Sunday, February 26, 2012

TASAWUR ISLAM YANG LENGKAP

Nama Islam tidak disandarkan pada individu tertentu tidak seperti agama Kristian dengan dikaitkan kepada Jesus Christ, Buddha disandarkan kepada Gauthama Budhha. Demikian juga agama Zoroasteraniasm kepada Zoroaster. Islam juga tidak dikaitkan dengan mana-mana tempat dan bangsa seperti Yahudi yang dikenali dengan Judaism yang berasal dari nama tempat iaitu Jew(Judah Tribe) demikian dengan Hinduism yang dinisbahkan nama tempat iaitu Indus yang kemudiannya bertukar sebutan kepada Hindu. Tetapi islam adalah nama dari Allah dan bukan dicipta oleh mana-mana individu berdasarkan falsafah dan pemikiran manusia yang dangkal.

DEFINISI ISLAM

Dari segi bahasa, Islam berasal daripada perkataan arab iaitu ‘Salima’ yang beerti berserah, tunduk dan patuh. Dari segi istilah ia bermaksud berserah , tunduk dan patuh kepada Allah swt, tuhan semesta alam. Pengabdian dan pengakuan ini dilakukan dengan rela bukan terpaksa atau paksaan. Islam adalah Ad Deen. Ad Deen berbeza dengan agama yang difahami umum. Agama yang terbatas kepada hubungan manusia dengan tuhan-Nya sebaliknya Ad Deen mencakupi segenap aspek kehidupan , tersimpul dalam hubungan manusia dengan tuhan, Hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Justeru itu, Islam merupakan “The Way Of Life”
ISLAM SEBAGAI AD DEEN
1) Ad Deenus Samawi – Agama yang diwahyukan dari Allah swt. Surah Al Imran : 83
2) Ad Deenul Fitri – Agama Fitrah . Surah Ar Rum : 30
3) Ad Deenul Hanif – Agama suci murni
- ajaran yang dibawa tetap dan tidak berubah iaitu mengesakan Allah swt.
- Kandungan kitabnya iaitu al-Quran juga tetap dan tidak berubah.

Islam merupakan jawapan yang tepat kepada tiga pertanyaan yang dikemukan kepada setiap manusia sama ada dahulu atau sekarang iaitu dari mana manusia datang? Mengapa manusia dijadikan? Kemanakah manusia dikembalikan?
Jawapan kepada tiga pertanyaan di atas akan terjawab dalam ajaran Islam, baik secara global atau pun secara terperinci di dalam ajaran Islam.
Pertanyaan pertama dijawab oleh Allah dalam firman-Nya Surah Al-Haj : 5
Pertanyaan kedua dijawab oleh Allah dalam firman-Nya surah Al-Dzariyat : 56
Pertanyaan ketiga dijawab Allah dalam firman-Nya surah Ar-Rum : 11.

CIRI - CIRI ISLAM

Rabaniah

Ia membawa maksud Islam adalah berdasarkan manhaj atau sistem dari ketuhanan iaiti Allah swt dan bukan dari ciptaan manusia. Ia juga bermaksud bahawa Islam adalah membawa tujuan atau matlamat penganutnya hanya kepada tuhan iaitu Allah swt semata-mata. Sifat ini melepaskan kita dari perhambaan sesama makhluk yang sangat di perangi Islam. Manhaj yang bersifat Rabbani merupakan satu corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Ia mampu untuk kekal dan memberikan saham tamadunnya di setiap zaman, tempat dan peringkat.

Syumuliyyah
Ciri manhaj Islam yang menyeluruh dapat membezakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala masalah manusia baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakan manusia. Sebab itu Islam sahajalah yang mampu memenuhi keperluan manusia baik sebagai individu, mahupun sebagai kelompok, baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan, samaada urusan dalam mahupun urusan luar negeri. Firman Allah swt surah Al-Baqara : ayat 138.

Alamiyyah
Manhaj Islam yang bersifat sejagat atau universal menyerlah cirr-ciri keinsanan dan infitnah(bersifat terbuka atau lapang) serta daya untuk menanggung kemungkinan kemungkinnya. Ini bermaksud Islam sesuai untuk seluruh negara dan bangsa. Islam tidak pernah menetapkan makanan dan pakaian wajib mengikut budaya arab sebaliknya hanya menerapkan perara sunnah untuk diikut sahaja.
Tujuan syariat Islam adalah :
1) Dhoruriyat – Islam menitik beratkan dalam jagaan perkara penting yang melibatkan penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
2) Hajjiat – perkara yang diingini oleh manusia seperti udara dan makanan untuk hidup.
3) Tahiniat – Perkara yang diperlukan untuk meningkatkan taraf hidup dan keselesaan seperti kenderaan mewah.

Waqi’yyah
Islam sesuai dimana-mana tempat sekalipun. Sebagai contoh, hukum menutup aurat diwajibkan tetapi mengikut fesyen dan adat pakaian sesuatu kaum seperti bangsa Melayu menurut aurat dengan berbaju kurung yang menutup tubuhnya dan berstokin bagi wanita manakala memakai kain pelekat bagi kaum lelaki walaupun tiada pada zaman Rasulullah saw.

Inqilabiyyah
Menegakkan Islam di atas keruntuhan jahiliyyah. Bermakna Islam tidak boleh berkompromi dengan jahiliyah dan kufur. Contohnya, Rasulullah walaupun telah ditawarkan sebagai Raja dan ganjaran yang lumayan oleh pihak kuffar dengan syarat baginda meninggalkan da’wah, baginda menolak tawaran tersebut dan berusaha menghapuskan kemungkaran itu terlebih dahulu.

