Monday, May 21, 2012

Penjelasan Idea gabungan PAS & DAP


RAMAi yang sangsi dengan tindakan PAS bergabung dengan DAP. Dengan PKR, tidak timbul sangat isu. Kesangsian ini, bukan sekadar berlaku pada orang UMNO, tetapi berlaku juga kepada orang-orang yang berkeahlian PAS, juga dari kalangan mereka yang berada dalam gerakan Islam.
Bagi memberikan huraian perkara ini, dikupasnya seperti berikut;
SATU : SIKAP BEBERAPA PIHAK
Dalam merungkaikan perkara ini, ia terbahagi kepada dua pihak, iaitu;
Satu : tidak bersetuju PAS gabung dengan DAP
Pendapat ini berhujjah seperti berikut;
[1]
Firman Allah;

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya;
“Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin” (Surah al-Imran, ayat 28)
Dalam ayat ini, Allah SWT melarang menjadikan orang Islam menjadi non Muslim sebagai wali atau pemimpin. Makanya, tidak sepatutnya PAS bergabung dengan DAP, kerana parti itu adalah parti bukan Islam.
[2]
Firman Allah;

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Maksudnya;
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” (Surah al-Baqarah, ayat 120)
Dengan yahudi dan nasrani, Allah SWT nyatakan bahawa mereka tidak akan redha terhadap Islam. Jadi, bergabung dengan mereka adalah bermaksud redha dengan mereka.
[3]
Seorang Tabiin bernama Sufyan al-Sauri ada berkata;

الكفر ملة ، والاسلام ملة

Maksudnya;    
“Kufur itu satu puak, dan Islam itu satu puak" (rujuk Musannaf Abd al-Razzaq; no.10234)
Perkataan Tabiin ini merupakan asas bahawa tidak boleh bergabung dengan non Muslim. jadi, PAS tidak boleh bergabung tenaga dengan DAP.
Dua : PAS mesti bergabung dengan DAP
Pendapat ini berasaskan penghujahan berikut;
[1]
Firman Allah;

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya;
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran” (Surah Al-Maidah, ayat 2)
Tolong menolong ini, dilarang dari melakukan permusuhan. Di kala DAP menyeru kepada keadilan, lalu PAS melakukan permusuhan dengan DAP, menyebabkan ia bercanggah dengan konsep ayat ini. Sedangkan dalam masa yang sama, kita disuruh melakukan bantu membantu dalam melakukan kebaikan dan ketaqwaan.
Dalam ayat ini, Allah SWT menyuruh kita bantu membantu dalam melakukan “al-Bir”, sedangkan dalam ayat lain, Allah SWT guna kalimah “al-Bir” ketika menyuruh melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang bukan Islam.
 Firman Allah;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik (al-Birr) dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)
Memandangkan ayat ini menyuruh kita melakukan keadilan dan berbuat “al-Birr” kepada orang bukan Islam, maka tidak salah jika PAS bersama-sama dengan DAP dalam usaha saling bantu membantu menegakkan keadilan dan kebajikan.
[2]
Firman Allah;

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِنْ تَأْمَنْهُ بِقِنْطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ

Maksudnya;
Di antara Ahli kitab ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu”  (Surah ali-Imran, ayat 75)
Dalam ayat ini, Allah SWT mengiktiraf tentang amanah yang dilakukan oleh orang bukan Islam. Ini ditambahi lagi pengiktirafan Nabi Muhammad SAW terhadap kebaikan yang dilakukan oleh Raja Habsyah.
Jadi, tindakan PAS bersama dengan DAP tidak menjadi kesalahan, jika dasar dan tindakan DAP itu menjurus kepada keadilan dan kebaikan, seperti amanah dan melawan rasuah dan sebagainya. Jika al-Quran mengiktiraf amanah kewangan yang dilakukan  yahudi, maka tidak ada sebab kita tidak mengiktiraf kebaikan DAP jika mereka menyeru kepada benda yang sama.
[3]
Dari Talhah bin Abdullah bin Auf bahawa Nabi SAW berkata;

لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا ما احب ان لى به حمر النعم ولو ادعى به في الاسلام لاجبت

 Maksudnya;
“Aku hadir di rumah Abdullah bin Jad’ad satu pakatan yang aku lebih suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga). Sekiranya aku diajak kepadanya di zaman Islam, nescaya aku menyahutinya." (Sunan al-Baihaqi al-Kubra, hadis no : 12859.)
Al-Qutaibi menyatakan, “punca berlaku pakatan itu adalah Quraish telah melakukan kezaliman di tanah haram, lalu Abdullah bin Jad’an dan Zubair bin Abd al-Muttalib mengajak mereka kepada pakatan dalam memberi pertolongan dan menyelamatkan orang yang dizalimi. Ajakan itu telah disahut oleh Bani Hasyim dan sesetengah kabilah daripada Quraish.” (Ibid, jld 6, hlmn 367)
Dari ini, amat nyata bahawa bersama dengan non Muslim dalam berusaha menghapuskan kezaliman adalah satu perkara yang tidak bercanggah dengan Islam, sebaliknya ia diiktiraf oleh Nabi Muhammad SAW.
[4]
Firman Allah;

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

Maksudnya;
“Jangan kamu cenderung kepada mereka yang telah zalim, maka akan menyambar akan kamu oleh neraka” (surah Hud, ayat 113)
Kezaliman ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk mereka beragama Islam. Ada muslim yang zalim, dan ada non Muslim yang adil. Jika kezaliman itu dibuat, maka pembuat itu tidak boleh disokong. Menyokong itu satu kesalahan. Jika menyokong kezaliman sudah disambar oleh Neraka, maka menyokong keadilan adalah satu kewajipan, tidak kira siapa sahaja yang melakukannya.

