewaris nabi yang telah memberikan mutiara-mutiara ilmu kepada mereka yg layak. 

                Tarikh           :  8 Jun 2012
               Kuliah Magrib : Kuliah Tafsir - Surah Al kahfi : 54-55
               Tempat          : Suaru As-Syakirin Bandar Mahkota Cheras
               Pengajar       : Ustaz Fakhurazi

                Alhamdulillah saya masih diberikan kesempatan untuk membuat sedikit perkongsian daripada apa yang telah saya dengar, sempat catat dan sempat untuk difahami. Sememangnya dalam ceramah ustaz terlalu banyak perkara yang disentuh namun apa yang paling diingati adalah perhal dengan SOMBONG.!!!

Sombongnya Kafir Quraish

             Ulasan yang darpat saya buat berdasarkan cerita Ustaz,  dakwah baginda ini bukan sahaja menceritakan nikmat-nikmat yg akan diterima oleh orang beriman malah setelah itu mengencam dengan ancaman-ancaman kerpada mereka yang tidak beriman. Setelah mendengar ancaman yang dinyatkan baginda kafir quraish ini menempelak dan mencabar Nabi Muhammad agar menurunkan segera azab yang  dikatakan..... setelah mana kafir quraish ini gagal untuk mematahkan hujah-hujah yang dibawa Nabi.

Sebab apa mereka ini memcabar ?????
Sebabnya sifat SOMBONG yang ada pada mereka....
SOMBONG inilah punya mengapa Iblis dihalau keluar dari syurga, SOMBONG inilah iblis  enggan sujud pada Adam, SOMBONG inilah mendapat  kemurkaan dari ALLAH. Walaupun iblis tahu yg memrintahkan itu adalah tuhannya sendiri.

Begitulah jga  kafir qurasih ketika itu bukan tidak tahu nabi ini tidak pernah berbohong. Hanya berbenar semata-mata,tapi kerana sombong apa yg benar jadi dusta yang baik jadi jahat.

Sombong ini adalah peringkat nafsu amarah, ada sedikit sahaja sifat sombong maka tiada peluang utk masuk syurga.

Kategori Sombong 

           Sombong Bodoh,  contohnya seorang bacaan al-qurannya tidak begitu tepat makhraj hurufnya apabila diajak untuk bertadabur bersama dia akan menjawab " Ingat kau tu baca betul sangat ke, kau serupa sahaja dengan aku je. Jangan ingat kau ni baik sangat ok, kau pun ada buat salah jga ". Maksudnya dia ni dah lah tak pandai lepas tu sombong pulak tu.

       Sombong Alim,  contohnya seorang bacaan al-qurannya tidak begitu tepat makhraj hurufnya dan merangkak-rangkak bacaaanya apabila diajak untuk bertadabur bersama dia akan menjawab " Aku ini merangkak-rangkak baca pun takpe aku akan dapat banyak pahala sebab aku baca berulang-ulang, kan satu huruf itu 10 pahala maka jika aku baca dengan berulang-ulang pun pastinya aku akan dapat banyak pahala ". Maksudnya dia ni ada ilmu tapi sayangnya menggunakkan ilmu tersebut untuk menutup kelemahannya.

      Sombong maksiat,  Maksudnya - kita ini kadang-kadang sedar kita ini sedang melakukan maksiat sedangkan kita tahu dengan melakukan maksiat itu akan mendapat  dosa dan mengundang kemurkaan dari Allah swt. Tapi kita enggan untuk beristifar dan bertaubat kepada-Nya. Pengajaraan, Dahlah buat dosa tahu pulak tu dosa yang dibuatnya itu tapi tak nak bertaubat dan merintih serta merayu-rayu kepada Allah agar diampun dosanya. Sesungguhnya Allah amat menyukai dan merindui akan hamba-hambanya yg menangis takut akan dosa yang telah dilakuan.

      Sombong taat,  Maksudnya mereka yang kuat ibadat nampak alim tapi sombong orangnya.  Contoh situasi- Pak Cik A yang telah berumur, rajin pergi masjid dan banyak pula mengamalkan sunnah Rasulluah saw, menegur seorang Pak Ciik B yang telah berumur juga tapi tak rajin pergi masjid dan tak banyak pula mengamalkan sunnah Rasulullah. Dengan berkata " eh, engkau ni umur dah lanjut tapi malas nak masjid. Kubur dan kata mari umah dah kata pergi tak sedar-sedar lagi.Tegok aku ni apa ustaz tu ngajar senang je aku nak ikut. Tegok aku ni pakai jubah dah kau pulak bila nak berubah???" .Pengajarannya walaupun dari fekahnya  Pak Cik A lebih baik dari Pak Cik B tapi sifatnya yang menggangap dirinya mulia itu boleh menyebabkan dirnya boleh terhumban ke dalam api neraka. Ingatlah dakwah itu memang wajib dan kesan kesedaran itu kadang2 kita menjadi orang yang taat dan dianggap mulia orang sekeliling, tapi harus diingati sifat MULIA itu hanya layak kepada ALLAH swt. Dengan keiizinan dan kehendak Allah jualah menyebabkan kita jadi taat @ alim sebab itu kita harus memulangkan kembali perasaan mulia itu kepada ALLAH kerana dia sahaja yang layak akan sifat itu.

Kesimpulannya Berselawatlah... 

            Setiap daripada kita tidak akan terlepas dengan  sifat sombong ini tidak kira samaada dia itu bodoh ke alim ke maksiat ke atau taat. Oleh itu, halusi sifat sombong yang ada dalam diri kita. Kesukaran ibu bapa mendidik anak-anak hari ini kerana anak-anak mereka memliki sifat sombong. Kata Ustaz ini maka caranya merawatnya adalah dengan perbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad saw sabit daripada Baginda  ini membawa ke kerahmatan ke seluruh alam dan sifat telinga kita ini yang sentiasa terbuka tdiak tertutup. Maka mudahlah gelombang selawat itu untuk masuk ke ruang telinga dan mudah-mudahan akan lembutlah hati kita ini dan suci daripada sifat sombong.

wasalam...