Thabat dan Murunah
Islam thabat(tetap) dari segi hukum tetapi anjal atau fleksibel untuk diamalkan. Keanjalan manhaj hidup Islam memberikannya daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti atau ciri-ciri ini memberikan Islam kebolehan untuk berijtihad menyimpulkan hukum hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui Qias atau maslahah mursalah, istihsan dan sebagainya.

KERANGKA KEHIDUPAN MUSLIM

Aqidah
- Ialah kepercayaan kepada Allah swt yang tersimpul kukuh di dalam jiwa menusia tanpa ada sedikit keraguan terhadap kesempurnaan ajaran Islam.
- Seperti firman Allah swt surah Luqman : 22
22. Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang kokoh. Dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan.

Ibadah
- Ialah satu ketundukan dan pengabdian kepada Allah swt dalam segala aspek kehidupan, atau dalam erti kata lain segala pekerjaan dan amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah swt.
- Firman Allah swt dalam surah Adz Dzariyat : 56

- “ Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku”.

Syariat
- Ialah perundangan yang telah ditetapkan oleh Allah swt kepada manusia dan tidak boleh diubah dengan apa cara sekalipun. Ia memelihara 5 prinsip iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta.
- Firman Allah swt dalam surah An-Nur : 2
- ”Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman”


Akhlak
- Imam Al-Ghazali menyatakan akhlak ialah ‘ bawaan sifat jiwa yang tersembunyi atau melahirkan perbuatan dengan mudah tanpa perlu berfikir terlebih dahulu’ . Ia adalah sifat-sifat menjadikan tabiat seseorang dan bukannya sesuatu sifat Takaluf (sesuatu yang dibuat-buat).
- Sabda Rasulullah saw
- “ sesungguhnya aku diutuskan ialah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”

Ilmu Pengetahuan
- Berdasarkan ayat pertama Allah swt turunkan kepada Nabi Muhammad saw iaitu “IQRA”(bacalah).
- Firman Allah swt dalam surah Al-Mujadalah : 11
- “niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. “

Ekonomi
- Firman Allah swt An-Naba : 11
- ” dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan ”

Politik
- Berdasarkan Rasulullah saw adalah pemimpin politik. Imam Al-Ghazali menyatakan agama ini asas, pemerintah adalah pengawal , maka sesuatu yang tidak ada asas akan runtuh dan sesuatu yang tidak ada pengawal akan hilang.

Dakwah
- Ialah mengajaka manusia kepada pengabdian diri kepada Allaw swt. Seperti firman-NYA surah al Imran : ayat 110.
- “ Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Pergaulan
- Seperti firman Allah surah An-Nur : ayat 27
- “ Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat. ”

Jihad
- Berasal daripada perkataan “ jahada” beerti penyerahan dan kesungguhan. Menurut syara’ ialah penyerahan tenaga dari seorang muslim dalam dan mempertahankan menyebarkan Islam kerana menuntut keredhaan Allah swt.
- Firman Allah swt dalam surah As-Shoff : ayat 10-11
-“ 10. Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? 11. (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Penutup

Wahai orang-orang yang beriman , masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kemu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata. (al-Baqarah : 208)

“ Sesungguhnya kita dimulikan oleh Allah swt dengan Islam, sekiranya kita mencari selain daripada Islam maka Allah swt akan menghina kita “ (Kata-kata Saidina Umar)

Tuesday, February 21, 2012

RESOLUSI KONVENSYEN FIQH UMMAH 2012

UMUM
Wasatiy yang dimaksudkan dalam konvensyen ini adalah sesuatu metode kefahaman ilmu dan pengamalan beragama yang paling adil dan terpilih bersandarkan Al-Quran dan Sunnah berdasarkan situasi semasa tertentu.


Manhaj atau metod wasatiy amat perlu didokong oleh umat bagi memastikan kejituan dalam kefahaman ilmu Islam, mengurangkan pergeseran di kalangan sebahagian ulama dan umat Islam, merapatkan ukhwah serta membenihkan kasih sayang sesama Muslim.

AQIDAH
Wasatiy dalam aqidah adalah aqidah ahli sunnah wal jama'ah (merangkumi salafiyah, asya'irah, maturidiah) yang bersumber dari nas Al-Quran dan hadis yang sahih sambil menyedari bahawa kefahaman teks Al-Quran dan Hadis boleh membawa kepada pembahagian ilmu aqidah kepada Usul dan Furu' (cabang).


Umat Islam diwajibkan bersatu di atas Usul Aqidah namun dibenarkan berbeza tafsiran di dalam hal furu'. Dengan itu, konvensyen menekankan umat Islam agar mendalami ilmu Usul Aqidah dan mengurangkan perdebatan dalam hal ehwal cabang aqidah.

IBADAH
Wasatiyah dalam ibadah merupakan tanggungjawab dan tugas asas umat Islam dalam kepelbagaian pensyariatan hukum-hakam dengan memurnikan wawasan ukhrawi tanpa melupakan keperluan duniawi yang menjadi alat kebahagiaan di akhirat.


Perlaksanaan ibadah meraikan keadaan dan kemampuan manusia dan perbezaan situasi mereka serta meraikan aspek-aspek kemudahan dan keringanan dalam pensyariatan.


Persoalan bida'ah dalam ibadah terdedah kepada pelbagai tafsiran, justeru perlu diperhalusi pengertiannya dengan lebih teliti agar tidak dijadikan sebagai mediun kafir-mengkafir dan saling menyalahkan antara satu sama lain.


Wasatiyah dalam ibadah zakat merangkumi ketelusan pentadbiran, mengelakkan penyalahgunaan, kaedah pengagihan yang lebih efektif dan sebarang bentuk penyalahgunaan sumber demi kepentingan individu mahupun kumpulan tertentu.


Meraikan pandangan dari pelbagai pihak dalam usaha penambahbaikan serta mengelakkan salah faham dan kekeliruan isu zakat. Bersifat lebih terbuka dalam menangani permasalahan dan keperluan asnaf serta memelihara maslahat muzakki.