DUA : PENILAIAN
Sebelum membuat rumusan terhadap pendapat kedua-dua perkara ini, dihuraikan seperti berikut;
[1]
Dalam fiqh politik, asaskannya adalah capaian kepada maqasid, iaitu kemaslahatan kepada rakyat. Ia merupakan definisi politik, sepertimana yang pernah dinyatakan al-Qaradhawi.
Dalam kitab al-Siyasah al-Syariyyah, Qaradhawi mendefinisikan siyasah atau politik itu adalah;

القيام علي شيء  بما يصلحه

Maksudnya;
“Melaksanakan terhadap sesuatu dengan perkara yang boleh mendatangkan kemaslahatan." (rujuk Al-Siyasah al-Syariyyah fi Dau’ Nusus al-Syariah wa maqasiduha, hlmn 29)
Dengan erti kata yang lain, setiap tindakan yang mencapai kepada maslahah kepada rakyat, maka ia merupakan tuntutan kepada fiqh politik. Dengan maksud, perkara yang boleh mendatangkan mafsadah kepada rakyat, maka perkara itu berada diluar kerangka fiqh politik Islam.
Adapun nas-nas yang berkait dengan politik, sifatnya adalah wasail, iaitu elemen penghubung kepada capaian terhadap maqasid. Sesuatu ketetapan yang termaktub dalam Nas tersebut, ia merupakan salah satu cara untuk capaian maqasid, bukan satu-satunya cara sahaja. Dengan maksud, cara yang termaktub dalam nas tersebut, amat sesuai dengan kondusif politik di zaman itu, tetapi mungkin tidak sesuai dengan kondusif di zaman dan tempat yang lain.
Antara contoh dalam perkara ini adalah seperti sabda Nabi SAW;

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

Maksudnya;
“pemimpin-pemimpin itu dari kalangan Quraish." (rujuk Musnad Ahmad, hadis no : 11859.)
Hadis ini adalah bersifat wasail, sedangkan maqasid dalam hadis ini adalah untuk mengelak pertembungan dan perbalahan. Ibn Khaldun dalam kitab muqaddimah menyatakan;

فإذا ثبت أن اشتراط القرشية إنما هو لدفع التنازع بما كان لهم من العصبية والغلب

Maksudnya;
“Oleh itu, nyata bahawa syarat quriash adalah untuk menolak perbalahan ekoran kewujudan asabiyyah dan penguasaan." (rujuk Al-Muqaddimah, hlmn 100)
Dengan maksud, penguasaan dan “respek” pihak rakyat pada zaman itu terhadap Quriash menyebabkan Nabi SAW menyatakan kepimpinan itu dari kalangan Quriash. Dengan erti kata yang lain, jika mengelak dari perbalahan itu tercapai dengan tidak perlantikan Quraish, tetapi tercapai dengan perlantikan bangsa lain, maka melantik bangsa lain itu adalah satu keperluan.
[2]
Dalam politik Islam, perkara yang paling penting adalah perlaksanaan keadilan, dan berusaha sedaya mungkin dari tersebar kezaliman. Segala tindakan yang menegakkan kezaliman, maka ia wajar dilawan.
Firman Allah;

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

Maksudnya;
“Jangan kamu cenderung kepada mereka yang telah zalim, maka akan menyambar akan kamu oleh neraka” (surah Hud, ayat 113)
Dalam hadis Qudsi, bahawa Nabi SAW berkata yang Allah SWT berfirman;

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا

 Maksudnya;
“Wahai Hamba-Ku, Sesungguhnya Aku haramkan zalim terhadap diri-Ku, dan Aku jadikannya haram di antara Kamu, maka Jangan kamu saling zalim menzalimi." (rujuk Muslim, hadis no : 4674)
Ibn Taimiyyah menyatakan;

الله ينصر الدولة العادلة وإن كانت كافرة ، ولا ينصر الدولة الظالمة وإن كانت مؤمنة

Maksudnya;
“Allah SWT tolong Negara yang adil, waima ia adalah kafir, Tidak menolong Negara yang zalim, waima ia mukmin."  (Rujuk Al-Hisbah, hlmn 4)
[3]
Tentang firman Allah;

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya;
“Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin” (Surah al-Imran, ayat 28)
Ulasan tentang ayat ini adalah seperti berikut;
-1-
Ayat ini bersifat Sad al-Zaraie, iaitu menutup segala pintu-pintu haram. Sifat menutup pintu-pintu haram ini, tidak semestinya diharamkan secara mutlak, tetapi dengan meletakkan syarat-syarat juga ia sudah memadai menutup pintu-pintu haram.
Ia sama seperti Allah SWT menyatakan;

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya;
“Jangan kamu cela mereka yang menyembah selain dari Allah, nanti mereka mencela Allah dengan permusuhan (prejudis), dengan tanpa Ilmu” (surah al-An’am, ayat 108)
Ibn Kathir menyatakan bahawa Allah SWT melarang Rasulullah SAW dan orang-orang mukmin dari memaki sembah-sembahan musyrikin, walaupun ia boleh mencapai maslahah. Ini kerana, ia sebenarnya boleh membawa kepada mafsadah yang lebih besar, iaitu makian balas dari orang Musyrikin terhadap tuhan orang mukmin, iaitu Allah yang tiada tuhan kecuali Dia." (rujuk Ibni Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim : 3/314)
Menurut Al-Raisuni pula, hukum asal bagi celaan terhadap sembahan musyrikin adalah harus, malahan dalam beberapa ketika ia menjadi wajib. Ini kerana, menyembah selain Allah merupakan jenayah dan penyelewengan yang cukup besar. Namun, melihat kepada implikasi menyebabkan tercapainyamafsadah yang lebih besar, iaitu mereka mencela Allah dalam keadaan hati mereka ada permusuhan, zalim dan kejahilan, menyebabkan mencela sembahan selain Allah itu dilarang." (rujuk Dr Ahmad al-Raisuni, Muhadharat fi Maqasid al-Syariah : 219)
Dengan erti kata yang lain, mencela sembah-sembahan tersebut adalah dibenarkan DENGAN SYARAT ia tidak dilakukan dihadapan non muslim. Sekiranya diyakini tidak mendatangkan implikasi serang balas dari non Muslim tersebut, maka ia tidak menjadi haram.
Begitujuga dengan ayat 28 dari surah al-Imran. Larangan orang non Muslim jadi menjadi pemimpin itu kerana bimbang mereka menguasai orang Islam. Dengan maksud, tidak dibawah larangan sekiranya non Muslim itu menjadi pemimpin DENGAN SYARAT pengamalan dan beberapa perkara perinsip bagi umat Islam tidak diganggu gugat.
Dalam kerangka demokrasi, sesuatu perlaksanaan dasar tertakluk kepada undang-undang yang termaktub. Ia tidak boleh dilanggar oleh sesiapa sahaja yang memerintah, samada mereka yang beragama Islam atau mereka yang tidak beragama Islam. Sekiranya dalam undang-undang termaktub menyatakan hak orang Islam tidak boleh terhalang, maka sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin, mereka kena akur dengan undang-undang tersebut.
Jadi, dengan perlantikan non Muslim sebagai pemimpin politik dalam kerangka politik demokrasi, ia tidak bercanggah dengan maksud ayat di atas.
-2-
Dalam kerangka monarki, pemimpin itu bersifat wilayah. Sedangkan dalam kerangka demokrasi, pemerintah tidak boleh pandai-pandai menentukan dasar kecuali mendapat persetujuan rakyat majority. Dengan erti kata yang lain, pemimpin dalam sesebuah Negara demokrasi, tidak bersifat wilayah, tetapi bersifat wakalah. Wilayah dalam kerangka demokrasi adalah rakyat dan undang-undang yang termaktub.
Ekoran dari itu, menjadikan hujjah ayat ini sebagai penghalang untuk mengundi non Muslim adalah tidak tepat. Ini kerana, dalam wakalah boleh diberikan kepada non Muslim.
[4]
Mereka berhujjah dengan merujuk kepada Firman Allah;

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Maksudnya;
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” (Surah al-Baqarah, ayat 120)
Kata mereka, “dengan yahudi dan nasrani, Allah SWT nyatakan bahawa mereka tidak akan redha terhadap Islam. Jadi, bergabung dengan mereka adalah bermaksud redha dengan mereka”.
Bagi menjawab hujjah mereka ini, diperhatikan kepada satu hadis, bahawa Nabi SAW ada menyatakan;

أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya;
“Ketahuilah bahawa mereka yang menzalimi Mu’ahid (non Muslim yang zimmi) atau mengurangkan (kata al-Tibiy : haknya) atau membebankannya luar dari kemampuannya, atau mengambil darinya sesuatu bukan dari cara yang baik, maka aku akan jadi penghujjahnya pada hari akhirat." (rujuk Sunan Abi Daud, 2654)
Melihat hadis ini, Nabi SAW mempamerkan bahawa Nabi SAW akan mempertahankan non Muslim yang dizalimi. Tindakan Nabi SAW mempertahankan non Muslim, bukan bermakna Nabi SAW redha dengan agama mereka. Maka begitujuga tindakan PAS bergabung dengan DAP, bukan bermakna redha dengan mereka.
Dari sudut Islam, tidak boleh kita hendak melahirkan permusuhan politik atas sebab berbeda agama, kerana kepercayaan agama melibatkan hidayah yang merupakan kekuasaan Tuhan, sedangkan menghentikan kezaliman adalah perkara ikhtiyari, iaitu dibawah kawalan kita. Maka ia hendaklah dilawan, waima ia dilakukan oleh muslim sekalipun. Jika Muslim melakukan kezaliman pun wajib dilawan, maka lebih-lebih lagi wajib dilawan, jika yang melakukan kezaliman itu adalah non Muslim.
[5]
Mereka berhujjah dengan merujuk perkataan Seorang Tabiin bernama Sufyan al-Sauri. Beliau berkata;