DAKWAH
Wasatiy di dalam dakwah adalah yang dilakukan secara berhikmah sambil meraikan kepelbagaian latar belakang mad'u, persekitaran dan kesesuaian teknik dakwah, menjinak hati serta tidak menghukum.


Pun begitu, kandungan dakwah adalah sama iaitu membawa diri pendakwah sendiri dan masyarakat (mad'u) untuk hampir kepada Allah dan RasulNya dengan mentaati syariah Islam.


Juga disedari, dakwah kepada Islam memerlukan pendakwah dari pelbagai bangsa dan ia pula bukan bererti membawa mad'u kepada identiti bangsa dan kumpulan tertentu.

KEWANGAN DAN EKONOMI
Wasatiy di dalam ekonomi dan kewangan adalah menerima sistem dan matawang yang sedia ada sambil menegaskan usaha untuk memahamkan umat Islam berkenaan ilmu dan sistem muamalat Islam adalah menjadi keutamaan.

Konvensyen juga menegaskan sokongan terhadap usaha memantapkan muamalat Islam sama ada melalui sistem perbankan Islam terkini atau pengenalan sistem matawang Emas. Dengan menolak sebarang pendekatan meremehkan kedua-dua usaha tadi. Namun usaha penambahbaikan mesti diteruskan demi kemaslahatan umat Islam.

TURATH
Wasatiy dalam khazanah dan karya ulama silam adalah mengiktiraf kepentingannya dalam memahami nas syarak dan menjadi asas kepada perkembangan intelektual umat Islam kini.

Juga ditegaskan ilmu alat bahasa Arab dan pemahaman terhadap terminologi khas, konteks karya tersebut dihasilkan adalah sangat penting dalam memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis.

Juga disedari bahawa sebahagian kesimpulan yang terdapat di dalam khazanah silam berkemungkinan kurang menepati suasana, penemuan dan kajian semasa, justeru ia terbuka dan memerlukan kepada proses pembaharuan melalui ijtihad ulama kontemperori.

TAZKIYAH AN-NAFS
Mengiktiraf kepentingan 'penyucian jiwa' bagi mencapai kemuliaan akhlak, ketinggian iman dan kejituan ibadah yang merupakan tuntutan terbesar di dalam diri setiap individu muslim.

Juga, konvensyen menetapkan bahawa kaedah, jalan dan caranya mungkin berbeza di antara satu dengan yang lain, namun yang terbaik adalah yang berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah.

POLITIK
Konvensyen menekankan peri pentingnya politik di dalam Islam dengan tidak mengambil ruang ekstrem menjadikannya sebagai lapangan kafir-mengkafir, menyesat dan menzalimi sesama umat Islam.

Juga menyeru umat Islam untuk berpegang kepada politik yang berpaksikan prinsip, hujah, moral dengan berlandaskan ukhwah.

Persaingan sihat di dalam politik berdasarkan kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik adalah untuk kemaslahatan umat berteraskan maqasid syariah tanpa menggadaikan nilai-nilai akhlak di dalam Islam.

PENGAJIAN AL-QURAN
Al-Quran adalah kitab Allah yang wajib difahami sebagaimana kehendak Allah, menurut kemampuan akal manusia dengan bersandarkan sunnah Rasulullah, athar para sahabat dan tafsir para ulama muktabar.

Ilmu-ilmu yang merangkumi qira'at, tajwid, tafsir Al-Quran dan yang berkait dengan Al-Quran adalah satu disiplin ilmu tersusun yang mempunyai tuntutan tersendiri. Kelayakan ilmu dalam bidang ini sangat diperlukan bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dalam memahami nas Al-Quran.

*.........................................*................................................

Kredit kepada :http://umikalsomyusof.blogspot.com/2012/02/resolusi-konvensyen-fiqh-ummah-2012-12.html

Friday, January 27, 2012

::Hakikat TIDUR; Hikmah Disebalik Sebuah Ibadah::


Sepanjang perjalanan hidup dan putaran bumi, berlalunya malam dan siang. Tidur,bangkit,bekerja dan tidur semula. Adakah selama ini perjalanan hidup kita diurus dengan baik ataupun mengikut sesedap rasa?

Firman Allah s.w.t.

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيۡلَ لِبَاسً۬ا وَٱلنَّوۡمَ سُبَاتً۬ا وَجَعَلَ ٱلنَّہَارَ نُشُورً۬ا (٤٧


Maksudnya: Dan Dia yang menjadikan malam sebagai pakaian bagi kamu dan tidur sebagai istirehat dan dijadikan siang untuk bertebaran (mencari rezeki).

Dalam kehidupan kita seharian, Allah s.w.t telah menentukan satu jadual khas untuk kita.Bila waktu tidur, belajar dan bekerja, semuanya telah ditentukan waktu yang terbaik untuk kita. Sunnatullah menjadikan waktu malam sebagai waktu istirehat, siang pula memerah tenaga. Disebaliknya ada hikmah yang terbentang untuk kita.

Mengapa kita mengantuk diwaktu malam?
Melalui kelenjar pineal, badan manusia menghasilkan sejenis hormon bernama melatonin. Bermula daripada 10 malam hingga jam 6 pagi. Hormon ini yang menyebabkan kita berasa mengantuk apabila ia meransang hipothalamus(bahagian otak).

Kadar melatonin yang optimum dalam darah pada jam 1.30 pagi hingga 2 pagi. Selepas itu kadarnya mulai menurun dan berada pada tahap paling rendah apabila bangun dari tidur pada jam 6 pagi.