الكفر ملة ، والاسلام ملة

Maksudnya;    
“Kufur itu satu puak, dan Islam itu satu puak."  (rujuk Musannaf Abd al-Razzaq; no, 10234)
Mereka menyatakan, “Perkataan Tabiin ini merupakan asas bahawa tidak boleh bergabung dengan non Muslim. jadi, PAS tidak boleh bergabung tenaga dengan DAP”
Dijawab bahawa berbeda kepuakan adalah fitrah. Tetapi, perbedaan puak itu tidak boleh menafikan keperluan bekerjasama dalam menjatuhkan kezaliman. Ia dapat dirujuk dalam hadis Hilf al-Fudhul yang disebut di atas bahawa Nabi SAW akan menyokong gerakan yang bersatu dalam menghapuskan kezaliman, waima ia dilakukan oleh Bani Hashim yang ketika itu tidak beragama islam lagi.
[6]
Mereka menyatakan, “Bersatu adalah satu keperluan. Dalam al-Quran, banyak ayat-ayat al-Quran menyuruh kita bersatu. Sedangkan berpakat dalam politik, tidak termaktub dalam nas al-Quran. Jadi, apabila bertembung al-Quran dan tidak, maka dahulukan nas al-Quran”.
Dinyatakan bahawa dalam al-Quran, suruhan bersatu atas asas berpegang dengan tali Allah. Dengan erti kata lain, sekiranya dari pihak muslim ada yang tidak berpegang dengan tali Allah, maka tidak perlu bersatu dengan mereka. Malahan boleh jadi haram, jika bersatu itu mengukuhkan lagi pihak yang zalim.
Tanpa dilalaikan, bahawa al-Quran juga menyuruh kita menghindarkan diri dari cenderung kepada kezaliman. Secara istiqra’ maknawinya, kezaliman memang wajib dihindari. Adalah satu perkara yang mustahil bahawa al-Quran menyuruh kita menyokong kezaliman.
Mendakwa bahawa sesama muslim perlu bersatu adalah perkara benar. Tetapi, adalah salah jika disuruh juga bersama dengan muslim, jika tidak berasaskan kepada keadilan dan menolak kezaliman yang merupakan antara perkara asas bagi tali Islam. Kita dituntut bersatu dalam melakukan keadilan dan menolak kezaliman, tetapi kita dilarang dari bersatu dalam melakukan kezaliman, waima sesama muslim sekalipun.
KESIMPULAN
Asas bagi Islam, ia adalah rahmat sekelian alam. Ia tidak memberi kasih sayang kepada muslim sahaja, tetapi kasih sayang menurut ajaran Islam melepasi batasan bangsa, warna kulit dan agama. Soal kepercayaan agama adalah soal hidayah, sedangkan hidayah dibawah kekuasaan Allah SWT.
Islam tidak menghalang kita bersatu dengan non Muslim dalam usaha menegakkan keadilan. Yang Islam halang adalah, bersatu sesama muslim dalam menegakkan kebatilan dan kezaliman. Juga islam juga menghalang memberi kekuatan kepada pihak batil untuk terus bertapak.
Islam menang apabila non Muslim memeluk Islam. Ia tidak akan berlaku, kecuali mereka menyukai Islam terlebih dahulu. Mereka tidak akan suka dengan Islam, jika Islam dipamerkan sebagai agama perkauman, walhal Islam adalah agama untuk semua manusia.
Ibn Taimiyyah pernah berkata, “Allah akan tolong Negara yang adil, waima ia kafir sekalipun. Allah tidak akan tolong Negara yang zalim, waima ia mukmin sekalipun. (rujuk Al-Hisbah, hlmn 4)
Dengan itu, bersatu kita menegakkan keadilan demi melihat Islam tersebar di muka bumi ini. Hindarkan diri dari bergabung dengan pihak yang zalim, kerana ia menjauhkan manusia dari Islam.
Wallahu ‘Alam



Wan Ji Wan Hussein al-Ta'adudi yang lebih dikenali sebagai Pak Shaikh Muka Buku merupakan graduan Universiti al-Azhar, Mesir yang kini melanjutkan pengajian dalam maqasid asy-syariah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Beliau menconteng di FB Wan Ji at-Ta'addudi dan berkicau di @wanji_bakistani. Artikel ini koleksi tulisannya yang dipetik dari blog al-Bakistani.

Kenapa wanita Banyak cakap????