Mengapa bekerja pada waktu siang?
Berbeza pada waktu malam dengan melatonin, pada waktu siang kehidupan kita dipengaruhi pula oleh hormon kortisol. Hormon ini banyak mempengaruhi fungsi jantung dan pernafasan kita. Meningkatkan efisiensi selari dengan penggunaan kita yang lebih aktif pada siang hari. Kortisol juga dikenali sebagai hormon stress kerana ia berada pada tahap yang tinggi apabila kita berada dalam tekanan.

Bilakah waktu yang efisien?
Berdasarkan pusingan biologi waktu yang efisien dan dapat melakukan kerja secara produktif adalah pada waktu 8 pagi hingga 1 tengah hari. Selepas waktu ini produktiviti akan mulai menurun kerana kita akan memasuki fasa yang dipanggil 'secondary sleep gate'.

Fasa 'secondary sleep gate' bermula pada waktu tengah hari hingga awal petang.

Maka disinilah kita dapat lihat sunnah Rasulullah yang popular dalam kalangan kita yang disebut sebagai qailullah atau dalam bahasa inggeris dipanggil 'napping'.

Antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur pada waktu tengah hari adalah Dr. William A. Anthony (Ph.D) dan Camille W. Anthony, pengarang buku The Art of Napping at Work. David F. Dinges dan Roger J. Broughton didalam buku mereka Sleep and Alertness: Chronobiologial, Behavioural and Medical Aspects of Napping juga bersetuju dengan pendapat ini.

Kajian menunjukkan tidur sebentar di tengah hari selama 30 minit mampu mengurangkan risiko menghadapi sakit jantung 30% lebih rendah berbanding mereka yang lain.
Perkara ini disebutkan oleh David S. Sobel, M.D., dalam artikel Healthy Pleasures dalam Mind/Body Health Newsletter (Online), terbitan 1989.

Tidur Yang Cemerlang
Sabda Junjungan mulia Rasulullah s.a.w. "Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika cergas, dan ketika mengantuk pergilah tidur." Daripada Imam Bukhari dan Muslim.


Semasa tidur, sel-sel badan kita mengalami proses pemulihan. Allen Nicholson, penyelaras klinikal dari Pusat Gangguan Tidur, Hospital Columbus Community, Ohio, menjelaskan semasa tidur badan manusia menghasilkan hormon pertumbuhan (Growth Hormone) yang berfungsi membaiki sel-sel yang rosak.
Mengambil arak atau minuman yang mengandungi kafein sebelum tidur mengganggu proses ini dan menambahkan keletihan pada siang hari.

Penyimpanan maklumat jangka panjang atau long term memory juga berlaku semasa tidur. Mereka yang gemar tidur lewat akan mengganggu proses ini. Menurut Penolong Professor Carla B. Green dari Pusat Sains Kebangsaan untuk Pusingan Biologi, mengulang kaji hingga lewat malam akan menjejaskan pusingan biologi seseorang dan menjejaskan fungsi otak bagi mengingati semua maklumat yang dibaca.

Tidur yang mencukupi juga membantu memantapkan fungsi pertahanan tubuh badan. Individu yang kurang tidur lebih mudah dijangkiti kuman. Hal ini dilaporkan dari majalah Lancet pada bulan Oktober 1999.

Berapa Jam waktu Optimum Tidur?
Persatuan Barah Amerika melaporkan mereka yang tidur kurang daripada 8 jam setiap malam lebih sihat berbanding individu yang tidur melebihi 8 jam.

Hasil kajian selama 6 tahun yang melibatkan sejuta orang dewasa berumur antara 30 hingga 10 tahun ini menunjukkan, mereka yang tidur 6 hingga 7 jam secara purata hidup lebih lama berbanding mereka tidur melebihi 8 jam atau kurang daripada 4 jam setiap malam.
Penemuan ini disokong oleh Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika dan dimuatkan didalam Archives of General Psychiatry bertarikh 15 Februari 2002.

Khulasah.

Dalam mengejar matlamat hidup masing-masing atas muka bumi Allah s.w.t. perlu diingatkan bahawa tubuh badan juga turut sama mempunyai hak ke atas kita. Alangkah indah jika kita dapat beribadah dengan tubuh yang sihat dan cergas berbanding tubuh yang sentiasa sakit. Setiap daripada kita telah dikurniakan oleh Allah kurniaan tubuh badan. Maka hargailah dan gunakan sebaiknya.

Bagi saya salah satu tangungjawab seorang doktor Muslim perlulah memastikan ummah dan masyarakat sekelilingnya dalam suasana yang sihat. Tuntas mengembalikan keunggulan ummah.

Rujukan:
[Utama] Tip-tip Cemerlang Daripada Quran oleh Dr. Danial Zainal Abidin M.B.Ch.B, Universiti Alexandria,cetakan kelapan 2008.
[Sampingan] Physiology First Year University Ain Shams, 2009.

Thursday, January 19, 2012

SYARIAH : Makna dan Dasarnya

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله ومن ولاه

Di dalam melaksanakan syariah Islam di dalam negara, terdapat aulawiyat yang perlu dipatuhi oleh mereka yang diizinkan Allah memegang tampuk kekuasaan.Berikut adalah sedikit perkongsian yang diolah kembali daripada rakaman temuramah bersama Dr Yusof al-Qardhawi di bawah tajuk “Syariah : Makna dan Dasarnya,”menerusi rancangan Syariah Dan Kehidupan, saluran al-Jazeera.


Muqaddimah

Terlebih dahulu beliau mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara kita di Mesir yang telah berjaya menjalani pilihanraya dengan ketiga-tiga peringkat dan memilih calon-calon yang disokong oleh sebahagian besar rakyat.Tidak mungkin seluruh semuanya manusia bolehbersepakat di atas suatu perkara, ini sememangnya tabiat manusia.Maka, jika sebahagian besar manusia menyokong, sudah menandakan satu kebaikan, Insya Allah.Beliau mengucapkan tahniah dan mendoakan mereka mendapat petunjuk dalam melalui peringkat yang seterusnya.

1) Takrif syariah:

ما شرعه الله لعباده من الأحكام

“Segala perkara yang Allah syariatkan kepada hambaNya, daripada hukum hakam.”

Ada di antaranya suruhan dan ada pula larangan. Ada di antaranya yang berkaitan dengan ( كيفية العمل ) ‘cara beramal’ dan dinamakan sebagai ( فرعية وعملية ) ‘cabang dan amalan.’ Ilmu yang berkaitan dengannya dinamakan sebagai ilmu fiqh, syariah dan hukum. Dan ada pula yang berkaitan dengan ( أصل العمل ) ‘dasar amalan’ dan dinamakan sebagai ( أصلية واعتقادية ) ‘usul dan pegangan.’ Ilmu yang berkiatan dengannya dinamakan sebagai ilmu kalam, tauhid atau aqidah

2) Syariah dan agama:

Jika berdasarkan takrif di atas, syariah itu sendiri adalah agama.

Namun sebahagian ulama membezakan antara penggunaan kalimah syariah kepada maksud yang lebih khusus, iaitulah hukum hakam fiqh.Sebagaimana di al-Azhar dinamakan kuliah yang menumpukan pengajian fiqh sebagai kuliah syariah, dan kuliah yang mengaji akidah dinamakan kuliah usuluddin. Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikuhul Azhar pernah mengarang sebuah kitab bertajuk “Islam itu Aqidah dan Syariah.”

3) Kenapa Allah turunkan Syariah?

Firman Allah taala:

لقد أنزلنا رسلنا بالبينات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط
كتاب أنزلناه إليك لتخرج الناس من الظلمات إلى النور

Allah taala maha kaya daripada hambaNya, Dia tidak berhajat kepada sesuatu daripada hambaNya. Di dalam ayat pertama disebut: “Agar manusia menegakkan keadilan,” ayat kedua “Mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya.”

Secara ringkasnya, syariah adalah:

كل ما يهدى الناس في الحياة إلى الطريق القويم والتوازن

Setiap perkara yang menyusun kehidupan dan memandu kepada jalan yang lurus dan sistematik, itulah tugasan syariah, agar mereka mendapat kebaikan di dunia, dan di akhirat.

4) Sumber-sumber syariah:

Syariah diambil daripada dalil-dali syarak. Terdapat dua jenis dalil: pertama dalil yang disepakati. Iaitulah al-Quran yang merupakan sumber yang paling utama, kemudian sunnah, ijmak dan qias. Jenis yang kedua pula dalil yang terdapat perselisihan antara ulama seperti amalan umat terdahulu, masaleh mursalah, istihsan, uruf, istishab dan sebagainya (rujuk kitab-kitab usul fiqh) Semua sumber-sumber ini sudah memadai bagi menyelesaikan setiap permasalahan manusia.

5) Apakah perkara yang ( الثابت ) ‘tetap.”?

Perkara yang ( الثابت ) ‘tetap’ dan tidak akan berubah adalah yang berkaitan dengan akidah, ibadah yang asas, akhlak-akhlak yang utama, nilai murni dan perkara (الرذائل ) ‘yang dipandang keji’, halal dan haram, perkara-perkara yang dasar yang berkaitan dengan individu, mencari pekerjaan halal, berpakaian menutup aurat, makanan halal, hubungan antara suami isteri, kaum kerabat, hak-hak asas masyarakat, pemerintah, rakyat dan sebagainya. (Yakni perkara yang sudah diijmak dan bukan tempat ijtihad)

6) Apakah perkara ( المتغير ) ‘boleh berubah’ dan syarat-syaratnya?

Perkara yang ‘boleh berubah’ adalah selaindaripada perkara sabit.Iaitulah yang bukannya dari masalah akidah, ibadah, akhlak-akhlak utama, bukan juga dari hukum qatie yang tidak menerima sebarang perubahan, seperti masalah pewarisan harta yang sudah disebutkan secara jelas di dalam al-Quran dan hadis, kerana sudah disepakati oleh seluruh umat.Perkara sabitini tidak menerima perubahan atau ijtihad.

Perkara mutaghayyir adalah cukup banyak iaitulah segala perkara yang boleh dimasuki ijtihad.Ia dikaji di dalam ilmu fiqh dengan perbahasan yang cukup meluas. Daripada sini timbulnya perubahan fatwa. Fatwa boleh berubah mengikut 4 perkara: masa, tempat, uruf (adat setempat) dan keadaan.

Jadi di sana terdapat perkara yang boleh berubah, dan ada perkara yang tidak berubah, Iaitulah perkara yang menjadi dasar dan asas agama.

7) Perlaksanaan Syariah

Sebahagian manusia apabila mendengar kalimah undang-undang syariah terus rasa takut.Seolah-olah syariah tidak mampu memberikan keadilan.Sebenarnya syariah adalah amat bertepatan dengan nas dan akal manusia.Ia akan dilaksanakan sebagaimana dilaksanakan undang-undang biasa. Bukan bermakna apabila kita mahu melaksanakan syariah terus kita memotong tangan pencuri. Saya berpendapat perkara ini tidak akan boleh terus dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun yang terdekat. Kita sebenarnya amat berhajat untuk mendahulukan perlaksanaan dasar, yang berkaitan dengan akidah, akhlak, ekonomi, ilmu tentang syariah.Terdapat dua juta penduduk jalanan di Mesir sekarang, yang tidak mempunyai pendidikan. Adakah apabila kita melaksanakan syariah kita terus akan memotong tangan mereka? Terlebih dahulu kita perlu mengajar mereka, memberi pemahaman, memenuhi keperluan terhadap perkerjaan, pengetahuan, dan keperluan asas.Semua ini perlu dilaksanakan sebelum dilaksanakan hudud.Bukankah Nabi memulakan dakwahnya dengan membetulkan akidah dan menanam pemahaman selama 10 tahun di Mekah.Baginda terlebih dahulu menjelaskan halal dan haram, membersihkan jiwa dan mempersiapkan manusia untuk melaksanakan syariah. Setiap pihak yang akan memegang tampuk pemerintahan amat perlu memahami perkara ini terlebih dahulu.