Terimalah, wanita memang banyak bercakap Selalu kita lihat wanita bercakap semasa menonton televisyen. Selalu juga kita lihat wanita masih terus-terusan menceceh dalam telefon dengan rakan karibnya walaupun baru menghabiskan satu minggu cuti bersama. Ada saja yang dibual dan digosipkan. Sebab itu jika ada masalah lebih elok tidak diberikan kepada wanita. Nanti mereka akan terus bercakap dan bercakap mengenainya. Sebelum masalah diselesaikan, satu dunia sudah tahu masalah itu. Ini kerana wanita cenderung bercakap untuk melepaskan beban masalahnya kepada orang lain, bukan mahu mencari penyelesaian mahupun rumusan terhadap masalah itu. Begitulah otak wanita bekerja sehinggakan jika ada lelaki yang suka bercakap dan bergosip, orang akan segera menegurnya ‘kau ni macam perempuanlah’. Menurut pakar, otak wanita tidak dapat menyimpan maklumat secara khusus contohnya, apa yang difikirkan di pagi hari akan terus berlegar-legar dalam fikirannya dan perlu diluahkan. Otak wanita menggunakan pertuturan sebagai cara meluahkan perasaan. Berbanding otak lelaki mampu mengetepikan dan pada masa sama menyimpan maklumat. Mereka masih boleh relaks walaupun sedang dihimpit dengan pelbagai masalah dan tekanan. Masalah boleh disimpan untuk difikirkan pada waktu lain. Jadi untuk wanita, kerana tidak mampu menyimpan maklumat, satu-satunya ruang mengetepikan masalah mereka ialah dengan cara bercakap mengenai masalah itu. Bercakaplah mereka sehingga selalunya tidak fokus untuk menyelesaikan masalah tersebut. Inilah yang biasa kita lihat. Oleh itu jika wanita dilabel banyak bercakap, jangan cepat melenting. Banyak bercakap pun sebenarnya besar kelebihannya. Wanita selalunya menggunakan peluang bercakap untuk membina hubungan dan berkenalan. Contohnya, wanita menggunakan telefon untuk mengeratkan hubungan sebaliknya lelaki bercakap untuk menyampaikan fakta dan maklumat kepada orang lain. Mengapa wanita cenderung banyak bercakap? Bayangkan semasa menonton televisyen pun mereka boleh bercakap, tentu sahaja mereka ada kelebihan tersendiri.
KEKUATAN Paling jelas, ini menunjukkan wanita berupaya melakukan banyak perkara atau kerja dalam satu masa. Bercakap sambil menonton, bercakap sambil memasak dan banyaklah pekerjaan yang mereka mampu lakukan serentak. Ini adalah salah satu kekuatan yang mereka miliki. Jika diperhatikan, kebanyakan wanita juga mampu bercakap banyak perkara dalam satu masa. Malah bukanlah aneh wanita mampu memberitahu banyak perkara dalam satu ayat. Kalau mahu tahu, cuba gantikan tugas isteri mengurus anak dan rumah, kelam-kabut jadinya. Yang juga selalu kita lihat ialah wanita mampu dengan serta-merta mengubah topik perbualan dan kemudian menyambung perbualan atas topik asal dengan baik sekali. Uniknya mereka dapat pula mengingati setiap butiran perbualan. Mungkin ini jawapan mengapa wanita selalu diberi tugas sebagai pencatat minit mesyuarat. Selalunya apabila tugas itu diberikan kepada lelaki, tunggang-langgang jadinya. Dan amaran kepada lelaki, jangan dekati wanita yang sedang asyik berbual sesama mereka. Tidak mudah untuk mengikuti pucuk pangkal perbualan mereka kerana topik perbualan selalunya melompat-lompat. Otak lelaki sukar menerima perlakuan seperti itu dan akhirnya mereka akan kebingungan sendiri. Kerana begitu otak wanita bekerja, terus benarkan dan beri ruang untuk wanita bercakap. Jika tidak, kita juga yang susah nanti. Lihatlah punca utama perceraian atau hubungan renggang ialah kerana tiada komunikasi. Secara purata wanita bercakap sebanyak 6,000 hingga 8,000 patah perkataan, 2,000 hingga 3,000 nada suara dan 8,000 hingga 10,000 pergerakan (tangan, muka, kepala dan bahasa badan lain) sehari. Suami yang bijak walaupun penat macam manapun tentu sekali akan meluangkan waktu untuk melayan isteri bercakap. Ini kerana fitrahnya wanita memang suka bercakap sehingga suami telah berdengkur pun, si isteri masih mahu juga bercakap. Yang selalu menjadi masalah ialah wanita yang tidak bekerja, siapa yang mahu melayan mereka bercakap? Kuota kata-kata sehari (6,000 hingga 8,000 patah perkataan) perlu diluahkan. Jadi nasihat kepada lelaki yang isterinya tidak bekerja, ambillah sedikit waktu untuk mendengar celoteh mereka daripada nantinya hubungan jadi renggang. Jangan diikut perilaku suami isteri dahulu kala yang jarang bercakap. Wanita dahulu tidak mengalami masalah ini. Selain ramai anak, akan sentiasa ada teman berbual dan tempat meluahkan perasaan dengan saudara mara dan jiran tetangga. Kalau suami tak layan cakap pun tidak mengapa. — Mingguan Malaysia

Monday, May 7, 2012

Respons fatwa Bersih 3.0


Hasan Husaini,
Saya merujuk laman web Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membaca keputusan rasmi fatwa tentang perhimpunan yang diharamkan, tetapi, senarai muzakarah ke-99 masih tidak tersenarai.
Saya kurang selesa untuk membaca ulasan dari pihak ketiga kerana ia tidak menjamin ketulenan isi dan fakta.
Namun, laporan akhbar yang sepakat melaporkan bahawa sebab ('illah') BERSIH 3.0 difatwa haram kerana berniat untuk menjatuhkan kerajaan, di samping berniat untuk merusuh dan merosakkan harta benda awam.
Kenyataan ini menyebabkan saya tertarik untuk memberi respon berdasarkan pengetahuan cetek saya.