8) Berperingkat di dalam melaksanakan syariah

Hukum syariah banyak memberikan contoh kepada tadarruj.Contohnya pengharaman arak.Arak diharamkan menerusi beberapa peringkat di dalam beberapa ayat.Lihatlah bagaimana Allah mencipta segala perkara secara berperingkat-peringkat?pohon anak kecilIni adalah sunnah yang perlu diraikan. Bukan hudud sahaja syariah Islam. Tetapi banyak lagi hukum hakam syariah yang lain.

9) Siapakah yang boleh melaksanakan syariah. Negara atau umat?

Sebahagian perkara syariah boleh dilaksanakan tanpa memerlukan kuasa.Contohnya makan, sembahyang, bekerja, semua perkara ini boleh dilaksanakan mengikut syariah tanpa memerlukan kepada negara.Adakah saya perlu menunggu perintah makan, baru saya makan?Tidak.Perkara berkaitan mencari rezeki yang halal mampu saya laksanakan sendiri tanpa negara.Syariah adalah semua perkara yang berkaitan dengan mukallaf, buat atau tinggalkan.Adapun perkara besar seperti hukuman hudud, hanyalah boleh dilaksanakan oleh negara. Jadi, setiap orang melaksanakan apa yang dituntut daripadanya. Tidak boleh seseorang melakukan perkara diluar bidang kuasanya.Perintah untuk melaksanakan hudud dituju kepada seluruh umat.Tetapi yang boleh melaksanakan hanyalah pemerintah. Jika pemerintah tidak melaksanakan hudud, maka semua akan berdosa. Umat dituntut untuk memastikan pemerintah melaksanakan hudud.

10) Bolehkan satu golongan melaksanakan hudud sendiri?

Tidak boleh.Tidak boleh sekumpulan manusia melaksanakan hudud sendiri.Mestilah negara yang melaksanakannya.

Firman Allah taala:

يأيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم

Ulil Amri adalah ulama dalam bidang kuasanya, dan pemerintah dalam bidang kuasanya.Pemerintah perlu ditaati di dalam perkara yang Allah taala perintahkan kepadanya untuk dilaksanakan.Merekalah yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut.Umat pula perlu membantu mereka. Jika kita menangkap pencuri, kita perlu mengajarkan dia bahawa perkara ini salah, bagaimana cara mencari rezeki.Kita tidak boleh terus memotong tangannya sebelum asas-asas ini bertapak kemas.

11) Khilaf antara mazhab

Kebanyakan hukum syariah mempunyai khilaf.Hanya sedikit sahaja yang tiada khilaf. Sesiapa yang mengkaji ilmu fiqh muqaran akan mendapati kebenaran kata-kata ini. Setengah orang mengatakan kita perlu berpegang kepada zahir nas.Tidak.Syariah mempunyai maqasid dan matlamatnya.Maqasid ini perlu diraikan.

Ibnu Taimiyah melarang orang menegah tentera Tartar minum arak. Arak diharamkan kepada kita kerana ia menyibukkan kita daripada mengingati Allah. Tetapi arak adalah lebih baik buat mereka, kerana arak menyibukkan mereka daripada membunuh.Ini adalah satu contoh pandangan terhadap maqasid. Seorang muslim perlu melihat dimanakah tarjih. Banyak pendapat bukan bermakna kita perlu mengambil semua pendapat.Tidak.Bahkan kita perlu meneliti yang manakah lebih rajih, dan mempunyai maslahah yang paling besar untuk manusia.

Kisah Ibnu Abbas, datang seorang bertanya kepadanya “Adakah pembunuh diterima taubatnya?” Ibnu Abbas melihat wajah penanya dan berkata “Pembunuh tidak diterima taubatnya.”Sahabat-sahabat beliau hairan dan bertanya kepadanya.Beliau menjawab “Aku melihat mukanya dipenuhi perasaan marah, dan dia ingin membunuh seorang mukmin.Maka aku ingin halang dia daripada membunuh.”Maka Ibnu Abbas telah menutup jalan orang tersebut daripada membunuh.Sedangkan sebelum itu beliau memberi fatwa bahawa taubat seorang pembunuh diterima Allah.

Daripada sini, para ulama berkata:

الفتوى قبل الابتلاء بالفعل غير الفتوى بعد الابتلاء بالفعل

“Fatwa sebelum sesuatu perbuatan dilakukan, adalah berbeza dengan fatwa selepas sesuatu perbuatan dilakukan.”

Lihat rakaman dalam : http://www.youtube.com/watch?v=5modTQ70vFg

Wallahua'lam..



Disediakan oleh :

Mohd Kamal bin Mansor
Felo MANHAL PMRAM

Monday, December 19, 2011

AUKU : Indoktinisasi terancang & pembodohan berstruktur

oleh : Afiq M Noor, Lawyers for Liberty

Belum pun reda dengan kejayaan gerakan mahasiswa menekan Universiti Islam Antarabangsa untuk menarik balik penggantungan Prof. Dr Abdul Aziz Bari baru-baru ini. Mahkamah Rayuan telah mencatatkan satu lagi sejarah dalam gerakan mahasiswa apabila telah mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 bercanggah / ‘ultra-virus’ dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Dato’ Hishamudin Yunus di dalam penghakiman bertulisnya menyatakan peruntukan Seksyen 15(5)(a) akan memandulkan daya fikir kritikal dan sihat para mahasiswa. Universiti bukannya kilang untuk membiakkan para robot dan mesin pekerja, tetapi jauh lebih besar dari itu, ia adalah gedung melahirkan para pemikir dan reformis. Mahkamah Rayuan juga secara tidak langsung telah mengiktiraf hak-hak kebebasan asasi sebagai struktur asas dan roh di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mahasiswa telah melakar sejarah kegemilangannya satu ketika dahulu, sebagai agen pendesak dan pengimbang bagi pemerintah. Demonstrasi Baling, penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Universiti Malaya dan Kempen Anti-Tunku adalah antara kenangan manis dalam sejarah gerakan mahasiswa.

Bahkan ramai yang memegang tampuk kepimpinan negara hari ini datangnya dari gerakan mahasiswa. Merasakan mahasiswa dan gelombang kebangkitan mereka mampu menggugat dan mencabar kerajaan pemerintah, maka satu undang-undang digubal untuk mengawal dan menyekat pengaruh mahasiswa , dan itulah AUKU yang ada pada hari ini.

Universiti yang sepatutnya menjadi pusat pembiakan dan percambahan pemikiran telah terjejas teruk dan telah lari dari matlamat asalnya. Para ahli akademik dibisukan dan dijahit mulut mereka dari menjalankan tanggungjawab mereka. Kesan AUKU bukan sahaja dirasai oleh para mahasiswa bahkan keseluruhan warga universiti turut sama terjejas. Para ahli akademik dihilangkan taringnya.

Mana ‘speakers corner’? Mana demonstrasi mahasiswa? Semuanya hilang ditelan waktu. Para mahasiswa telah menjalani proses indoktinisasi terancang dan pembodohan berstruktur oleh pihak universiti dan parti pemerintah untuk satu jangka waktu yang cukup panjang.
Pemikiran kritis dan perbincangan tentang idea sudah hilang. Bagi mereka, mahasiswa yang baik dan berjaya ialah apabila dia dapat lulus dengan cemerlang, tidak melawan dasar universiti dan kerajaan dan mendapat pekerjaan yang baik. Mahasiswa yang sentiasa mencabar dasar universiti dan bersikap kritikal terhadap dasar-dasar kerajaan adalah contoh mahasiswa yang gagal atau terlalu terpengaruh dengan pembangkang.

Mahasiswa adalah sub-set kepada satu kumpulan besar masyarakat. Setiap isu yang timbul, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada kehidupan mereka. Dan selaku warga terpelajar, mereka sebenarnya menggalas tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat dan negara. Tidak boleh dinafikan bahawa gerakan mahasiswa adalah agen semak dan imbang yang cukup berkesan.

Teori dan idea yang ditadah di dewan kuliah hanya berguna sekiranya berjaya diterjemahkan dalam tindakan. Bak kata Prof Ungku Aziz: “Belajar sambil mencabar. Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang. Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin. Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar”
Hidup Mahasiswa!

Friday, November 18, 2011

Khatijah Di Mata seoarang Lelaki.

"Ia kisah tentang wanita..."


"Ia kisah tentang hebatnya sebuah rumahtangga..."


Inilah persepsi yang melatari para aktivis dakwah muslimin apabila kisah Khadijah dibentangkan. Bukan salah kisah itu, tetapi apabila dipersembahkan terlalu tekstual, maka martabat seorang yang diprojekkan Allah Subhanahu wa Taala untuk melengkapkan perjuangan Rasul tidak mampu diambil pelajaran sebaiknya dalam konteks yang lebih besar.


Bagi saya, kisah Nabi Muhammad Rasulullah dengan Khadijah tidak terhenti setakat kisah cinta dan perkahwinan sahaja.


Kisah Muhammad-Khadijah adalah kisah "perkahwinan" antara gerakan dakwah dengan pengalaman hidup (worldview) dan kematangan membuat keputusan. Sebagaimana Allah mengangkat martabat pengalaman dan kematangan melalui rukun Islam yang kelima (Haji yang mesti melalui jalan susah untuk ke sana), demikianlah Allah mengangkat martabat pengalaman dan kematangan dengan pemilihan seorang wanita berusia 40 tahun untuk menikahi seorang jejaka tampan 25 tahun, seusia seorang graduan universiti, yang baru sahaja menolak ramai para perawan Makkah dan jelitawan Bani Hasyim.


Ramai pengkaji sejarah merumuskan bahawa perkahwinan Rasulullah dengan seorang isteri sahaja, yang berusia lebih tua dari usia baginda, dan yang telahpun (berpengalaman) menjadi janda sebanyak bukan sekali bahkan dua kali, mengandungi banyak hikmah yang tersembunyi. Jika baginda beristeri dengan seorang wanita yang lebih muda dari baginda, mungkin isteri itu mencatat rekod kurang baik apabila isteri muda itu tidak mampu menanggung seperti hal-hal yang ditanggung oleh Khadijah. Allah ternyata lebih tahu apa yang terbaik untuk mempersiapkan perjalanan jauh Rasulnya.


Kisah Muhammad-Khadijah juga adalah kisah "perkahwinan" antara gerakan dakwah dengan kekayaan dan kompetensi mencipta kekuatan wawasan dan dana untuk melancarkan gerakan.


“Kesan berdagang atas nama Khadijah, Rasul menjejakkan kaki ke semua pasar-pasaraya utama di seluruh Jazirah Arab. Justeru sebelum kenabian baginda sudah mempunyai wawasan geografik yang sangat jelas.” (Dr. Antonio Syafie, Super Leader Super Manager)


Kisah Muhammad-Khadijah adalah kisah kejayaan sebuah "engagement" antara gerakan dakwah dengan VVIP dan orang kenamaan.


Khadijah satu-satunya “Datuk Seri” wanita di Makkah, keturunannya mulia, dari sebelah ayahnya berakhir dengan Qushai dan dari sebelah ibunya bernama Fatimah, bersambung kepada Za’idah bin Al-Asham bin Harm bin Rawahah. Digelar at-Thahirah, meskipun masyarakat Arab ketika itu meletakkan martabat wanita serendah-rendahnya, namun nama Khadijah dikenali dengan julukan wanita suci sejak perkahwinannya dengan Abu Halah dan Atiq bin Aidz karena keutamaan ãkhlak dan sifat terpujinya. Maka tidak hairanlah jika kalangan Quraisy memberikan penghargaan dan berupa penghormatan yang tinggi kepadanya)


Dan kisah Muhammad-Khadijah adalah kisah cinta yang sungguh berhati-hati (melalui peranan Maisarah dan Nafisah) dan cinta ibu yang sentiasa di hati meskipun selepas berkahwin
.
“Kita dapat memahami betapa rancaknya hubungan emosional dan kerohanian yang berkembang antara Siti Khadijah dengan Rasulullah secara cepat yang luarbiasa. Sebuah hubungan suci yang sangat memerlukan kepada cinta kasih, belas kasihan dan penjagaan oleh seorang ibu dan juga kekasih, kepada sebuah dada yang lapang, boleh memberikan segala kesayangan dan tuntutan hati. Demikianlah Nabi Muhammad mendapati dirinya secara tiba-tiba berhadapan dengan cara hidup yang baru, yang akan memutuskan cara hidup lama yang diwarisinya lama dahulu, sejak dia berada di padang pasir selama lapan belas tahun yang lalu, tanpa kasih seorang insan bernama perempuan dan ibu.” – Syed Ahmad Semait, 100 Tokoh Wanita Terbilang

Wednesday, November 16, 2011

“ Konsep Sedekah yang sering disalah ertikan ”

Assalamualaikum wbt.

Subahannah walhamdulillah walailahaillah Allahikabar!!! Selawat dan salam buat rasul junjungan Nabi Muhammad saw.

Setelah sekian lama entry ku terhenti tanpa berita umpama kubur tidak bernisan. Ku gagahi juga agar ini menjadi salah satu amalan yang menjadi penyebab aku masuk syurga kelak..

Tulisan kali ini ingin menyentuh berkaitan paradigm kebanyakan individu muslim berkaitan dengan “sedekah”.




Beberapa premis yang menjadi pegangan kita adalah :

1. Sedakah adalah perkara sunat yang amat digalakkan.

2. Sekiranya mempunyai kemampuan iaitu duit dan harta benda barulah kita boleh bersedakah.

3. Slogan “senyumkan sedekah”

Penulis ingin membawa sidang pembaca budiman sekalian untuk merenung hadis sahih ini yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim, Baginda bersabda :

Maksudnya : ” Setiap Muslim mestilah memberi sedekah” Para sahabt bertanya : “ Wahai Rasullullah Sekiranya ia tidak memiliki apa-apa?” Baginda bersabda ;” Ia hendaklah bekerja dengan usahanya sendiri maka ia menghasilkan manfaat untuk dirinya sendiri dan juga ia bolah bersedekah.” Para sahabat bertanya lagi;” Sekiranya tidak berdaya atau tidak melakukannya?” Baginda bersabda “ Ia menolong orang yang sangat berhajat.” Para sahabt bertanya lagi;” Sekiranya tidak melakukan?” Baginda bersabda :”maka hendaklah ia menyuruh melakukan kebaikkan” Para sahabat bertanya lagi: Sekiranya ia tidak melakukannya?’ Baginda Bersabda;” Hendaklah ia menghindarkan diri daripada kejahatan. Ia juga adalah sedekah.”

Pengajaran utama dalam hadis ini adalah setiap muslima mesti mengeluarkan sedekah merdasarkan kemampuan diri masing-masing. Jenis-jenis sedekah yg boleh di diklasifikasikan seperti;

1. Harta benda @ wang ringgit.

2. Tenaga upaya kepada mereka yang berhajat.

3. Lisan iaitu menyuruh kearah kebaikkan

4. Tindakan dan iltizam untuk menjauhkan diri daripada kemungkaran.

Dalam satu Sahih yang lain diriwayatkan oleh Abu Hurairah, beliau berkata: bersabda Rasulullah saw.

Maksudnya : “ Setiap anggota bahagian anggota manusia mestilah member sedekah pada setiap kali matahari terbit: Mengadili antara dua orang adalah sedekah, menolong seorang lelaki dengan mengangkat barangnya ke atas binatang tungganganya adalah sedekah, kalimah yang baik adalah sedekah, setiap langkah yang untuk pergi menunaikan solat adalah sedekah, membuang duri dari jalan adalah sedekah.”

Pengajaran utama daripada hadis ini adalah semua tulang sendi dan anggota, seperti mana yang terdapat dalam hadis lain boleh diggunkan menjadi alat untuk sedekah . Dengan apa cara sekalipun sebagai tanda kita mensyukuri nikmat Yang Maha Menciptakannya dan menyempurnakannya serta mengadilinya.

Rumusan

Peringkat amalan sedekah yang boleh dilakukan oleh setiap muslim mengikut kemampuan diri.

Pertama

Dia berusaha dengan keringat dirinya sendiri dan bersedeakah kepada orang lain

Kedua

Dia membantu menyelesaikan masalah dan hajat orang yang sangat berhajat lain selain bantuan duit.

Ketiga

Dia menyuruh orang lain melakukan kebaikan dan makruf

Keempat

Dia menghindari dirinya dan orang lain dari melakukan kemungkaran dan maksiat


Rujukkan Buku : Nilai & Pengurusan waktu Dalam Hidup Muslim (Dr Yusufal-Qadrawi)