Saya agak keliru, apakah sumber Majlis Fatwa yang mengatakan niat BERSIH 3.0 ingin menumbangkan kerajaan yang sah melalui himpunan? Sedangkan web rasmi BERSIH hanya menyenaraikan tuntutan pilihanraya bersih dan adil. Tuntutan pilihanraya bersih dan adil adalah wajib. Manakala menang dan 'menumbangkan kerajaan' melalui pilihanraya adil dan bersih adalah sah di sisi syarak. Maka, sebab pertama adalah secara rasmi tertolak.
Manakala tuduhan yang mengatakan BERSIH berniat untuk merusuh pula agak keterlaluan. Saya menjadi pemerhati BERSIH, BERSIH 2.0 dan BERSIH 3.0. Hemat saya mudah, majoriti peserta BERSIH datang dengan tenang dan aman. Namun, provokasi melampau dari pihak keselamatan menyebabkan sedikit huru-hara berlaku. Huru-hara ini tidak harus ditafsrikan sebagai huru-hara rusuhan kerana ia hanyalah respon kegerunan orang ramai kepada pedihnya gas pemedih mata dan gatalnya air kuning dari meriam air.
Satu perkara yang harus difikirkan sejenak, ketika mana peserta BERSIH datang dengan botol susu anak dan botol mineral serta sebungkus popia, pihak keselamatan telah bersiap siaga dengan peluru gas, meriam air, gari plastik, malah peluru hidup. Siapa yang bersedia untuk mengganas?
Dan satu soalan cepu emas, sejak bila Majlis Fatwa Kebangsaan pandai membaca niat orang? Kalian bedah dada mereka? (Asyaqaqta Qalbah? : Hadith)
Manakala untuk kes BERSIH 3.0, saya fikir, Majlis Fatwa tidak cermat apabila terus menghukum BERSIH haram dek kerana sebilangan kecil perusuh yang masih belum dikenal pasti siapa mereka, dan kenapa mereka bertindak sedemikian. Alangkah baiknya, kalau selepas mengambil sumber dari pihak polis dan agensi kerajaan, Majlis Fatwa Kebangsaan bertemu pula dengan pihak penganjur BERSIH 3.0. Bukankah mendengar dari kedua-dua pihak itu wajib  dan dituntut sebelum memberi hukum?
Cadangan saya untuk Majlis Fatwa Kebangsaan demi menjamin kredibiliti Majlis yang dinaungi Majlis Raja-Raja:
1. Mendapatkan maklumat dari sumber yang pelbagai, termasuk sumber yang kontra. Dalam hal BERSIH, sumber dari penganjur dan peserta BERSIH sangat penting.
2. Benar-benar bertindak sebagai badan bebas yang menjaga kesucian agama Islam dan menonjolkan imej tersebut. Sedangkan sekarang, majlis fatwa kebangsaan hanya dilihat memberi fatwa secara selektif dan dianggap sebagai lidah pembela kerajaan Malaysia.
3. Saya tertanya-tanya, apa pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap  :
  • Penyebaran video dan gambar lucah
  • Tuduhan tanpa bukti dan saksi
  • Pembaziran dan penyalahgunaan wang negara
  • Penyalahgunaan wang zakat
  • Kerajaan menggunakan kekerasan kepada rakyat awam
  • Hukum menipu dalam pilihanraya
  • Hukum menafikan hak royalti Kelantan

HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan.
*Penulis merupakan Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah, Yang Dipertua Kesatuan Mahasiswa Kelantan Jordan, dan Naib Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan.

Sunday, April 15, 2012

Syria di persimpangan jalan


Syria di persimpangan jalan

Syria menghadapi arus perubahan musim bunga politik yang sedang berlaku di dunia Arab secara khusus. Tidak boleh dinafikan sedikitpun, kebangkitan yang menggolakkan arus perubahan itu disebabkan oleh tempoh pemerintahan yang lama tanpa kebebasan rakyat, kerana pemerintahan bersifat diktator bertopeng demokrasi, yang menekan rakyat dengan lesen yang diberi oleh kuasa-kuasa besar dunia diatas nama rakan strategik bagi keselamatan Israel yang dilindungi dengan cara paling istemewa, akhirnya tidak mampu membatalkan musim yang bertiup.
Syria mempunyai kedudukkan yang agak berbeza dengan negara arab yang lain, kerana tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengannya. Syria juga menjadi pintu keluar bagi negara Iran yang dikepung, dalam masa yang sama mengizinkan buminya menjadi pangkalan bagi gerakan Islam Hamas dan Jihad Islami, serta pangkalan bantuan bagi Hizbullah yang berada di Selatan Lubnan. Hamas dan Jihad Islami bermazhab Sunni, tidak sama dengan Bashar Assad yang menganut mazhab Alawi. Begitu juga Republik Islam Iran dan Hizbullah yang bermazhab Syiah Imamiyyah yang bertentangan juga dengan mazhab yang dianut oleh Bashar dan keluarganya. Diambil kira juga parti Baath yang menganut ideologi sosialis yang keras sehingga hampir sama dengan negara komunis dan juga berfahaman nasionalis fanatik yang keras terhadap Israel. Menunjukkan bahawa masing-masing lebih menjadikan rakan strategik bagi menghadapi musuh yang sama iaitu Israel.
Dalam masa yang sama, negara kuasa besar khususnya Amerika yang menjadi rakan strategik Israel akan melindungi negara haram tersebut daripada sebarang gerakan yang dianggap ancaman kepada keselamatan Israel khususnya dalam berdepan dengan Islam. Kumpulan Hamas, Jihad dan Hizbullah adalah ancaman paling bahaya terhadap Israel dengan bantuan Iran secara terbuka juga diumumkan oleh pemimpin utamanya Imam Ali Khamanaei dalam khutbah jumaatnya yang terakhir, diikuti oleh lawatan rasmi ke Iran oleh Ismail Haniyyah, Perdana Menteri Palestin yang tidak diiktiraf oleh Barat dan sekutunya walaupun dipilih secara pilihanraya yang dipantau oleh pertubuhan antarabangsa. Maka kesemuanya adalah ancaman besar terhadap negara Zionis itu.

Sebelum daripada perkembangan ini, tercetus perang di Selatan Lubnan dan selepasnya serangan terhadap Ghazzah. Kedua peristiwa percubaan Israel ini yang menyerang bagi menghapuskan ancaman terhadap negara haram itu menemui kegagalan yang memalukan. Percubaannya gagal walaupun dengan bantuan negara-negara rakan Israel dan sokongan terbuka dan tersembunyi oleh negara-negara Arab yang bersahabat dengan Israel. Kesemua negara Arab dan negara Islam itu menerima konsep Road Map tajaan kuasa besar yang bertanggungjawab menubuhkan Israel.
Ia juga ekoran dicetuskan isu ancaman teknologi nuklear Iran, walaupun di atas tujuan perbekalan tenaga, bukannya persenjataan kerana diharamkan oleh agama Islam seperti dinyatakan oleh para pemimpinnya. Sebaliknya Israel pula telah memiliki senjata nuklear sejak tahun enam puluhan lagi, dengan tidak menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa yang mencegahnya daripada melakukan sesuatu yang mengancam keamanan dan keselamatan dunia. Sebarang tindakannya yang dikira menceroboh dan mengganas dengan nyata diselamatkan dengan kuasa veto oleh kuasa besar pelindungnya jika ada sebarang keputusan yang tidak berpihak kepadanya. Inilah dia undang-undang rimba yang diamalkan di peringkat antarabangsa iaitu siapa yang kuat dia selamat.
PAS bersama dengan parti Islam di seluruh dunia mengutuk segala kekejaman yang berlaku di Syria terhadap rakyatnya. PAS dan gerakan Islam bersetuju supaya kerajaan Syria menghentikan kekejaman terhadap rakyat. Kami juga bersetuju supaya Syria didesak dan dipaksa membuat perubahan kepada demokrasi yang sebenar. Namun kami tidak bersetuju jika perubahan yang berlaku kerana hendak menyelamatkan negara haram Israel dan masuk ke dalam agenda Israel dan sekutunya. Tujuannya bukan menyelamatkan Syria tetapi lebih daripada itu untuk menekan, melemah dan menghapuskan Hamas, Jihad Islami (daripada Sunni) dan Hizbullah serta Iran (daripada Syiah).
Pihak yang melawan kerajaan Syria pula melibatkan kumpulan Islam dan bukan Islam. Mereka dibekal dengan bermacam bantuan termasuk senjata dan ada yang diberi di atas nama Islam dengan agenda menegakkan kerajaan baru yang menyelamatkan Israel melalui gabungan kerjasama kumpulan Islam yang tidak kuat dengan kumpulan sekular yang berpangkalan di negara Barat yang lebih diperkuatkan supaya menguasai gerakan perubahan.
Media Israel melaporkan kenyataan pemimpin kerajaan dan tentera Israel bahawa mereka mahukan perubahan yang bukan berteraskan Islam yang lebih menyelamatkan Israel. Jika tidak maka Bashar Assad perlu diteruskan berkuasa pada tempatnya. Ini kerana perubahan yang memberi kemenangan kepada kumpulan Islam seperti di Mesir, Tunisia dan Libya lebih menjadi ancaman kepada keselamatan Israel.
Usaha mereka bukan sahaja menyekat ancaman terhadap Israel daripada utara dan selatannya, tetapi juga dilakukan bagi menghapuskan kekuatan Iran dan kemajuan teknologinya. Beberapa bulan yang lalu media Barat mendedahkan perselisihan pendapat di kalangan Zionis Yahudi berhubung keperluan melancarkan serangan ke atas Iran seperti yang pernah dilakukan ke atas janakuasa tenaga nuklear Iraq di tahun 70-an di masa Saddam Husain. Usaha juga dilakukan dengan menggunakan Iraq di zaman Saddam bagi menyerang Iran yang baru berjaya dalam Revolusi Islam menjatuhkan regim Shah yang pro Barat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju supaya Iran diserang habis-habisan. Mereka ialah kalangan pelampau Zionis yang berada dalam negara haram Israel. Ada juga yang tidak bersetuju Iran diserang. Mereka ialah kumpulan Zionis yang berada di Amerika dan Eropah. Mereka bimbang tindakan itu akan menyuburkan gerakan anti Zeonis dikalangan masyarakat barat apabila berlakunya krisis sampingan selepas serangan itu.
Bagi melaksanakan agenda yang nyata dan tersembunyi ini, maka sudah tentu Amerika dan sekutunya menjadi penyumbang besar bagi menjayakan cita-cita keselamatan negara haram Israel. Kepada mereka yang dapat membaca medan politik secara sepak terajangnya, bukan secara akademik sahaja, perlu difahami bahawa politik perlu dibaca dengan dua aspek iaitu akademik yang bersurat dan sepak terajang yang tersirat. Betapa agenda melagakan umat Islam yang pernah menjatuhkan kerajaan Othmaniyah di awal abad yang lalu sedang diulangi senarionya.
Pertama, umat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Othmaniyyah di abad yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan Othmaniyyah terhadap wilayahnya. Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu. Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti Lorans dan rakan-rakannya Arab dibantu untuk menentang Turki Otmaniyyah. Akhirnya Kerajaan Othmaniyyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.
Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing mengikut road map Sykes Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya. Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut. Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.
Yang kedua, melagakan umat dengan mazhab yang ramai pengikut. Pengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan majoriti umat Islam dan menjadi mazhab kerajaan Othmaniyyah yang bermazhab Hanafi, dilagakan dengan mazhab Syiah Imamiyyah yang ramai penganutnya di Iran, Iraq dan Selatan Lubnan dan menjadi mazhab Shah Iran di masa itu. Mazhab Zaidiyyah yang sebahagian besar pengikutnya di Yaman dan juga menjadi mazhab raja yang bergelar Imam yang memerintah Yaman. Ada pun Oman pula bermazhab Khawarij Ibadiyyah. Syah Iran dan Imam Yaman berperang dengan kerajaan Othmaniyyah. Oman pula menjadi pengkalan kuasa barat.
Malangnya dalam pergolakan yang berlaku di Syria dan perang yang masih dingin di antara Iran dan negara Barat dan sekutunya, isu nasionalisme dan mazhab dihidupkan semula. Dihidupkan semula galakan semangat nasionalisme di kalangan umat Islam sehingga meletakkan ajaran Islam yang boleh menyatukan umat dan akhlaknya yang mulia dilupakan. Masalah khilafiyyah di kalangan mazhab Islam yang satu dihidupkan semula. Sepatutnya menjadi perbincangan di kalangan para ulama yang mendalami ilmunya sahaja, tetapi dihidupkan bukan sahaja diantara Sunni dan Syiah bahkan di antara Sunni dan Sunni. Ia disebarkan saperti salafi (wahabi) dan Asya’irah dan Maturidiyyah di kalangan Ahli Sunnah. Masalah cabang ajaran agama yang berbeza dikalangan empat mazhab dan lain-lain dikalangan ahli sunnah dihidupkan kalangan masyarakat awam yang cetek pengatahuan agamanya. Syiah Imam Khomeini dan Khaminaei yang membuat perubahan politik daripada syiah tradisi di kalangan Syiah, diantara syiah Arab dan syiah Parsi di Iraq. Di samping menyebarkan mazhab-mazhab ini di kalangan umat Islam yang masih jahil agama, bukannya menyebarkan dan menambahkan penyebaran Islam di kalangan bukan Islam. Semua ini adalah agenda laga dan perintah atau penjajahan semula yang sepatutnya difahami oleh umat Islam.
Dalam kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar. Pandangan semua ulama dicatit menjadi kajian, termasuk pendapat paling lemah kerana keadaan situasi dan realiti yang boleh berubah. Kesilapan dalam perkara rukun diperbetulkan dengan kebijaksanaan. Maka paling menariknya berlaku perkembangan Islam secara damai lebih pesat daripada ketika berperang.
Allah mengajar penganut Islam di zaman Rasulullah S.A.W. supaya umat Islam bersatu di atas dasar dan konsep Islam serta menggunakan pendekatan damai dan strategik dengan masyarakat bukan Islam. Walaupun Rasulullah S.A.W. sudah wafat dan para sahabat generasi awal Islam berbeza pendapat siapakah pengganti Rasulullah S.A.W. selepas wafatnya sehingga melahirkan mazhab Sunni, Syiah dan Khawarij. Namun mereka bersatu bersama para Khulafa Rasyidin R.A. dalam menghadapi cabaran dan menyebarkan Islam sehingga berjaya selama beberapa abad. Mereka yang jahil dan melampau disingkirkan daripada masyarakat umat yang besar. Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berguru dan bersatu dengan Imam Jaafar al-Sodiq pelopor Syiah Imamiyyah yang beribukan salah seorang daripada zuriyat Abu Bakar Al Siddiq R.A. Semua para ulama yang berwibawa itu menentang kezaliman di zaman Umawiyyah dan Abbasiyyah dan mendokong sesiapa yang adil, seterusnya dakwah dan jihad diteruskan. Adapun pertelingkahan yang tajam selepasnya, berlaku di kalangan para jahil daripada semua pihak.
Langkah penubuhan Majma’ Fiqh di bawah OIC yang melibatkan para ulama daripada semua mazhab itu adalah sangat positif bagi umat Islam. Begitu juga kenyataan dan fatwa pemimpin utama Iran Imam Ali Khaminaei supaya para pengikutnya berhenti daripada mencaci dan menghina para Ummahatul Mukminin (para isteri Rasulullah S.A.W.) yang bertaraf ibu kepada seluruh orang-orang yang beriman dengan perintah Al Quran secara nas dan berhenti menghina para sahabat R.A. malah para ulama besarnya memaklumkan bahawa lebih daripada sembilan ribu hadith yang ada dalam kitab al-Kulaini yang menimbulkan masalah hendaklah ditolak.
Adapun langkah membiarkan kuasa asing yang dijemput menyelesaikan masalah hanya mengulangi sejarah lama yang wajib dilipat dan dikebumikan. Kalau mahu menghidupkan semula dalam pergolakan di Syria terkini akan terlaksana sejarah lama yang mengundang singa dan buaya. Natijahnya kalau selamat daripada mulut harimau akan masuk ke dalam mulut buaya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS